SELEPAS tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak saya sibuk mencari kerja.
Katanya hendak mengumpul duit untuk mengambil lesen motosikal dan membeli motosikal. Sudah beberapa kali dia minta dibelikan motosikal.
"Beli dengan duit sendirilah,”jawab saya.
Pada bulan puasa baru-baru ini, dia bekerja di stesen minyak. Itu pun hanya bertahan selama seminggu dua sahaja. Kerjanya mengikut syif. Kadang-kadang berbuka di tempat kerja bersama pekerja lain.
Katanya dia lagi, duit masuk selalu tidak cukup. "Rasanya dah betul bagi baki,” katanya lagi. Riak mukanya menunjukkan kekecewaan. Bak kata pepatah seperti terpegang di abu hangat.
Saya hanya tersenyum sahaja. Biarkan dia merasakan pengalaman hidup di alam pekerjaan. Bukan senang untuk mencari duit. Banyak cabarannya. Apatah lagi baru hendak mengenal alam pekerjaan.
Akhirnya dia berhenti kerja tanpa mendapat gaji. Ibarat mencurahkan tenaga secara percuma sahaja kepada majikannya. Dia merungut-rungut keletihan. Sekali lagi, saya hanya tersenyum sahaja.
Selepas hari raya, dia giat mencari kerja semula. Semangatnya untuk mengumpul duit tidak pernah pudar. Cuma tenaga kerjanya sahaja mungkin pudar apabila apa yang diusahakan bak kata pepatah seperti menjaring angin.
Mungkin sudah rezekinya, dia mendapat pekerjaan di sebuah kedai makan tersohor dan juga menjadi sebutan orang ramai di media sosial. Maka, pukul 8 pagi, dia akan ke tempat kerja dan lebih kurang pukul 6 petang dia akan pulang ke rumah.
Kali ini mukanya agak ceria. Seronok bekerja di kedai makan agaknya. Apatah lagi dia merupakan anak yang suka makan. Saya bertanya juga akan keadaannya bekerja di kedai tersohor itu.
"Ok ke?” tanya saya.
"Ok, dapat gaji harian”, katanya.
"Berapa?” Tanya saya lagi.
"RM45,” jawabnya riang seperti kanak-kanak Ribena.
TITIK PELUH
Selain gaji harian, makan minumnya pun ditanggung. Dua kali makan percuma katanya. Kadang-kadang balik kerja ada sahaja buah tangan dibawa pulang. Lauk-pauk atau kuih-muih yang tidak habis. Saya pun mendapat tempias makan percuma akan sajian restoran tersohor tersebut.
Hari Ahad pula, jika ramai pelanggan, dia akan mendapat gaji RM55 sehari. Habis sahaja kerja, tauke kedai akan membayar gaji tanpa bertangguh lagi. Wajahnya tersenyum apabila pulang dari kerja.
Baru-baru ini dia telah pun lulus lesen L. Sekarang dia sedang berkira-kira pula untuk membuat lesen B2. Tarikh belajar dan ujian jalan raya belum ditetapkan lagi katanya. Bayaran penuh pun sudah selesai.
Saya berfikir juga menambah duit untuk dia membeli motosikal nanti. Mungkin motosikal terpakai sahaja.
Dengan duit harian, paling penting dia belajar bersabar untuk mendapatkan sesuatu yang dikehendakinya. Berusaha untuk menyimpan hasil titik peluhnya. Bukan mudah, tapi itulah pengajarannya.
Orang muda ini kadang-kadang mengikut perasaan. Mungkin juga boros. Kalau dapat gaji seketul, mungkin habis dibelanjakan kepada peranti elektronik terbaru. Ataupun membeli benda-benda yang tidak perlu.
Selain gaji harian, boleh juga melaksanakan gaji mengikut jam. Boleh bekerja dua jam atau tiga jam sahaja sehari bergantung kepada keperluan. Ataupun kalau susah sangat, gaji mingguan.
Walaupun ia ibarat kais pagi makan pagi, keperluan harian tidaklah tertangguh. Poket sentiasa sahaja ada duit. Pandailah mereka ini untuk menguruskan perbelanjaan sendiri nanti. Tidaklah cukup bulan sahaja bak kata pepatah bagai berkain tiga hasta.
Lagipun dengan gaji harian atau mingguan ini, perbelanjaan pun terkawal. Hendak berbelanja lebih, perlu berfikir dua kali. Kalau terlebih belanja pula, tidaklah bimbang kerana esok, pasti poket akan berisi semula.
Mungkin, jika majikan tidak dapat membayar setiap hari, terdapat pilihan yang boleh difikirkan. Seperti di Amerika Syarikat menurut, U.S Bureau of Labour Statistics (BLS), 42 peratus majikan memilih model pembayaran gaji setiap dua minggu.
34 peratus memilih untuk membayar gaji menggunakan model setiap minggu, berbanding model pembayaran gaji setiap bulan iaitu hanya lima peratus. Mungkin ada pro dan kontra.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca