ORGANISASI Kerjasama Shanghai (SCO) ialah organisasi rantau terbesar di dunia meliputi kawasan Eurasia, Asia Selatan dan sebahagian Asia Timur. Ia juga adalah organisasi yang mempunyai penduduk terbesar iaitu kira-kira 40 peratus daripada populasi dunia dan lebih 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.
Negara anggota SCO terdiri dari China, India, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Pakistan, Rusia, Tajikistan dan Uzbekistan. Objektif SCO melibatkan kerjasama dalam politik dan diplomasi, keselamatan, ekonomi serta sosial. Ia ditadbir oleh Majlis Ketua-ketua Negara (HSC), badan pembuat keputusan tertingginya yang bermesyuarat sekali setahun. Mesyuarat Ketua-ketua Negara SCO akan diadakan di Samarkad, Uzbekistan pada September ini.
SCO bermula dengan tertubuhnya Shanghai Five (SF) pada 1996, organisasi yang terdiri dari lima negara iaitu China, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Rusia dan Tajikistan. Objektif asal SF adalah untuk memupuk kerjasama dan pemulihan hubungan antara China, Rusia serta negara-negara Asia Tengah setelah tamatnya Perang Dingin.
SF juga telah berusaha ke arah penyelesaian masalah sempadan antara China dengan negara-negara Asia Tengah. Pada 2001, Uzbekistan menjadi negara keenam menyertai SF. Pemimpin anggota telah bertemu di Shanghai dan bersetuju mengubah nama SF kepada SCO. Piagam SCO telah ditandatangani pada Julai 2002 dan mula berkuat kuasa pada September 2003.
Sejak itu, keahliannya telah berkembang kepada lapan negara, dengan India dan Pakistan menyertainya pada Jun 2017. Iran menjadi ahli pada September 2021 ketika Persidangan Kemuncak SCO di Dushanbe, Tajikistan.
Penyertaan Iran amat penting kerana menjadi ‘jambatan’ menghubungkan SCO dengan rantau Asia Barat yang amat strategik. Namun, SCO telah dikritik kononnya ia adalah organisasi ‘anti-Barat’ atau pencabar kepada hegemoni Organisasi Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana sifat keahlian SCO yang terdiri dari negara-negara Asia tanpa penyertaan negara Barat seperti Amerika Syarikat.
LALUAN KERETA API
Tanggapan itu kurang tepat kerana organisasi lain seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Komanwel Negara-negara Merdeka (CIS) turut hadir pada persidangan kemuncak SCO sebagai jemputan, selain beberapa negara yang terlibat sebagai pemerhati dan rakan dialog antaranya Afghanistan, Belarus, Mongolia, Azerbaijan, Kemboja, Nepal dan Turki.
Kemboja merupakan satu-satunya negara Asia Tenggara yang menjadi rakan dialog SCO. Perlu ditegaskan, ASEAN juga hadir pada persidangan itu. SCO mencerminkan sebuah ‘keluarga besar’ yang terdiri daripada 21 negara merangkumi tiga benua iaitu Asia, Eropah dan Afrika.
SCO di bawah pengerusi Uzbekistan telah berusaha memulihkan ekonomi yang merosot akibat pandemik, antaranya keutamaan untuk membina laluan kereta api Mazar-i-Sharif-Herat, Mazar-i-Sharif-Peshawar dan Uzbekistan-Kyrgyzstan-China yang akan membantu negara Asia Tengah memperoleh akses ke pelabuhan laut serta membangunkan ekonomi mereka.
Kereta api itu juga akan menjadi pengangkutan utama laluan Timur-Barat dan Utara-Selatan serta membolehkan SCO meningkatkan peranan dan kuasanya ketika ia berfungsi bagi memastikan keamanan di Afghanistan, memulihkan ekonomi negara yang telah lama menderita serta memudahkan integrasinya dengan ekonomi serantau.
Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev telah mengemukakan beberapa cadangan agar SCO menjadi lebih relevan dalam era pasca-pandemik, antaranya program kerjasama bidang pencegahan penyakit berjangkit, kerjasama dalam bidang teleperubatan, teknologi digital, keselamatan makanan dan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui antara negara anggota SCO.
Susulan ketegangan di Afghanistan, Mirziyoyev turut mencadangkan agar SCO mempunyai pendekatan bersama dan diadakan mesyuarat SCO-Afghanistan peringkat tertinggi serta kesediaannya menganjurkan mesyuarat pertama di Uzbekistan Tashkent.
SCO kini sudah berusia 21 tahun telah berkembang daripada sebuah organisasi yang terhad kepada kerjasama sempadan serta keselamatan, malah merangkumi ekonomi, pelancongan, pembangunan infrastruktur dan sosial.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca