SHAH ALAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan adalah haram untuk seseorang menerima imbuhan lebih daripada jumlah upah yang ditetapkan bagi pekerjaannya. Beliau berkata, perkara itu telah dijelaskan oleh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan adalah haram untuk seseorang menerima imbuhan lebih daripada jumlah upah yang ditetapkan bagi pekerjaannya.

Beliau berkata, perkara itu telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad menerusi satu hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

"Nabi bersabda dalam hadis, sesiapa yang kami lantik untuk melaksanakan satu kerja dan kami beri upah dengan jumlah tertentu. Apa yang diambil selepas itu ia dipanggil wang haram,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang menerima elaun sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM30,000 sebulan tanpa menghadiri sebarang mesyuarat.

Mohd Sidek dalam keterangannya semasa perbicaraan kes rasuah berkaitan penyelewengan 1MDB Selasa lalu mendedahkan, beliau dibayar sebanyak RM30,000 oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika masih lagi bertugas sebagai KSN kerana Najib merasakan gaji yang diterimanya sebagai KSN sangat kecil jumlahnya.

Mohd Sidek ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebagai saksi perbicaraan kes berhubung 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama

Sebagai rekod, gaji pokok yang diterima oleh Mohd Sidek sebagai KSN ketika itu ialah RM29,125 sebulan, sebagaimana yang didedahkannya kepada mahkamah.

Mohd Sidek menerima elaun bulanan sebagai penasihat 1MDB dari 1 Julai 2010 hingga 23 Jun 2012. Selepas beliau bersara sebagai KSN, perkhidmatannya dengan 1MDB dilanjutkan sehingga Jun 2015 tetapi dengan elaun RM10,000 sebulan.

Mohd Sidek dalam perbicaraan yang sama ketika menjawab soalan peguam, berpandangan lantikannya sebagai ahli lembaga penasihat syarikat 1MDB dibuat kerana ‘kebaikan hati’ Najib yang mahu mengimbangi gaji bulanan yang diterimanya sebagai KSN yang dianggap kecil oleh Najib.

Sementara itu, Wan Salim berkata, hukum menerima imbuhan lebih daripada sepatutnya itu adalah haram lebih-lebih lagi ia diterima daripada dana kerajaan.

Pada masa sama, beliau berkata, umat Islam seharusnya meninggalkan perkara yang meragukan termasuk dalam isu berkaitan imbuhan bagi pekerjaan mereka.

Jelas Wan Salim, jika didapati telah menerima imbuhan yang dihukumkan haram, individu terbabit wajib bertaubat dan memulangkan kembali wang berkenaan kepada perbendaharaan negara kerana ia adalah dana milik kerajaan.

"Kalau tidak boleh (salurkan kepada kerajaan), sebagai alternatif penerima, beliau kena salurkan wang itu kepada kepentingan awam seperti orang miskin atau melalui mahkamah,” tegas Wan Salim lagi.

Klik di sini untuk terus membaca