SEMASA membentangkan pendapat saya di salah satu sesi di World Economic Forum pada hujung bulan Mei, saya menyatakan bahawa manusia sentiasa bergelut untuk mencapai keseimbangan antara keuntungan jangka masa pendek dan pulangan jangka... Klik di sini untuk terus membaca

SEMASA membentangkan pendapat saya di salah satu sesi di World Economic Forum pada hujung bulan Mei, saya menyatakan bahawa manusia sentiasa bergelut untuk mencapai keseimbangan antara keuntungan jangka masa pendek dan pulangan jangka panjang kerana naluri kita sentiasa cenderung untuk memilih kepuasan serta merta. Oleh itu, tidak mudah meyakinkan orang ramai untuk bertindak sekarang bagi kesenangan masa depan, walaupun manfaatnya sangat jelas.

Semasa menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah bank serantau, saya sentiasa membentangkan perspektif jangka panjang kepada pemegang saham kami. Pemegang saham lazimnya lebih cenderung kepada pandangan jangka pendek, yang boleh menyukarkan pelaksanaan rancangan penstrukturan semula yang mengambil masa berbilang tahun.

Apabila berada dalam kerajaan, tanggungjawab untuk meyakinkan pihak berkepentingan tentang pemikiran jangka panjang ternyata berpuluh kali lebih sukar, terutama sekali apabila berjuta-juta nyawa dan mata pencarian terancam akibat pandemik. Tekanan inflasi semasa disebabkan oleh faktor luaran meningkatkan lagi kebimbangan jangka pendek.

Tiada formula bagi mengharungi situasi ini untuk mengimbangi 100 peratus antara keperluan semasa dan masa hadapan. Sebagai penggubal dasar yang bertanggungjawab ke atas kewangan negara, Kementerian Kewangan (MOF) mesti membuat pertimbangan berdasarkan pelbagai faktor dan kepentingan saling bersaing.

Penggubalan dasar yang bertanggungjawab akan memastikan sebarang langkah adalah berbaloi dan menghasilkan pulangan baik. Namun apabila Covid-19 melanda − meragut lebih enam juta nyawa, menjangkiti lebih setengah bilion populasi dunia dan meranapkan pelbagai aspek ekonomi − kerajaan di seluruh dunia termasuk Malaysia, tidak mempunyai pilihan selain memberi tumpuan kepada langkah bantuan jangka pendek untuk rakyat masing-masing.

Di Malaysia, mereka yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan terjejas diberikan bantuan melalui lapan pakej rangsangan dan bantuan nasional yang bernilai RM530 bilion. Penggunaan rizab negara untuk melaksanakan vaksinasi segera dan kritikal untuk 32 juta rakyat Malaysia juga bermakna kerajaan terpaksa menangguhkan beberapa rancangan pembaharuan fiskal dan jangka panjang.

Tetapi saya sentiasa mengingatkan rakan sekerja di MOF bahawa krisis juga membuka pelbagai peluang untuk melaksanakan agenda reformasi fiskal. Sebenarnya, inilah masa terbaik untuk The Great Reset.

TIGA PRINSIP

Sejak 2020, MOF telah menumpukan kepada pembinaan daya tahan sosioekonomi supaya rakyat dan perniagaan kita boleh bangkit semula dengan lebih kukuh berbanding sebelum ini, lebih-lebih lagi sekiranya krisis seperti Covid-19, atau yang lebih serius, melanda pada masa hadapan. Apa yang penting ialah pengukuhan daya tahan fiskal, kerana tanpanya kita tidak akan mampu membantu rakyat kembali pulih dan berkembang maju.

Untuk membina asas pembaharuan jangka panjang melalui keputusan pada hari ini, MOF dipandu oleh tiga prinsip utama: Responsif; Bertanggungjawab dan Reformis. Seboleh-bolehnya, pelbagai dasar adalah berasaskan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (Environmental, Social and Governance atau ESG), serta pertimbangan matlamat pembangunan mampan (Sustainable Development Goals atau SDG).

Oleh itu, langkah-langkah responsif jangka pendek yang dikendalikan MOF juga mesti memenuhi kriteria bertanggungjawab. Dalam tempoh dua tahun lalu, kami juga memetakan kebanyakan langkah belanjawan terhadap SDG tertentu untuk memastikan kesejahteraan masa depan negara.

Satu contoh yang baik ialah dasar untuk meluaskan liputan program perlindungan sosial, kepada kumpulan lebih terdedah seperti ibu tunggal dan sektor tidak formal/gig. Di bawah bajet tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM80 juta untuk melanjutkan perlindungan sosial kepada suri rumah dan balu daripada risiko hilang upaya, sakit, atau usia tua melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Semua ini adalah keputusan dasar semasa untuk kesejahteraan masa depan rakyat.

Satu lagi contoh ialah bagaimana kita berjaya mendaftarkan kebanyakan golongan B40 dan M40 ke dalam sistem apabila kita mula memberikan bantuan tunai langsung pada tahun 2020-2021. Ramai penerima lega kerana bantuan dikreditkan terus ke dalam akaun bank mereka. Untuk langkah bantuan langsung seterusnya, kita telah menggunakan pangkalan data pusat sama, yang sentiasa dikemas kini dan disemak silang terhadap data 27 agensi kerajaan bagi meminimumkan ralat dalam pelaksanaan dasar masa hadapan.

KE ARAH KELESTARIAN

Langkah-langkah seperti Latihan Semula dan Peningkatan Kemahiran HRD Corp juga adalah berdasarkan pandangan jangka sederhana dan panjang kerana penting untuk kita mengekalkan kemahiran seseorang walaupun semasa mencari pekerjaan.

Walaupun kami bersikap responsif dalam jangka masa pendek, MOF juga bertanggungjawab dari segi fiskal. Kami merancang membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) kepada Parlimen menjelang akhir 2022. Ia akan turut merangkumi Strategi Hasil Jangka Sederhana dan prinsip panduan mengenai aspek seperti asas hasil yang lebih luas dan had hutang statutori.

Dari segi kewangan, sesebuah negara mesti diselia dengan ketat supaya kita mempunyai sumber yang mencukupi untuk melaksanakan programreformasi yang sesuai dan memenuhi agenda ESG negara. Semua ini dan banyak lagi juga telah dikongsikan dalam Kenyataan Pra-Bajet diterbitkan baru-baru ini, yang menetapkan keutamaan kami untuk Bajet 2023.

Reformasi berlandaskan ESG mampu membina daya tahan sosioekonomi jangka panjang dan ini adalah pertahanan terbaik terhadap kejutan dan pandemik masa depan. Malah, usaha negara ke arah kelestarian telah pun bermula dengan GLIC seperti Khazanah, KWSP dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang telah melancarkan rangka kerja dan sasaran kemampanan masing-masing. Dari segi pembiayaan, sektor perbankan turut mempunyai Rangka Tindakan Sektor Kewangan baharu bagi lima tahun akan datang untuk menggalakkan pembiayaan yang menyokong, antara lain matlamat kemampanan Malaysia.

Bagaimanapun, komunikasi berterusan adalah penting untuk menyampaikan mesej bahawa pembangunan jangka panjang adalah seperti sebuah maraton, di mana kita perlu menyiapkan diri kita secara fizikal. Untuk itu, kekukuhan fiskal adalah ibarat sebuah badan yang sihat untuk memulakan perlumbaan. Reformasi adalah lebih sukar, umpama memotong anggota yang dijangkiti barah (contohnya, subsidi menyeluruh) dan menjalani kemoterapi (perbelanjaan yang bertanggungjawab) untuk kita terus hidup.

Dalam menyesuaikan keperluan jangka pendek dan faedah jangka panjang, MOF sentiasa mencari penyelesaian terbaik yang akan memanfaatkan bilangan penerima terbesar dan mempertimbangkan kepentingan pelbagai pihak. Setakat ini, saya percaya MOF telah membuktikan bahawa ia cukup responsif untuk memastikan bukan sahaja kemenangan pantas, tetapi juga kestabilan jangka sederhana dan perubahan jangka panjang yang bertanggungjawab yang akan membantu kita menangani landskap sentiasa berubah untuk reformasi berkekalan.

Sudah pasti akan sentiasa ada cabaran di sepanjang jalan ke arah pembangunan mampan tetapi saya optimis bahawa terdapat ramai Keluarga Malaysia yang tidak mudah terpengaruh dengan pandangan jangka pendek dan populis yang boleh menjejaskan masa depan anak-anak kita dan generasi akan datang, Insya-ALLAH. Bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Kewangan

Klik di sini untuk terus membaca