PORT DICKSON - Kebanyakan pengusaha hotel di Negeri Sembilan terutama di Port Dickson terus berdepan masalah kekurangan pekerja dan disifatkan sebagai kritikal. Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

PORT DICKSON - Kebanyakan pengusaha hotel di Negeri Sembilan terutama di Port Dickson terus berdepan masalah kekurangan pekerja dan disifatkan sebagai kritikal.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, meskipun kebanyakan hotel kini menawarkan kerja kosong serta mengadakan temu duga terbuka, namun ia tidak mendapat sambutan.

"Nak cari pekerja hotel sekarang ini memang susah walaupun had minimum gaji dinaikkan kepada RM1,500.

"Masalah ini sudah jadi isu nasional dan kini kritikal apabila tempahan hotel kembali rancak terutama pada waktu cuti sekolah,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, disebabkan itu, terdapat pengurus hotel dan pekerja pengurusan terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan.

Ujarnya, ada juga hotel-hotel besar yang tidak mahu mengambil tempahan sepenuhnya kerana bimbang tidak dapat memberikan perkhidmatan terbaik.

"Nak bersihkan bilik ini ambil masa. Daripada banyak masalah dan jejaskan nama baik hotel, mereka ambil langkah menolak tempahan.

Haziz berkata, ramai pekerja yang sebelum ini diberhentikan akibat pandemik Covid-19 tidak lagi berminat kembali bekerja di industri perhotelan kerana sudah beralih ke bidang lain seperti syarikat penghantaran barangan dan makanan serta berniaga secara dalam talian.

Pengurus Hotel Sri Malaysia Port Dickson, Shaharim Mokhtar juga mengakui berdepan masalah kekurangan pekerja di bahagian dapur terutama tukang masak.

"Untuk bahagian pembersihan pula, buat masa ini kita gunakan khidmat pekerja sambilan pada waktu tertentu.

"Pekerja sambilan ini biasanya dalam kalangan ahli keluarga pekerja kami juga,” katanya.

Kelihatan seorang wanita mengambil gambar iklan temu duga terbuka sebuah hotel di Port Dickson.

ORANG TEMPATAN TAK MINAT 'HOUSEKEEPING'

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Christina Toh berkata, kurang minat untuk melakukan tugasan housekeeping antara punca kekurangan tenaga pekerja warga tempatan dalam industri perhotelan di negara ini.

Katanya, selepas pembukaan sempadan negara pada awal April lalu, kebanyakan hotel memerlukan ramai pekerja terutama untuk bahagian pengemasan dan pengurusan berikutan menerima banyak tempahan.

"Apabila sempadan domestik dibuka dan kemudiannya sempadan antarabangsa, kita tahu ramai orang kehilangan pekerjaan.

"Pada awalnya, kita jangka ramai pekerja akan balik dan memohon kerja semula di hotel. Tetapi mereka kurang minat dengan 'housekeeping'.

"Walaupun ada hotel-hotel yang beri gaji lumayan dan insentif yang baik tetapi respons daripada mereka itu masih kurang,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Christina berkata, industri perhotelan pada ketika ini memerlukan tenaga pekerja warga asing bagi mengatasi masalah tersebut terutama menjelang cuti hujung tahun.

Katanya, pihak hotel juga akan mengambil pekerja sambilan sebagai langkah alternatif bagi memastikan kebersihan dan pengurusan hotel terjaga.

"Kami juga ada menghubungi pekerja sambilan. Cuma kami berharap Kementerian Sumber Manusia mempercepatkan proses kelulusan permit untuk pekerja asing,” ujarnya.

Christina juga berkata, pihaknya tidak menjangkakan peningkatan mendadak dari segi kemasukan pelanggan hotel susulan pembukaan sempadan negara yang baru diumumkan.

Klik di sini untuk terus membaca