SALAH satu berita besar dalam bidang ekonomi minggu ini adalah prestasi perdagangan Malaysia yang disifatkan sebagai sangat baik pada tahun lalu. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan jumlah perdagangan merekodkan tahap baharu bagi... Klik di sini untuk terus membaca

SALAH satu berita besar dalam bidang ekonomi minggu ini adalah prestasi perdagangan Malaysia yang disifatkan sebagai sangat baik pada tahun lalu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan jumlah perdagangan merekodkan tahap baharu bagi melepasi RM2 trilion iaitu kadar pertumbuhan terpantas sejak 1994.

Nilai perdagangan merekodkan pertumbuhan 24.8 peratus kepada RM2.2 trilion berbanding RM1.8 trilion pada 2020 dan selepas mencatatkan pertumbuhan negatif dua tahun berturut-turut.

Eksport bernilai RM1.24 trilion iaitu peningkatan 26 peratus berbanding RM983.8 bilion pada 2020, manakala import bertambah 23.3 peratus kepada RM987.2 bilion daripada RM800.5 bilion tahun sebelumnya.

Berita yang amat menggembirakan tetapi turut mencetuskan tanda tanya bagaimana perdagangan kita boleh pulih dengan begitu pantas daripada kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menutupan kilang sepanjang 2020?

Salah satu kemungkinan adalah ekonomi kita mempunyai inventori besar dan industri tertentu seperti sarung tangan getah serta elektronik berjaya memulihkan operasi dengan cepat. Atau boleh jadi juga, jumlah perdagangan meningkat dengan besar kerana kenaikan harga barang dan perkhidmatan susulan gangguan ke atas rantaian pembekalan antarabangsa.

Kadar tukaran ringgit yang rendah berbanding dolar Amerika dan mata wang negara-negara rakan perdagangan lain juga mungkin telah membantu Malaysia memperoleh pendapatan lebih banyak dalam mata wang ringgit.

Menyentuh mengenai harga eksport dan import pula, menurut DOSM, harga import naik dengan lebih banyak daripada harga eksport, sekali gus menyebabkan ancaman inflasi import lebih tinggi.

Bagi April tahun ini, Indeks Nilai Unit Eksport naik 1.1 peratus tetapi Indeks Jumlah Eksport merosot 4.1 peratus berbanding Mac. Maksudnya, jumlah barang yang kita eksport berkurangan tetapi pendapatan meningkat naik kerana harganya lebih mahal.

Indeks Nilai Unit Import bagi April naik 2.4 peratus, manakala Indeks Jumlah Import turun 3.3 peratus yang sekali lagi membayangkan kenaikan harga antarabangsa.

Harga import paling pantas meningkat bagi jangka waktu itu adalah minyak galian sebanyak 11.4 peratus, diikuti minyak dan lemak haiwan serta sayur-sayuran naik 5.9 peratus.

Buat masa ini, kadar inflasi kita - seperti diukur melalui Indeks Harga Pengguna (CPI) - nampak terkawal walaupun harga sesetengah barang pengguna dan perindustrian meningkat dengan banyak ketika amaran mengenai inflasi hyper semakin lantang.

EKONOMI DUNIA BARU NAK PULIH

DOSM menjelaskan inflasi naik dengan sederhana pada kadar 2.2 peratus kepada 125.2 mata Februari lalu berbanding bulan sama tahun lalu.

Seperti dirungutkan oleh pengguna, penyebab utama kenaikan harga adalah harga bahan makanan lebih mahal. Makanan adalah komponen terbesar dalam CPI.

Maaf cakaplah jika saya kata, maklumat khusus daripada jabatan kerajaan seperti DOSM jauh lebih jelas dan meyakinkan daripada yang keluar daripada mulut anggota kabinet.

Sampai hari ini kita belum mendengar taklimat terperinci mengenai kaedah menyeluruh dan lengkap menangani ancaman hiperinflasi.

Kalau dulu kerajaan menyiapkan rakyat untuk menghadapi kemungkinan seperti itu dengan menyuntik semangat mereka dan melancarkan program yang boleh mereka sertai seperti Rancangan Buku Hijau, membeli barang keperluan secara berkumpulan dan berkongsi kenderaan.

Hiperinflasi, jika benar-benar berlaku akan memberi kesan sangat buruk kepada rakyat dan negara kerana ia melibatkan kenaikan harga yang pantas, melampau dan tidak terkawal. Apatah lagi, dalam suasana ekonomi dunia baru mula pulih daripada kesan pandemik.

Dua punca utama hiperinflasi sudah pun wujud, khususnya di Amerika Syarikat sejak sebelum Covid-19 iaitu bekalan mata wang yang bertambah dan permintaan melebihi bekalan.

Jadi, amatlah penting kerajaan meyakinkan orang ramai yang ia telah bersedia dan mampu menghadapi kemungkinan tersebut.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca