MASIH belum terlambat untuk kita semua merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucapan "Dirgahayu Tuanku” kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda pada Isnin lalu.
Memandangkan negara masih dalam suasana sambutan ulang tahun tersebut, ada baiknya kita mendalami dan menghayati tentang kedaulatan raja dan kewibawaannya dalam konteks bernegara. Hal ini bukan sahaja penting bagi memahami kedudukan serta fungsi raja itu dalam pemerintahan dan pentadbiran, malah dihidupkan sebagai suatu pengukuhan roh kewarganegaraan yang taat, setia dan bertanggungjawab.
Kedaulatan raja dan negara adalah suatu yang bersifat harmoni dan saling melengkapi. Kedaulatan yang secara umum menerangkan kekuasaan tertinggi dan kewibawaan sesebuah negara yang bebas untuk melaksanakan pemerintahan dan pentadbiran dirangkumkan dalam perlembagaan negara dengan meletakkan raja sebagai tunjang kuasa.
Dalam konteks Malaysia, sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen itu juga tidak terpisah. Salah tafsir ini sering berlaku kerana tanggapan mudah yang mengandaikan amalan sedemikian serupa seperti di United Kingdom (UK).
Secara ringkas sistem raja berperlembagaan adalah sistem yang mengiktiraf kedudukan dan peranan institusi raja yang dilengkapi dengan kuasa-kuasa tertentu sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan.
Manakala demokrasi berparlimen pula memperakui bahawa wujud institusi parlimen yang menghidupkan amalan demokrasi – pilihan raya, hak memilih, kebebasan bersuara, hak berpartisipasi – di mana parlimen menjadi institusi yang menggubal undang-undang menjadi pelengkap kepada amalan raja berperlembagaan.
Persoalannya apakah dengan definisi tersebut maka kedaulatan raja terpisah dan tiada peranan signifikan selain daripada menjalankan fungsi-fungsi bersifat simbolik semata-mata? Di sinilah kefahaman asas tentangnya perlu dan penting untuk dilakukan.
MONARKI DEMOKRASI BERPARLIMEN
Ada beza antara amalan sedemikian dengan melihat aspek raja berperlembagaan di Malaysia dengan monarki demokrasi berparlimen (DPM) seperti di UK. Amalan raja berperlembagaan mengangkat ketertinggian perlembagaan dengan memperlihatkan kewujudan, ketersalingan dan legitimasi bersama antara raja dan parlimen dalam membentuk atau menamatkan sesebuah kerajaan secara sah mengikut lunas-lunas perlembagaan. Sedangkan DPM pula mengangkat ketertinggian parlimen di mana hanya parlimen yang dipilih secara bebas boleh membentuk dan menamatkan sesebuah kerajaan secara sah.
Jadi peranan raja dalam DPM hanya berfungsi penaung kepada amalan demokrasi tanpa diberikan sebarang kuasa yang signifikan berbanding raja berperlembagaan yang bukan sahaja menjadi tunjang asas kepada amalan demokrasi malah dibekalkan dengan kuasa, peranan dan fungsi yang dimaktubkan dalam perlembagaan.
Malah perbezaan amalan antara raja berperlembagaan dan DPM itu juga boleh dilihat dengan membandingkan aspek-aspek seperti peraturan perundangan (rule of law), kekangan perlembangaan (constitutional constraints), status parlimen (status of parliament) serta autonomi relatif (relative autonomy) institusi beraja ke atas institusi-institusi yang lain.
Dalam konteks Malaysia maka tidak timbul soal campur tangan raja kerana jelas konsep raja berperlembangaan menunjukkan bagaimana kedaulatan raja dan negara itu adalah sesuatu yang harmoni dan tidak terpisah.
Jadi jelas keutuhan, kewibawaan dan kedaulatan raja adalah nadi penting dalam sinergi pengukuhan negara. Raja berdaulat memainkan peranan utamanya sebagai payung dan pelindung negara, mizan pengimbang kuasa kepada seluruh institusi pemerintahan serta tonggak integrasi dan penyatuan.
*Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca