SHAH ALAM - Kerajaan digesa membentangkan hasil siasatan melalui tribunal khas berkaitan pendedahan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan di Mahkamah Tinggi pada Selasa. Bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan digesa membentangkan hasil siasatan melalui tribunal khas berkaitan pendedahan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan di Mahkamah Tinggi pada Selasa.

Bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin berkata, pendedahan tersebut ialah berhubung penerimaan elaun bulanan sebanyak RM30,000 sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1MDB tanpa perlu menghadiri sebarang mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

Menurut Noor Farida, kaedah siasatan melalui kertas putih itu akan membolehkan siasatan dapat dilakukan secara komprehensif dan lebih menyuruh mengenai perkara berkenaan.

"Saya harap bahawa kerajaan akan siasat perkara ini dan melaporkan hasil siasatan melalui kertas putih,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Selasa, Mohd Sidek mendedahkan bahawa beliau dibayar sebanyak RM30,000 tanpa perlu menghadiri sebarang mesyuarat lembaga pengarah 1MDB dari 1 Julai 2010 hingga 23 Jun 2012 ketika masih menjadi KSN.

Mohd Sidek dikekalkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah selepas bersara dengan bayaran RM10,000 sebulan sehingga Jun 2015 apabila dilantik sebagai Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Mengulas lanjut, Noor Farida menyifatkan kenyataan Mohd Sidek itu sebagai memalukan dan menjatuhkan imej pegawai tinggi kerajaan dan sektor awam.

Menurutnya, ia jelas menunjukkan Mohd Sidek seorang pegawai tinggi yang tidak mempunyai integriti serta tidak berkaliber.

"Saya dan rakan-rakan sejawat di Wisma Putra dan Pegawai Tadbir OePTD amnya rasa bahawa kenyataan bekas KSN adalah sangat memalukan dan menunjukkan bahawa beliau adalah seorang pegawai tinggi kerajaan yang tidak berkaliber,” ujarnya.

Noor Farida turut mempersoalkan kenyataan Mohd Sidek yang memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai penerimaan bayaran elaun sebanyak RM30,000 sebulan.

"Susah nak dipercayai kenyataan Mohd Sidek bahawa dia tidak mengetahui dibayar wang RM30,000 sebulan (untuk tidak berbuat apa-apa).

"Ini untuk apa? Untuk tutup mulut dari membuka rahsia Datuk Seri Najib Tun Razak yang jadi Perdana Menteri ketika itu,” soal beliau.

CEMAR REPUTASI PENJAWAT AWAM

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann berkata, pendedahan Mohd Sidek merupakan satu kesalahan etika yang mencemarkan reputasi semua penjawat awam.

Katanya, tawaran sebegitu sepatutnya perlu hadir dengan tanggungjawab yang besar terhadap syarikat berkenaan, bukan tidak melakukan apa-apa tugas.

"Beliau perlu memastikan kepentingan pelabur atau pemegang saham syarikat iaitu rakyat dilindungi. Beliau dibayar RM30,000 iaitu 20 kali ganda gaji minimum tetapi tidak perlu berusaha atau hadir satu mesyuarat pun.

"Ini jelas bukan hanya tidak bertanggungjawab tetapi satu kesalahan etika yang mencemarkan reputasi semua penjawat awam,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Thomas berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu memainkan peranan dan menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut yang disyaki mempunyai unsur-unsur rasuah.

"Ini bukan hanya melibatkan penyalahgunaan kuasa tetapi ada juga unsur rasuah (antara) pihak bos 1MDB pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak dan juga penerima gaji buta, Mohd Sidek yang duduk diam semasa dana negara dilencongkan.

"SPRM dan PAC perlu membuat siasatan. Jika terbukti ada pelanggaran undang-undang, Mohd Sidek perlu dituduh di mahkamah,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca