GEORGETOWN - Kerajaan perlu segera memberi kebenaran kepada pekerja asing dalam industri perhotelan bagi menangani masalah isu kekurangan tenaga kerja ketika ini. Pengurus Besar The Light Hotel, K Raj Kumar berkata, kekurangan tenaga... Klik di sini untuk terus membaca

GEORGETOWN - Kerajaan perlu segera memberi kebenaran kepada pekerja asing dalam industri perhotelan bagi menangani masalah isu kekurangan tenaga kerja ketika ini.

Pengurus Besar The Light Hotel, K Raj Kumar berkata, kekurangan tenaga pekerja terutama dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) antara masalah sedang dihadapi kebanyakan pengusaha hotel di negeri ini.

Menurutnya, walaupun ditawar gaji lumayan serta faedah lain, namun rakyat tempatan kurang berminat untuk bekerja dalam sektor berkenaan.

"Akibat kekurangan tenaga kerja, ia menyebabkan pihak hotel tidak dapat membuka sepenuhnya tempahan bilik, sedangkan ketika ini kebanyakannya mendapat permintaan yang tinggi terutama pada musim cuti sekolah.

"Isu ini perlu ditangani segera. Sekiranya dibiarkan berlarutan, kita bimbang pengusaha hotel gagal memberikan perkhidmatan sempurna hingga menyebabkan pelanggan tidak berpuas hati,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Tony Goh berkata, kira-kira 89 hotel di negeri itu yang berdaftar di bawah MAH berdepan dilema tenaga kerja hingga mengganggu operasi terutama ketika cuti hujung minggu dan cuti persekolahan.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya 3,000 tenaga kerja dalam bidang 3D untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada tetamu.

"Kami berharap kerajaan bantu percepatkan kemasukan tenaga kerja asing untuk bekerja dalam industri ini,” katanya.

GRADUAN LEBIH SUKA KERJA FLEKSIBEL

Sementara itu, golongan muda terutama graduan ketika ini dilihat tidak lagi berminat bekerja dalam sektor perhotelan, sebaliknya mereka memilih kerja yang lebih fleksibel dan memberikan pendapatan lumayan.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Sumber Manusia) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau, Dr Muhammad Aiman Arifin berkata, pekerjaan yang fleksibel itu memberi kebebasan dan sesuai dengan jiwa anak muda.

Beliau berkata, antara pekerjaan yang menarik minat belia sekarang ialah perkhidmatan p-hailing dan e-hailing seperti pemandu Grab dan penghantar Foodpanda.

"Sebelum ini sektor perhotelan merupakan antara sektor yang menjadi tumpuan graduan untuk bekerja selepas tamat pengajian, namun saya melihat berlaku perubahan dalam sektor pilihan anak muda untuk bekerja terutama selepas pandemik Covid-19.

"Saya pernah menemu bual mahasiswa yang baru tamat pengajian dan mereka mengatakan tertarik pada kerja yang lebih fleksibel berbanding berstruktur seperti perlu masuk ke pejabat atau tempat kerja pada waktu-waktu yang telah ditetapkan,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Muhammad Aiman berkata, bidang p-hailing dan e-hailing juga membolehkan anak muda memperoleh pendapatan tinggi iaitu berdasarkan jumlah penghantaran berbanding kerja yang menerima gaji sama setiap bulan.

Klik di sini untuk terus membaca