PADA awal bulan ini, Parlimen Israel meluluskan rang undang-undang kontroversi yang mengharamkan bendera Palestin daripada digantung dan dikibarkan di institusi-institusi kerajaan haram itu. Walaupun diluluskan selepas mendapat sokongam... Klik di sini untuk terus membaca

PADA awal bulan ini, Parlimen Israel meluluskan rang undang-undang kontroversi yang mengharamkan bendera Palestin daripada digantung dan dikibarkan di institusi-institusi kerajaan haram itu.

Walaupun diluluskan selepas mendapat sokongam seramai 63 Ahli Parlimen haram Israel dan 16 lagi menentang, rang undang-undang itu perlu mendapat tiga lagi kelulusan di Knesset atau Parlimen rejim Zionis.

Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett turut mengundi rang undang-undang itu yang mana usulnya dibawa oleh Eli Cohen daripada Parti Likud merangkap Ahli Parlimen haram Israel.

Kelulusan itu membangkitkan perdebatan kenapakah rejim Zionis sanggup membuat keputusan tersebut dan takut dengan bendera Palestin yang mempunyai warna hitam, putih hijau dan merah itu?

DIGUNA SEJAK 1964

Bendera itu pertama kali digunakan oleh Barisan Pembebasan Palestin (PLO) pada tahun 1964 dan sejak itu ia dikibarkan oleh para penunjuk perasaan Palestin sama ada di tanah air mereka atau di negara haram Israel.

Usul larangan menaikkan bendera Palestin dibahaskan di Parlimen haram Israel. - Foto AFP

Usul itu diluluskan selepas bendera itu dikibarkan pada bulan lalu oleh pelajar-pelajar yang pro-Palestin bagi memperingati Hari Nakba atau Hari Malapetaka kali ke-74 di Universiti Ben-Gurion, Beersheba, Israel.

Tindakan pelajar berkenaan menyebabkan Datuk Bandar Bersheeba, Ruvik Danilovich membidas acara pro-Palestin itu dengan menulis surat kepada Presiden universiti tersebut, Daniel Chamovitz bahawa perbuatan sedemikian adalah memalukan.

Hari Nakba itu ialah hari bagi memperingati pengusiran penduduk Palestin di tanah air mereka oleh rejim Zionis dari wilayah yang kini menjadi negara haram Israel pada tahun 1948.

Sebelum bendera Palestin digantung bersama bendera Israel di bandar Ramat Gan, Israel, datuk bandar bandar itu, Shama-Hacohen, membuat soal selidik di Facebook bagi meminta penduduknya mengundi menyokong atau menentang tindakan tersebut.

Majoriti responden mengundi menentang penggantungan bendera Palestin itu.

Pada bulan lalu, polis rejim Zionis cuba merampas bendera Palestin pada hari pengkebumian seorang wartawam wanita Al Jazeera, Shireen Abu Akleh di Baitulmaqdis timur atas arahan ketua polis daerah untuk memastikan ia tidak dijadikan majlis berunsurkan politik.

Kenapakah Israel panik dengan bendera Palestin?

Menurut seorang aktivis Palestin, Ameer Makhoul, tindakan untuk mengharamkan kibaran bendera itu adalah sebahagian daripada strategi bersepadu Israel kerana ia adalah simbol asas perjuangan Palestin.

"Itulah sebabnya kita melihat desakan untuk mengharamkan bendera Palestin dan mengapa polis Israel bertindak lebih jauh untuk menyerang pembawa-pembawa keranda wartawan Al Jazeera yang terbunuh pada bulan lepas," katanya seperti dipetik daripada portal berita Middle East Eye.

SIMBOL PERPADUAN

Kelulusan rang undang-undang itu juga adalah sebahagian daripada usaha rejim Zionis untuk menguatkan penjajahan dan melemahkan peranan penduduk Palestin serta menyekat sebarang kaitan yang mereka ada dengan perjuangan Palestin.

Bagaimanapun, penggunaan bendera Palestin itu juga mendapat pengiktirafan daripada pergerakan Hamas yang menguasai Gaza.

Jurucakapnya, Jihad Taha berkata, bendera itu akan kekal sebagai simbol perpaduan negara Palestin dan panji-panji kepulangan

penduduknya ke tanah Palestin tetapi dijajah Zionis yang tidak mempunyai tempat atau kedaulatan.

Beliau juga menegaskan dalam satu kenyataan bahawa larangan mengantung atau menaikkan bendera Palestin di institusi-institusi kerajaan Israel merupakan kegagalan Tel Aviv untuk memecah-belahkan dan menyemaikan perselisihan dalam kalangan penduduk Palestin.

Namun, Jafar Farah yang mengetuai Mossawa iaitu sebuah kumpulan pembela yang mempromosikan hak-hak penduduk Palestin mengingatkan bahawa bahawa terdapat negara lain di rantau Asia Barat dan sesetengah pihak tidak mahu melihat kewujudan negara lain itu.

Bagaimanapun, sebuah akhbar Israel menyatakan dalam ruangan editorialnya baru-baru ini bahawa bendera Palestin ialah bendera untuk penduduknya.

Ia tidak menolak kemungkinan ia akan menjadi bendera untuk sebuah negara Palestin. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca