SHAH ALAM - Kebanyakan golongan profesional Malaysia mengambil keputusan bekerja di luar negara adalah disebabkan faktor pengembangan kerjaya di samping mendapatkan pendedahan.
Justeru tidak adil untuk melabelkan golongan ini sebagai tidak patriotik kerana sebahagian besar daripada mereka berhasrat untuk pulang dan berbakti di tanah air.
Ketua Pegawai Modal Insan MBSB Bank, Mohd Farid Shah Mohd Basir, 52, berkata, beliau sendiri kembali ke Malaysia setelah lapan tahun berkhidmat di luar negara termasuk di Filipina, Switzerland dan Afrika Selatan.
"Apabila kembali ke sini, saya menjadi Farid yang berbeza. Bayangkan, kalau ramai lagi rakyat Malaysia bekerja di luar.
"Mereka mampu menggunakan pengalaman yang ditimba dari tempat-tempat lain dan boleh membantu membina Malaysia yang lebih maju.
"Kena galakkan rakyat kita bekerja di luar kerana kita tahu, satu nilai rakyat Malaysia adalah apabila sampai masanya, kita akan kembali juga ke Malaysia walau macam mana pun,” katanya kepada Sinar Ahad dalam temu bual yang diadakan secara maya di pejabat TalentCorp di sini baru-baru ini.
Farid yang mempunyai kelulusan dalam bidang pengurusan sumber manusia daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah antara individu profesional yang kembali ke tanah air melalui TalentCorp pada 2014, dengan kerjaya terakhirnya di luar negara adalah di Afrika Selatan.
Beliau mula berkhidmat di Nestle pada tahun 2004 dan sebaik kembali ke Malaysia, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Modal Insan Bank Rakyat selama lebih tiga tahun, sebelum menjawat jawatan sama di Telekom Malaysia pada 2018 dan kini di MBSB Bank.
Jelas Farid, mendapat pendedahan di luar negara adalah satu keperluan untuk menjadi ketua di bahagian sumber manusia kerana pengalamannya berbeza.
"Apabila kita didedahkan dengan kepelbagaian, kita akan lebih menghormati dan memahami dari sudut kepelbagaian seterusnya membuatkan cara kita bekerja lebih berbeza.
"Apabila rakyat Malaysia bekerja di luar, mereka mendapat pendedahan berbeza sekali gus akan meningkatkan kompetensi dan kemahiran serta mempercepatkan pembentukan personaliti.
"Selalunya orang cerita pasal ‘brain drain’ bila kita bekerja di luar negara tetapi ia sebenarnya ‘brain cycle’ iaitu kitaran kepakaran,” jelasnya.Tambahnya, rakyat Malaysia mendapat permintaan tinggi di luar negara kerana mereka mempunyai komitmen yang tinggi, kompeten, bersedia untuk belajar serta bersemangat untuk memberikan lebih daripada yang diminta.
Justeru katanya, negara tidak harus bimbang jika ada bakat Malaysia di seluruh pelosok dunia kerana pada akhirnya mereka akan kembali ke ‘sarang’ setelah mengembara di tempat orang.
"Saya sendiri ingin menetap di Afrika Selatan kerana seronok bekerja di sana. Namun pada tahun 2013 sewaktu berada di Safari, saya terima panggilan abang saya meninggal dunia.
"Saya hanya boleh balik beberapa hari selepas itu. Apabila saya balik, terdetik apa akan jadi kalau perkara sama terjadi pada ibu saya dan saya tiada di Malaysia.
"Jadi, itulah saat saya memutuskan sudah sampainya masanya untuk saya kembali ke tanah air,” cerita Farid.
PULANG KERANA KELUARGA, NEGARA
Bagi kebanyakan pekerja profesional Malaysia yang telah lama tinggal dan bekerja di luar negara, keputusan untuk pulang ke tanah air bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dibuat.
Namun, keinginan untuk hidup lebih dekat bersama keluarga di samping memenuhi hasrat bagi memberikan sumbangan kepada negara juga bukanlah satu perasaan yang mudah untuk dipadamkan.
Bagi jurutera kelahiran Petaling Jaya, Dr Lee Kok Loong yang telah belajar dan bekerja di United Kingdom (UK) selama lebih 20 tahun, beliau memerlukan masa dua tahun sebelum benar-benar menetapkan tekad untuk kembali ke Malaysia.
Sepanjang bekerja di UK, pencapaian dan kedudukan kerjaya yang dikecapi pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang metalurgi tu bukan kecil.
Ini kerana selain dilantik menjadi Jawatankuasa Institusi Piawaian British, sebagai pakar dalam bidang ujian bahan, beliau juga telah berpeluang bekerja bersama syarikat besar pelbagai sektor antaranya Airbus, Boeing, Rolls Royce, Shell, BP dan Mercedes.
"Namun, sebab utama saya memutuskan untuk kembali ke Malaysia adalah untuk lebih dekat dengan keluarga, terutama ibu bapa saya.
"Selain itu, saya melihat peluang yang baik untuk menyumbang kepada negara dengan membawa kembali pengkhususan yang tidak terdapat di Malaysia,” katanya yang mula berpindah ke UK sewaktu melanjutkan pelajaran pada tahun 1996.
Selepas pulang, Kok Loong beralih daripada bidang pengkhususan ujian bahan dan berkembang maju dalam peranan baharunya sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan untuk syarikat pertanian, Kumpulan KMT yang mempunyai ladang kelapa sawit, nanas, nangka dan durian.
PULANG SELEPAS 10 TAHUN
Sementara itu, setelah lebih 10 tahun berkhidmat di beberapa negara, Pengarah Urusan International Business Machines Corp (IBM) Malaysia, Catherine Lian tekad untuk kembali menabur bakti dan sumbangan kepada tanah air tercinta.
Lulusan bidang ekonomi daripada Universiti Utara Malaysia ini memulakan kerjaya dalam industri teknologi maklumat pada 1998 sebagai pengurus akaun syarikat multinasional yang membawanya merentasi negara Asia dari Kemboja, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Korea Selatan, Singapura dan Indonesia sebelum kembali menerajui IBM Malaysia sebagai Pengarah Urusan pada 2019.
Catherine mengakui, pada awalnya terdapat banyak hal yang menjadi pertimbangannya sebelum memutuskan untuk kembali ke tanah air.
"Saya memberi diri saya garis masa sedekad (untuk bekerja di luar negara). Sudah tentu, ada banyak pertimbangan mengapa saya pulang ke Malaysia setelah bertugas di luar negara.
"Ia berlaku atas pelbagai sebab, tetapi faktor utamanya adalah kerana timbul persoalan mengapa saya tidak menyumbang kepada Malaysia sedangkan saya telah melakukan tugas dengan baik di luar negara?
"Saya mula berfikir, jika saya boleh melakukan begitu banyak untuk negara lain, mengapa saya tidak boleh melakukan perkara yang sama untuk negara asal? Itulah sebenarnya faktor penentu bagi saya,” katanya menerusi testimoni yang disiarkan di laman web TalentCorp Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca