BEBERAPA hari lalu, tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin, menulis catatan berjudul Let’s Speak and Be Understood yang secara sinis dan berat sebelah memerli keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berucap... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA hari lalu, tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin, menulis catatan berjudul Let’s Speak and Be Understood yang secara sinis dan berat sebelah memerli keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berucap dalam bahasa Melayu di pentas antarabangsa.

Tulis beliau: ”Let’s face it. Unless you’re the Presidents of Russia, China or the United States, the delegates are not likely to be in too much of a hurry to put on their earpieces to listen to the translation of your speech. Of course speaking in the mother tongue is unavoidable if your English is inadequate or plain bad.”

Membalas tulisan beliau, saya menulis bahawa tanggapan mengenai Perdana Menteri tidak boleh berbahasa Inggeris adalah tidak tepat.

Mungkin Ismail Sabri bukan orator hebat dalam bahasa Inggeris, namun mendakwa beliau tidak menguasai bahasa Inggeris adalah tidak tepat kerana Perdana Menteri ialah lulusan undang-undang Universiti Malaya (UM) yang kefasihan berbahasa Inggeris menjadi keutamaan fakulti tersebut.

Sepanjang menjadi menteri termasuk Menteri Pertahanan, Ismail Sabri sentiasa menggunakan bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa.

Kadir sendiri kemudiannya menghubungi saya menafikan beliau menyatakan Ismail Sabri tidak boleh berbahasa Inggeris. Maka seharusnya tanggapan Ismail Sabri berucap dalam bahasa Melayu kerana tidak menguasai bahasa Inggeris bukan lagi topik perbualan.

Tidak dinafikan dalam era globalisasi, penggunaan bahasa Inggeris adalah satu keperluan terutama di peringkat antarabangsa bagi menangani urusan ekonomi, perniagaan, pelancongan, saintifik dan sosialisasi.

Namun, globalisasi turut mengancam bahasa-bahasa lain. Seorang penyelidik sains bahasa, Emily Underwood menulis bahawa bahasa-bahasa dunia sedang dihapuskan akibat mengejar pertumbuhan ekonomi (languages are being wiped out by economic growth).

UCAPAN PADA MAJLIS ANTARABANGSA

Dalam konteks inilah kita harus melihat keputusan Ismail Sabri menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan rasmi beliau di luar negara merupakan satu langkah mengekalkan (preserve) kehadiran bahasa Melayu.

Ucapan Perdana Menteri dalam bahasa Melayu di peringkat antarabangsa tidak menjejaskan apa-apa kepentingan negara kerana banyak negara lain turut mengamalkan langkah serupa.

Teks dan alih bahasa ke bahasa Inggeris atau bahasa ibunda negara terlibat sentiasa disediakan bagi ucapan rasmi Perdana Menteri. Ia juga amalan negara Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Polisi itu tidak menjejaskan kepentingan negara kerana perbincangan diplomatik, perniagaan dan pelaburan oleh pelaksana dasar tetap berjalan dalam bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain yang sesuai dengan keperluan.

Kesedaran nasionalisme bahasa kebelakangan ini bukan sekadar di Malaysia. Ia bukan sekadar agenda Ismail Sabri.

EU sendiri menyedari hal itu dengan menerima pakai kesemua 24 bahasa kebangsaan negara-negara dalam kesatuan itu sebagai bahasa komunikasi forum mereka.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut berucap dalam bahasa kebangsaannya di Perhimpunan EU bagi menerangkan keadaan ancaman Rusia di negaranya baru-baru ini.

Perbahasan dalam Parlimen Kesatuan Eropah juga menggunakan 24 bahasa. Parlimen tersebut menyediakan khidmat penterjemahan bahasa Inggeris bagi menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan masing-masing.

Terbaharu, Kementerian Kebudayaan Perancis akan mengharamkan penggunaan istilah-istilah Inggeris dalam sukan elektronik (esports) seperti streamer, esports, cloud gaming dan mesti diganti dengan istilah dalam bahasa Perancis.

Di rantau ASEAN pula, pemimpin dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Vietnam turut menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing ketika berucap dalam Sidang Kemuncak AS-ASEAN di Washington baru-baru ini.

Ia menunjukkan telah wujud kesedaran di banyak negara untuk memelihara identiti negara bangsa. Ia adalah kebangkitan nasionalisme untuk cuba berada setara dengan globalisasi.

Dengan kata lain, ketika kita tidak mahu ketinggalan mengejar kemajuan era globalisasi, ruang-ruang nasionalisme harus terus dibenarkan berkembang sebagai satu tanda jati diri negara bangsa.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca