SIFAT manusia yang dihubungkaitkan dengan alam serta beberapa makhluk atau benda yang lain telah dijadikan perbandingan sejak dahulu kala lagi. Malah, perbandingan tersebut ada terkandung di dalam al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi SAW.
Tujuan perbandingan adalah untuk memberi pengajaran dan iktibar kepada kita semua. Mungkin kita pernah mendengar bidalan seperti, ‘Jadilah mentari yang sentiasa menyinari semesta alam’, ‘Jadilah seperti lilin yang membakar diri untuk menyinari lain’. Malah, terdapat juga perbandingan seperti, ‘Janganlah menjadi seperti seekor anjing yang menyalak bukit’, ‘Seperti kera mendapat bunga’ dan sebagainya lagi.
Sebetulnya, perbandingan tersebut sama ada secara terus atau berkias dapat membantu individu memahami nilai kehidupan dengan lebih luas dan jelas. Walaupun agak berat untuk menerima perbandingan tersebut, namun minda dan hati kita perlu sentiasa diterjah supaya tidak lalai dan alpa dengan kemanisan dunia.
Pun begitu, masih ramai yang tidak mempedulikan pengajaran dan peringatan tersebut kerana kekal angkuh dan bangga terhadap kehebatan diri sendiri. Berkaitan hal itu, Pak Hamka menerusi bukunya, Akhlaqul Karimah menjelaskan, "Kita diciptakan oleh ALLAH SWT di dunia menjadi manusia, tidak seorang juga di antara kita yang mahu menjadi binatang, tetapi meskipun tidak mahu jadi binatang, tidak sedikit manusia yang lebih rendah dari binatang”.
Berbalik kepada perbandingan sifat singa dan ular dalam membentuk watak-watak manusia, kedua-duanya mempunyai ciri dan karakter yang berbeza. Menurut perspektif psikologi, watak singa ditonjolkan sebagai kuat, bertanggungjawab, mempunyai prinsip dan tidak menzalimi orang lain. Pun begitu, individu berkenaan kurang mesra, tidak pandai bergurau serta agak serius.
WATAK-WATAK HAIWAN
Watak ular, digambarkan individu yang bersifat licik, suka mengambil kesempatan, tikam dari belakang, tidak jujur dan zalim serta menyakiti. Kebanyakan individu yang berwatak ular; lembut lidahnya, sentiasa ceria, mudah didekati dan pandai mempengaruhi.
Hakikatnya, kealpaan kita sewaktu bersama mereka memudahkan mereka untuk membelit, mematuk dan merembeskan racun yang berbisa ke dalam diri kita. Bukan mudah untuk kembali pulih daripada sengatan mereka yang amat berbisa.
Berkaitan dengan sifat ular, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, Nabi SAW bersabda, "Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu; tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak dan anjing gila atau ganas” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Namun, Nabi SAW turut menyebutkan ular dan cicak dalam riwayat yang lain. Menurut pandangan beberapa ulama, istilah fasiq digunakan kepada haiwan berkenaan kerana memiliki sifat zalim yang mengancam kesejahteraan hidup.
Justeru, jika sifat ular dijadikan perbandingan kepada seseorang, adalah jelas sifat berkenaan boleh mengancam kebahagiaan dan kesejahteraan hidup orang lain. Ia bermakna, sifat tersebut tidak boleh dibiarkan berleluasa dan begitu dominan dalam kehidupan kita. Yang jelas, watak berkenaan perlu ‘dibunuh’ dengan sewajarnya.
Bagi mencapai kehidupan aman dan sejahtera, kita perlu semak semula kenalan dan sesiapa sahaja yang berada dalam lingkungan kita. Sekiranya ada individu yang bersifat ular, kita perlu cantas dan buang daripada kelompok kepercayaan atau 'circle of trust' yang telah kita bina selama ini.
Justeru, carilah kenalan berprinsip dan bermaruah. Walaupun mereka kurang mesra, namun tidak hipokrit sewaktu bersama dengan kita. Kita berasa lebih selamat kerana ketegasan mereka membimbing kita menjauhi perkara-perkara yang batil dan melalaikan.
Bagi mencapai kehidupan yang aman dan sejahtera, kita perlu semak semula kenalan dan sesiapa sahaja yang berada dalam lingkungan kita.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca