RAMAI yang gelisah bila bercakap mengenai kos sara hidup, pendapatan dan pekerjaan mereka. Ramai pula beremosi bila berbual mengenai politik kerana resah permainan angka politik yang timbul semula. Apakah rombakan atau pilihan raya umum (PRU) akan mendahului, kata sumber. Adakah harga roti canai akan naik lagi sebelum PRU15?
Rakyat inginkan sesuatu dilakukan segera bagi menangani kos sara hidup yang saban hari menjadi tekanan kepada mereka. Jurang perbelanjaan dan pendapatan menyebabkan kelas menengah mula berada dalam kelompok B60 yang melebarkan jalur mereka yang berpendapatan rendah. Apakah tidak ada jalan penyelesaian responsif dalam mengurus isu hambatan rakyat?
Rakyat tidak kisah jika ia adalah cerminan kesukaran berdepan dengan kemelut serantau dan global tetapi wujud pelbagai andaian mengapa kos meningkat sehingga menjejaskan kepercayaan kepada struktur sedia ada.
Apa yang rakyat tahu adalah apabila bangun keesokan harinya, mereka tidak perlu risau mengenai kos sara hidup kerana ada pihak berwajib yang sentiasa memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan.
Isu kos sara hidup mesti dianggap sebagai isu nasional. Pendekatan pelbagai dimensi boleh diguna pakai untuk memulihkan semula kerancakan kehidupan rakyat. Mereka mahukan keselesaan, kesejahteraan dan ke-selamatan kesihatan terpelihara.
Koordinasi yang merangka, melaksana dan capaian kumpulan sasar wajar diteliti semula. Sistem penyampaian tidak dipersoalkan tetapi sejauh manakah ada pemantauan ke atas pelaksanaan apa sahaja pelan tindakan yang diperkenalkan setiap kementerian atau wujud sabotaj dalaman kerana perbezaan pendapat dan pegangan politik?
INFORMASI SAHIH?
Apakah pemimpin dibisikkan dengan maklumat yang sahih sebagaimana yang dirasai oleh massa? Mungkinkah informasi tidak dibongkar sepenuhnya untuk terus memberi gambaran wujud defisit keyakinan kepada agensi?
Kita sentiasa menubuhkan jawatankuasa bersesuaian dan pasukan petugas khas, namun hasil akhirnya tidak memberi gambaran menyeluruh kehidupan rakyat semakin pulih, walhal ada masih bergelut untuk memastikan makanan ada di rumah. Jika perlu, reformasi sistem penyampaian harus dilakukan dengan mendapat maklumat daripada sumber boleh dipercayai.
Segala pelan tindakan dan perancangan agensi berwajib menarik. Jika diimplementasikan sepenuhnya, ia akan membawa hasil akhir yang memberangsangkan tetapi ada lompong yang memperlahankan proses tersebut.
Apakah perlu pemantauan pihak ketiga untuk memastikan wujud ketelusan, akauntabiliti dan nilai ampuh kerajaan baik dipertahankan?
Sikap endah tak endah perlu ditangani dengan segera. Perdana Menteri peka dan prihatin sebagaimana barisan kabinet beliau, namun apakah yang di bawah akur dan menerimanya sebagai satu tanggungjawab atau membiarkan wujud pertembungan antara beberapa pihak berkepentingan sehingga tidak kisah walaupun ia menjejaskan kehidupan rakyat.
Bukankah rakyat menjadi mangsa demi untuk kelangsungan beberapa organisasi yang terus memastikan keuntungan mereka tidak terjejas walau rakyat merasa pedih dengan kos perlu dibayar? Adilkah harga makanan melonjak naik kerana harga barangan mentah tidak menentu?
Pelaksanaan dan pemantauan bergerak seiring, bersifat saling melengkapi. Kita perlu perkukuhkan sistem dan pada waktu sama memantau perkembangan yang berlaku untuk pertahankan kesejahteraan rakyat marhaen.
Koordinasi antara semua yang terlibat adalah kuncinya. Jika kita boleh merobek bucu yang menunjukkan adanya ketirisan, hatta kos sara hidup dapat dikawal. Ia tanggungjawab bersama. Jika dibiarkan berterusan, bagaimana kita mahu berdepan dengan inflasi dunia dan faktor luaran yang boleh menjejaskan kedudukan dalam negara ini.
Masing-masing perlu menampakkan jiwa nasionalis bila hadirnya isu yang membawa padah kepada nilai kehidupan rakyat Malaysia. Tidakkah ada nilai kemanusiaan dan belas kasihan kepada mereka yang terus bergelut dalam kancah politik serta ekonomi tidak menentu ini?
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca