"MALAM pertama adalah malam yang paling sukar dalam Penjara Kajang. Saya terkenangkan bagaimana nasib anak-anak serta isteri.” Itulah jawapan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo ketika ditanya mengenai kisah, pengalaman dan... Klik di sini untuk terus membaca

"MALAM pertama adalah malam yang paling sukar dalam Penjara Kajang. Saya terkenangkan bagaimana nasib anak-anak serta isteri.”

Itulah jawapan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo ketika ditanya mengenai kisah, pengalaman dan perasaan beliau ketika dipenjarakan selama enam bulan kira-kira tujuh tahun lalu.

Walaupun pada awalnya Mohamad Khir agak keberatan untuk mengenang kembali detik hitam yang menimpa diri, keluarga serta karier politiknya, namun beliau akhirnya bersetuju berkongsi kisah tersebut sebagai pengajaran kepada semua terutamanya ahli politik.

Cerita Dr Mohamad Khir, keadaannya di dalam tirai besi sedikit demi sedikit mula berubah selepas mendapat nasihat dan motivasi daripada banduan lain serta warden penjara.

"Bagi saya, kita kena ada sikap saling hormat-menghormati sama ada terhadap pengawal penjara mahupun rakan banduan lain. Jika kita dapat lakukannya, maka kehidupan di sana akan menjadi lebih mudah dan tenang,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Premium.

TIADA DENDAM

Walaupun hilang segala hak dan kemudahan yang sepatutnya dinikmati oleh seorang bekas wakil rakyat dan mantan Menteri Besar termasuk bayaran pencen, Mohamad Khir mengakui selepas hampir tujuh tahun, beliau reda dan tidak menyimpan dendam kepada sesiapa.

"Saya sudah reda dan anggap apa yang berlaku ke atas saya adalah ketentuan ALLAH SWT.

"Hukuman penjara selama enam bulan membolehkan saya kenal siapa diri sebenar, malah memberi peluang kepada saya untuk membaca buku paling banyak dalam sejarah hidup saya selama ini.

"Bagi saya, memaafkan seseorang itu adalah pengubat jiwa. Berdendam itu akan merosakkan jiwa kita,” katanya ketika menjawab soalan adakah beliau menyimpan rasa marah kepada individu yang menyebabkan dirinya meringkuk di penjara susulan didakwa membeli rumah di bawah harga pasaran daripada seorang rakan.

Dr Mohamad Khir - Foto ASRIL ASWANDI ABDUL SHUKOR

Pada tahun 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 bulan penjara terhadap Mohamad Khir yang didapati bersalah.

Sebelum itu, Dr Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Hartanah itu dibeli Mohamad Khir, pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar RM6.5 juta untuk hartanah itu pada 23 Disember 2004.

Mohamad Khir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, beliau yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor sejak Ogos tahun 2000 hingga Februari 2008, kemudiannya dibebaskan dengan parol selepas berkelakuan baik dan menjalani hukuman di Penjara Kajang selama enam bulan.

AJAR BANDUAN MENGAJI AL-QURAN

Mengimbau kembali kehidupannya di sebalik tirai besi, Dr Mohamad Khir berkata, ketenangan semasa berada dalam penjara membolehkan beliau menulis buku mengenai pelbagai perkara yang sangat diperlukan masyarakat di negara ini.

Dr Mohamad Khir yang mempunyai klinik gigi sendiri sebelum terjun dalam bidang politik berkata, selain membaca buku di dalam sel, beliau juga menghabiskan masa lapang dengan mengajar banduan lain mengaji al-Quran.

Tidak ketinggalan, beliau juga memberikan motivasi kepada individu dan banduan yang memerlukan melalui kerja khidmat awam di Hospital Sungai Buloh.

Antara pengalaman tidak boleh dilupakan beliau sepanjang tempoh berada di dalam penjara ialah berkongsi pengalaman dan kisah hidup dengan banduan akhir yang bakal menjalani hukuman gantung sampai mati.

BUKAN KEJAR JAWATAN

Dalam pada itu, Mohamad Khir menjelaskan, beliau mengambil keputusan untuk membuat 'come back' ke arena politik tanah air bukan kerana mahu kembali menjadi Menteri Besar atau mengejar jawatan lain.

Dr Mohamad Khir Toyo menceritakan pengalamannya di penjara kepada wartawan Sinar Premium - Foto ASRIL ASWANDI ABDUL SHUKOR

"Kalau kita tengok senario politik hari ini yang tidak stabil ditambah pula dengan cabaran pasca pandemik. Kita telah menyaksikan 'ribut atau taufan' inflasi besar yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia. Kesan inflasi ini dijangka mengambil masa sehingga hampir tiga tahun sebelum tamat.

"Justeru, menerusi pengalaman yang ada saya rasa boleh memberikan sedikit sumbangan kepada negara untuk sama-sama kita hadapi kesan daripada inflasi. Saya juga mungkin boleh menyumbang untuk membantu memulihkan ekonomi negara seperti kita dapat penarafan sebelum ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca