RAKYAT keseluruhannya menjunjung kasih kepada Raja-Raja Melayu kerana mula memberi peringatan, panduan, seruan dan nasihat berhubung beberapa persoalan yang acap kali ditimbulkan sejak kebelakangan ini. Peringatan itu amat bertepatan bagi... Klik di sini untuk terus membaca

RAKYAT keseluruhannya menjunjung kasih kepada Raja-Raja Melayu kerana mula memberi peringatan, panduan, seruan dan nasihat berhubung beberapa persoalan yang acap kali ditimbulkan sejak kebelakangan ini.

Peringatan itu amat bertepatan bagi menghilangkan kegusaran rakyat berhubung hak keistimewaan, kedudukan kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Orang Melayu sejak sekian lama telah menjadi tunjang pembentukan negara Malaysia. Orang Melayu yang rata-ratanya Islam tidak harus dipertikaikan lagi sebagai penduduk asal negara ini.

Mempertikaikan perkara itu seolah-olah mempertikaikan Raja-Raja Melayu juga. Walaupun keistimewaan itu dinikmati oleh orang Melayu, namun orang bukan Melayu tidak pernah ditindas.

Menumpahkan taat setia kepada Raja-Raja Melayu sudah tidak harus dipersoalkan lagi. Rakyat sudah pasti bangkit melindungi institusi Raja-Raja Melayu dalam apa juga keadaan sejajar dengan apa yang tersurat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menjadi tugas dan tanggungjawab Raja-Raja Melayu mempertahankan agama Islam di Malaysia. Ia jelas termaktub umpamanya dalam sumpah atau ikrar Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong semasa menaiki takhta.

SUMPAH MEMPERTAHANKAN NEGARA

Dalam konteks yang sama, kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri mempunyai tanggungjawab amat besar bagi menyempurnakan lafaz sumpah tersebut.

Pihak kerajaan tidak boleh melakukan sesuatu tindakan yang memudarat, menghakis, mencemarkan kedudukan atau kesucian Islam di Malaysia. Segala dasar dan tindakan kerajaan hendaklah selaras dengan sumpah Yang di-Pertuan Agong.

Contoh paling mudah adalah dalam segala urusan kerajaan, kita akan mendapati sampul surat semua jabatan kerajaan tertera tulisan ‘Urusan Seri Paduka Baginda’.

Maksud frasa itu jelas bermaksud urusan dibuat oleh pihak kerajaan itu adalah atas titah Raja-Raja Melayu. Ia juga bagi menjamin sumpah Yang di-Pertuan Agong disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Adalah tidak masuk akal jika ‘Urusan Seri Paduka Baginda’ tidak sejajar dengan sumpah yang dibuat. Tidak boleh difikirkan jika di luar tertulis ‘Urusan Seri Paduka Baginda’ yang telah bersumpah mempertahankan Islam tetapi kandungan suratnya pula sesuatu yang menghina, memperlekeh, mencemar atau mengetepikan kepentingan Islam.

Terbaharu, Majlis Raja-Raja telah berkenan melantik Sultan Selangor mempengerusikan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam yang sebelum ini diketuai oleh Perdana Menteri. Tindakan itu dilihat sebagai keprihatinan Majlis Raja-Raja dalam isu Islam.

Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa raja-raja merupakan ketua agama yang mempunyai kuasa atas hal ehwal Islam.

Malah, perkara mengenai Islam seperti penggunaan perkataan tertentu adalah kuasa Raja-Raja Melayu dan bukan semua perkara boleh dibawa ke mahkamah untuk diadjudikasi.

Kuasa Yang di-Pertuan Agong memelihara keistimewaan orang Melayu dan peribumi Sabah serta Sarawak sentiasa dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Orang bukan Melayu dan bukan peribumi Sabah serta Sarawak tidak dipinggirkan. Mereka juga mempunyai hak yang sah di negara ini sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang. Orang Melayu dan bukan Melayu hendaklah saling melengkapi antara satu sama lain bagi membangunkan Malaysia.

Janganlah dibiarkan anasir luar menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat Malaysia yang telah sekian lama menjadi kebanggaan kita semua.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca