KEPULAUAN Taiwan hanya terletak kira-kira 161 kilometer (km) dari China dan ia sudah terlibat dalam perbalahan dengan Beijing yang mahu menguasainya sejak selepas Perang Dunia Kedua.
Taiwan secara rasmi turut dikenali sebagai Republik China (ROC) merupakan sebuah kepulauan yang dipisahkan dari China oleh Selat Taiwan.
Ia telah ditadbir secara bebas dan tidak mengamalkan ideologi komunis dari China sejak tahun 1949.
Taiwan ditadbir oleh golongan nasionalis setelah mereka melarikan diri dari Tanah Besar China yang ketika itu dikuasai oleh komunis.
Demokrasi Taiwan masih muda dan parti nasionalis terkenal Taiwan, Kuomintang memerintah di bawah undang-undang tentera dari tahun 1949 hingga 1987.
Pada masa itu, perbezaan pendapat politik telah ditindas dengan keras di awal kewujudannya.
Taiwan mengadakan Pilihan Raya Perundangan pertamanya pada tahun 1992 dan Pilihan Raya Presiden pertamanya pada 1996.
Bagaimanapun, Beijing menganggap kepulauan itu sebagai wilayah pemberontak dan berikrar untuk akhirnya menyatukan Taiwan dengan China.
Taiwan dengan populasi 23 juta penduduk mempunyai kerajaannya sendiri – dipilih secara demokrasi tetapi pemimpin politiknya mempunyai pandangan yang berbeza tentang status dan hubungan kepulauan itu dengan China.
Ketegangan antara kepulauan tersebut dengan China mula meningkat sejak Tsai Ing-wen dipilih menjadi Presiden Taiwan pada 2016 kerana beliau enggan menerima formula Presiden terdahulu, Ma Ying-jeou untuk membolehkan hubungan dengan Beijing meningkat.
Sejak itu, Beijing telah mengambil tindakan yang semakin agresif termasuk menerbangkan jet-jet pejuangnya berhampiran kepulauan tersebut, manakala sesetengah penganalisis berasa bimbang China akan menyerang Taiwan sehingga berpotensi menarik Amerika Syarikat (AS) ke dalam kancah peperangan.
Sejak mengiktiraf dasar satu China, Washington masih meninggalkan persoalan sama ada ia benar-benar akan mempertahankan Taiwan walaupun Presiden Joe Biden pernah menyatakan bahawa negaranya akan mempertahankan kepulauan berkenaan jika ia diserang.
Tidak lebih 15 buah negara yang mengiktiraf Taiwan sebagai sebuah negara.
China memberikan tekanan diplomatik yang besar kepada negara lain untuk tidak mengiktiraf Taiwan atau melakukan apa-apa yang membayangkan pengiktirafan terhadap kepulauan tersebut.
INDUSTRI SEMIKONDUKTOR
Jumaat lalu, Beijing memberi amaran bahawa ia tidak akan teragak-agak untuk memulakan perang jika Taiwan mengisytiharkan kemerdekaan.
Amaran itu diberikan oleh Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe kepada rakan sejawatannya dari AS ketika beliau mengadakan pertemuan bersemuka pertamanya dengan Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin di luar sidang kemuncak keselamatan Dialog Shangri-La di Singapura.
Amaran itu memberi peringatan jelas kepada Taiwan yang didiami oleh kumpulan nasionalis selepas melarikan diri pada tahun 1949 kerana kalah dengan Parti Komunis China dalam perang saudara.
Ketika ini Taiwan merupakan pengeluar cip semikonduktor kontrak terkemuka dunia dengan industrinya sedang berkembang pesat.
Cip itu digunakan dalam kebanyakan peralatan elektronik termasuk telefon pintar, komputer, kenderaan dan juga sistem senjata yang bergantung kepada teknologi kecerdasan buatan.
Ia membuat cip yang direka oleh pelanggan pengguna dan tentera.
Industri semikonduktor di Taiwan bernilai lebih AS$100 bilion (RM440.20 bilion) pada tahun 2021.
Sehubungan itu, pengambilalihan China di Taiwan akan menyebabkan Beijing mempunyai kawalan ke atas salah satu industri yang terpenting di dunia.
Sesetengah pakar berpendapat bahawa pergantungan AS kepada firma cip Taiwan meningkatkan motivasinya untuk mempertahankan Taiwan daripada serangan China.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Taiwan pada 2021 ialah AS$774 bilion (RM3.4 trilion) dan KDNK per kapitanya ialah AS$33,004 (RM145,283) bagi tahun yang sama.
China turut bergantung pada cip Taiwan tetapi Beijing sedang berusaha untuk meningkatkan industrinya.
Dari segi kekuatan sumber manusia tentera, Taiwan mempunyai seramai 163,000 anggota tetapi China memiliki lebih dua juta askar berdasarkan kepada The Military Balance 2021.
Namun, AS ketika di bawah pentadbiran bekas Presiden, Donald Trump pernah menjual senjata bernilai lebih AS$18 bilion (RM79.24 bilion) kepada Taiwan. Senjata itu pastinya menjadi milik China jika ia berjaya menguasai kepulauan berkenaan.
Namun, kali ini China memberi amaran dengan nada bersungguh-sungguh sekali gus menunjukkan ia tidak mahu membiarkan Taiwan menjadi sebuah negara yang merdeka.
Klik di sini untuk terus membaca