SHAH ALAM - Pelantikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa perlu menjalankan apa-apa tugas didakwa bukanlah perkara baharu kerana ia turut berlaku... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pelantikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa perlu menjalankan apa-apa tugas didakwa bukanlah perkara baharu kerana ia turut berlaku dalam banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Malaysia.Pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel berkata, individu berkenaan ditawarkan jawatan dalam syarikat GLC sebagai satu bentuk ganjaran.

"Kes Mohd Sidek bukan kes terpencil kerana ramai yang dilantik dalam GLC lain di Malaysia hanyalah sebagai ganjaran untuk berada di sana (jawatan) tanpa melakukan apa-apa yang penting."Mohd Sidek harus memulangkan semula wang elaun yang diterimanya dan juruaudit awam perlu dilantik untuk menjalankan audit khas mengenai perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Cynthia Gabriel

Sebelum ini, Mohd Sidek yang menjadi saksi ke-19 pendakwaan terhadap perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan beliau telah menerima sebanyak RM30,000 sebulan sebagai bayaran penasihat 1MDB tanpa perlu menghadiri sebarang mesyuarat.

Dalam pada itu, Cynthia turut mendesak satu audit forensik dijalankan agar reputasi kerajaan dan penjawat awam dapat dipulihkan segera.

"Sebuah badan audit wajar ditubuhkan bertujuan untuk mengaudit kes ini selain dapat mengembalikan semula reputasi kerajaan,” ujarnya.

Aira

Sementara itu, Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Aira Azhari berkata, pelantikan ahli lembaga pengarah dalam syarikat GLC yang dibuat tanpa berasaskan merit menjadi punca seseorang itu tidak berfungsi dalam sesebuah syarikat.

Justeru katanya, pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan setiap lantikan jawatan dalam GLC dilakukan secara telus dan diberi kepada mereka yang benar-benar layak.

"Antara sebab perkara sebegini berlaku adalah kerana prosedur lantikan ahli lembaga pengarah GLC tidak dilakukan dengan telus,” kata Aira lagi.

Klik di sini untuk terus membaca