KUALA LUMPUR - Polis merekodkan sebanyak 182 kes penghinaan terhadap institusi diraja sejak tahun 2020 sehingga Mei tahun ini. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, berdasarkan statistik... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Polis merekodkan sebanyak 182 kes penghinaan terhadap institusi diraja sejak tahun 2020 sehingga Mei tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, berdasarkan statistik kes direkodkan, polis telah menangkap 46 individu kerana kenyataan mereka berbaur fitnah dan menghina institusi itu.

Menurut beliau, mengikut pecahan pada tahun 2020 merekodkan 66 kes di mana 58 kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman dan lapan disiasat di peringkat kontinjen dengan keseluruhan melibatkan 21 tangkapan.

"Bagi tahun 2021 pula, ia membabitkan 23 tangkapan dan terdapat 105 kes diterima di mana 74 kes disiasat oleh USJT, manakala 31 kes disiasat di peringkat kontinjen.

"Pada tahun ini sehingga Mei, 11 kes dilaporkan dan telah disiasat oleh USJT dengan melibatkan dua tangkapan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bukit Aman, baru-baru ini.

Abd Jalil memberitahu, pihaknya mendapati tindakan segelintir individu yang menghina institusi diraja ini disebabkan ikutan dan pengaruh kebebasan suara dengan kaedah pemikiran orang luar.

"Mereka menjadikan media sosial sebagai platform dengan mewujudkan kebencian di kalangan masyarakat terhadap institusi diraja,’’ tegas beliau.

Jelasnya, masyarakat Malaysia ini berbilang kaum terdiri daripada majoriti Melayu, Cina serta India dan mana-mana kaum perlu menghormati institusi diraja.

"Sekiranya seseorang itu tidak menghormati hak seseorang atau masyarakat yang bangga dengan institusi diraja ini bermakna mereka telah menafikan hak kaum majoriti yang menghormati institusi diraja. Pada kami pihak berkuasa, hak kebebasan bersuara ini ada hadnya, perlu tahu mana yang berhak bersuara atau mana yang patut dihormati.

"Mereka ini terpengaruh dengan adaptasi pengaruh luar serta perubahan yang berlaku dalam masyarakat selain keterujaan terhadap nilai rasionalisme dari luar negara.

"Contohnya, hak kebebasan bagi isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Ingin diingatkan, majoriti masyarakat negara ini tidak setuju dengan agenda kumpulan itu kerana jika agenda itu berleluasa di negara ini, ia akan merosakkan sistem kekeluargaan,” tegasnya.

Abd Jalil

HORMATI UNDANG-UNDANG

Tambah Abd Jalil, sekiranya tidak ingin melihat kacau bilau berlaku, hormatilah undang-undang sedia ada yang dipersetujui bersama di dalam perlembagaan yang dipegang sejak merdeka.

Beliau mengingatkan bahawa provokasi sebegini jika tidak dibendung akan mengakibatkan perkara yang sukar untuk ditenteramkan.

"Jadi, kita nasihatkan orang ramai agar usah sesekali menimbulkan provokasi di kalangan masyarakat majmuk yang ada dalam negara. Hormatilah kebebasan beragama dan hormati hak majoriti yang ada di Malaysia. Siasatan dan tangkapan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang ada,” katanya.

Beliau menasihatkan masyarakat harus menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab dan sedar akan bahayanya penyalahgunaan media sosial.

"Berhati-hati sebelum menyalurkan maklumat di media sosial dengan menjadi orang bertanggungjawab dan beretika.

"Pada saya, menggunakan platform sukan atau politik untuk mengambil kesempatan cari populariti adalah perbuatan yang perlu diambil tanggungjawab. Apa yang ditulis sesuatu perkara perlu bertanggungjawab. Usah menulis tanpa asas dan fakta yang betul kerana ia boleh menjadi fitnah,” katanya.

Justeru, Abd Jalil mengingatkan bahawa orang ramai perlu memandang tinggi institusi diraja kerana ia terbukti berjaya menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Klik di sini untuk terus membaca