SHAH ALAM - Sektor perolehan dan penguatkuasaan merupakan dua bahagian dalam perkhidmatan awam yang didapati paling tinggi terbabit dengan jenayah rasuah. Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sektor perolehan dan penguatkuasaan merupakan dua bahagian dalam perkhidmatan awam yang didapati paling tinggi terbabit dengan jenayah rasuah.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Mohamad Tarmize Abdul Manaf berkata, penjawat awam dalam kedua-dua sektor tersebut sememangnya sangat terdedah kepada risiko jenayah tersebut.

"Sebabnya kita faham kalau individu mengendalkan perolehan ini mereka terdedah dengan pelbagai tawaran atau perkara yang menyebabkan mereka menyeleweng.

"Sama juga kalau penjawat awam itu dalam agensi penguatkuasaan, memang dari segi peluang dan cabarannya banyak... sebab bila kita menguatkuasakan undang-undang itu kita banyak berurusan dengan manusia yang buat salah atau cuba nak ‘kawtim’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada rancangan Wacana Sinar Harian edisi ke-351 bertajuk Noktah Rasuah Penjawat Awam pada Jumaat.

Wacana itu turut menampilkan Presiden Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Dr Abdullah Sudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia bagi pihak #Rasuah-Busters, Nurhayati Nordin.

Dari kiri: Moderator, Mohamad Tarmize Dr Abdullah dan Nurhayati semasa Wacana Sinar Harian edisi ke-351 bertajuk Noktah Rasuah Penjawat Awam yang yang berlangsung di Studio Sinar Harian Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

Mohamad Tarmize berkata, statistik terbaharu SPRM sehingga 2021 menunjukkan perkhidmatan awam sememangnya menjadi sektor tertinggi terpalit rasuah berbanding swasta, politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut beliau, daripada 4,719 pesalah rasuah yang ditangkap dalam tempoh lima tahun lalu, 47.2 peratus daripada adalah penjawat awam diikuti pekerja sektor swasta, politik dan NGO (26 peratus) serta orang awam (enam peratus).

"Kesalahan rasuah lazim dilakukan penjawat awam pula yang pertama adalah meminta atau menerima suapan. Kalau ikut statistik yang sama, 60 peratus penjawat awam ditangkap adalah disebabkan kesalahan meminta rasuah.

"Kedua adalah berkatan mengemukakan tuntutan palsu,” ujarnya yang turut memaklumkan tindakan lain turut boleh disabitkan di bawah rasuah adalah berkaitan salah guna kuasa dan kedudukan.

Bagi menangani gejala berkenaan, beliau berkata, penjawat awam yang berada dalam dua sektor kritikal terdedah rasuah itu perlu lebih peka dan berhati-hati terhadap risiko berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata, pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan awam juga perlu mengambil langkah pencegahan dengan menambah baik prosedur dan sistem pengurusan digunakan.

Katanya, langkah itu perlu dilaksanakan selain daripada tindakan mendigitalkan sistem pengurusan yang dilihat terbukti mampu mengurangkan risiko rasuah.

"Punca banyak berlaku rasuah adalah kerana sistem dan prosedur yang lemah. Jadi di samping gunakan sistem berkomputer, mana-mana sistem yang lemah dan buka peluang dan ruang kepada rasuah itu perlu ditutup,” katanya.

Untuk menangani isu tersebut, Mohamad Tarmize berkata, pengurusan tertinggi terbabit boleh mendapatkan bantuan khidmat nasihat daripada SPRM melalui bahagian pemeriksaan dan perundingan untuk mengukuhkan sistem dan prosedur pengurusan organisasi masing-masing.

Klik di sini untuk terus membaca