[WAWANCARA EKSKLUSIF] TalentCorp mendedahkan, sejak 2011 sehingga kini, agensi itu telah menerima 10,432 permohonan daripada golongan profesional Malaysia atau diaspora yang menetap di luar negara untuk kembali ke tanah air dengan... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA EKSKLUSIF] TalentCorp mendedahkan, sejak 2011 sehingga kini, agensi itu telah menerima 10,432 permohonan daripada golongan profesional Malaysia atau diaspora yang menetap di luar negara untuk kembali ke tanah air dengan permohonan antara 400 ke 500 setahun.

Naib Presiden (Siswazah, Diaspora dan Perkongsian Industri) TalentCorp, Nazrul Aziz berkata, berdasarkan kajian yang dibuat juga, 92 peratus golongan diaspora juga bersedia untuk menyumbang kepada negara, sementara 85 peratus lagi sedia untuk kembali ke Malaysia.

Dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad, Nazrul turut meminta agar golongan diaspora ini tidak dilabel sebagai ‘pengkhianat’ kerana ia boleh menjadi faktor penolakan kepada golongan profesional di luar negara ini daripada kembali berbakti dan berkhidmat di negara ini.

Ikuti wawancara eksklusif bersama Nazrul Aziz yang dikendalikan wartawan Sinar Ahad, Farah Shazwani Ali dan jurugambar, Asril Aswandi Shukor.

SINAR AHAD: Boleh Nazrul kongsikan tentang peranan dan fungsi TalentCorp?

NAZRUL: TalentCorp ditubuhkan pada 1 Januari 2011 dengan mandat utamanya adalah menarik, memupuk dan mengekalkan bakat berkemahiran tinggi dalam negara. Tujuan penubuhannya sangat fokus iaitu untuk memastikan keperluan bakat dalam membangunkan, menjana dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Ini bermakna, apa sahaja berkaitan dengan bakat, TalentCorp berperanan membantu, sama ada melakukan intervensi atau bekerjasama erat dengan agensi kerajaan bagi mencari solusi.

Pada ketika itu, salah satu program utama adalah Returning Expert Programme (REP) untuk membawa pulang golongan profesional Malaysia daripada luar negara. Sebenarnya, REP hanya merangkumi sebahagian daripada tugas kami. Tiga teras utama TalentCorp adalah membangunkan bakat tempatan, memudah cara bakat global dan membina rangkaian profesional antara bakat yang kita ada. Secara ringkasnya, daripada graduan, profesional, bakat-bakat rentan, wanita kembali bekerjaya dan kita juga bekerjasama dengan industri untuk memastikan keperluan bakat ini diisi dan dibawa balik dari luar negara.

Ia bukan melibatkan golongan profesional sahaja. Contohnya, pemegang biasiswa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan MARA. Macam mana strategi kita nak kekalkan mereka dan pastikan mereka balik. Contohnya pada tahun lepas, kita membuat virtual engagement dan pameran kerjaya antara syarikat-syarikat Jerman di Malaysia dengan pelajar Malaysia di Jerman. Daripada sesi itu, ada yang telah mendapat pekerjaan dan mereka pulang berkhidmat di tanah air.

Selain itu, setiap tahun kita membuat kajian dengan Bank Dunia yang dipanggil senarai pekerjaan kritikal (COL) iaitu kerja yang sangat diperlukan tapi sukar untuk diisi. Ekspatriat yang nak masuk ke Malaysia hanya boleh mengisi pekerjaan-pekerjaan dalam COL itu, maknanya jurang itu ada dalam negara tetapi tak dapat diisi dengan bakat tempatan. Kita sangat tegas dengan pengambilan bakat dari luar kerana kita nak mereka mewujudkan nilai tambah. COL di Malaysia pada tahun 2021 adalah melibatkan keperluan digital iaitu 86 peratus daripada 42 pekerjaan yang disenaraikan. Tetapi, ia tidak semestinya sektor digital, ia boleh jadi sektor minyak dan gas tetapi keperluannya digital. Mungkin juga sektor elektrik dan elektronik tetapi keperluannya digital.

- Boleh Nazrul bercerita lanjut tentang REP?

Saya ingin tekankan, REP ini bukanlah faktor utama untuk diaspora pulang tetapi apabila mereka membuat keputusan untuk pulang, kita memudah cara. Pertamanya, mereka akan mendapat insentif cukai pendapatan selama lima tahun. Apabila mereka ambil keputusan untuk pulang, ada pengorbanan yang mereka buat seperti gaji berkurangan jadi, insentif ini adalah mengganti pengorbanan yang telah mereka buat. Selain itu, mereka boleh membawa balik dan membeli kenderaan di sini dan diberikan pengecualian cukai maksimum RM100,000 setahun. Bagi mereka yang berkahwin dengan bukan warganegara, kita bersama Jabatan Imigresen Malaysia memberikan permit masuk yang lebih cepat untuk pasangan bukan warganegara.

Banyak lagi keistimewaan yang kita sediakan dan TalentCorp sendiri bekerjasama erat dengan agensi berkaitan seperti imigresen, Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Tetapi, melangkaui kerjasama dengan agensi kerajaan ini, kita berpandangan perlu lebih kreatif untuk memudah cara kepulangan pakar kita.

Mulai tahun lepas, kita sudah bekerjasama erat dengan penyedia pendidikan. Sekarang ini ada 14 penyedia pendidikan iaitu sekolah swasta dan antarabangsa yang sudi berkolaborasi dengan TalentCorp. Ini kerana, apabila anak-anak diaspora ini bersekolah di luar negara dengan sistem berbeza, mereka akan berdepan dengan kesukaran untuk beradaptasi dengan sistem persekolahan tempatan. Jadi, mereka terpaksa meneruskan sistem United Kingdom misalnya tetapi kosnya tinggi. Jadi, kita memudah cara dengan bekerjasama dengan 14 sekolah swasta dan antarabangsa yang telah bersetuju untuk bekerjasama. Kita sudah menyediakan kemudahan pekerjaan dengan menghubungkan diaspora yang berpotensi dan diluluskan di bawah REP dengan majikan berpotensi.

Nazrul Aziz

- Difahamkan, TalentCorp sedang mengusahakan MyHeart. Boleh ceritakan lebih lanjut?

Kita sudah bangunkan satu program yang dinamakan MyHeart dengan hasrat utama membangunkan pangkalan data diaspora kita di luar negara, sama ada mereka ingin pulang atau tidak. Melalui data itu, kita boleh membuat pelbagai kolaboratif dengan diaspora. Malah, kalau merujuk kepada dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), satu mekanisme akan dibangunkan untuk memastikan rakyat Malaysia yang telah bekerja di luar negara, berhasrat nak bekerja di luar negara atau pulang untuk berdaftar dengan satu badan. Cuma sekarang ini, kita dalam fasa meneliti kaedah terbaik melaksanakannya.

TalentCorp membuat satu platform yang memudahkan diaspora rujuk dan majikan boleh mencari bakat-bakat di luar negara melalui portal ini. Selain itu, kita akan masukkan fasiliti pendidikan, imigresen, informasi berkaitan pasaran dan seumpamanya supaya ia memudahkan semua pihak untuk rujuk.

Pada tahun 2015, TalentCorp bersama Bank Dunia telah membuat kajian semula REP, yang mana antara cadangan penambahbaikan dalam laporan tersebut adalah kemudahan pekerjaan yang boleh menjadi faktor penarik untuk golongan diaspora untuk balik. Kita juga usahakan untuk tambah keperluan seperti pendidikan, kemudahan Imigresen dan sebagainya. Pada awal 2020, kita buat kajian semula tentang diaspora untuk lihat dapatan 2015 itu masih relevan atau tidak dan ia antara keperluan yang mereka timbang untuk pulang. Jadi, apabila kita dapat semua maklumat ini, kita bangunkan kerangka MyHeart dan dalam fasa penambahbaikan.

Contohnya, minggu lepas kita buat bengkel dengan pemegang taruh seperti Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Wisma Putra, Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tambah baik program REP ini. Dalam Jun ini akan berlangsung MyHeart-REP Career & Facilitation 2022. Ada 13 syarikat yang sertai antaranya Petronas, KPMG dan Bank Negara Malaysia. Selain itu, ada sesi tentang kemudahan pendidikan, penerangan tentang REP secara keseluruhan, penerangan tentang cukai berkaitan, Imigresen dan pada penghujung Jun, kita akan buat pameran kerjaya secara maya melibatkan 13 majikan dengan mereka yang telah diluluskan REP.

Ini adalah aktiviti yang membawa kepada pembangunan dan pelancaran portal MyHeart yang dijangka dilancarkan pada September atau Oktober depan. Kita bekerja mengikut timeline sejak 2020, iaitu bermula dengan kajian Bank Dunia, disusuli dengan kajian TalentCorp, membuat kerangka dan membuat kajian semula dengan Bank Dunia pada tahun ini yang baru sahaja selesai. Kajian itulah yang kita bengkelkan dengan pemegang taruh pada minggu lepas, di mana ada penambahbaikan yang Bank Dunia sarankan untuk 2022 kerana pasca pandemik, keperluannya juga berbeza.

Peranan kami adalah apabila mereka kembali, mereka disediakan dengan pelbagai kemudahan dan dimudah cara. Bila habis REP, kita tak terus tutup sebaliknya kita perkuatkan Alumni REP dan pastikan mereka boleh sumbangkan kembali kepada negara dengan cara berstruktur kepada pelajar-pelajar kita.

- Benarkah tanggapan golongan diaspora ini sebenarnya tidak patriotik?

Rakyat Malaysia sifat patriotik mereka itu tetap ada. Sebenarnya, mereka nak balik atau tidak, itu adalah persoalan lain. Apa yang penting adalah adakah mereka berhasrat atau sedia menyumbang balik kepada negara. Kita ada membuat kajian terhadap 240 diaspora dari 10 November 2020 hingga 27 Januari 2021 Apabila kita tanya, 92 peratus menjawab, ya. Apa bentuk sumbangan mereka nak berikan? Ada yang ingin laksanakan melalui perundingan, konsultansi, mentorship, perkongsian pengetahuan dan kolaboratif projek. Itu yang menjadi asas kepada MyCollabs. Ini adalah perkara yang kita perhalusi dengan pemain-pemain utama, ditambah pula pandangan bernas daripada Pakar Dinamik Bendalir dan Pemindahan Haba, Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal yang kini bertugas di United Kingdom. Kita sudah berhubung dengan beliau untuk mendapatkan input-input mengikut perspektif beliau sebagai orang yang berada di luar negara, macam mana kaedah terbaik untuk kita laksanakan projek kolaboratif ini.

Kita juga tanya diaspora tentang hasrat untuk pulang, 85 peratus menjawab ya. Dari situ, kita perlu tahu bahawa perlu ada sesi libat urus secara berterusan dengan mereka sebab kita tidak tahu bila mereka akan membuat keputusan untuk pulang ke tanah air. Dari sudut permintaan pula, daripada kajian yang dibuat, 94 peratus syarikat atau majikan sangat berhasrat untuk berhubung dan meneroka potensi membawa balik golongan profesional yang berada di luar negara ini. Jadi, apa yang kita buat sekarang adalah kita sediakan platform berstruktur di mana semua pihak boleh duduk bersama.

- Apa alasan utama mereka kembali?

REP adalah satu pemudah cara, bukannya mereka nak pulang sebab REP. Faktor utama mereka pulang adalah keluarga iaitu sebanyak 86 peratus. Sebab itu saya katakan, ia adalah keputusan peribadi. Kedua adalah peluang pekerjaan (42 peratus), faktor gaya hidup (21 peratus), makanan (16 peratus) dan cuaca (lima peratus). Tetapi kita lihat, dua faktor utama adalah sebab peribadi iaitu keluarga dan peluang pekerjaan.

Kita tak nak bawa balik pakar semata-mata sedangkan di sini, tiada peluang pekerjaan yang setimpal dengan kepakaran mereka. Sayang dengan kepakaran mereka. Kita nak bawa pulang mereka yang betul, mahu mereka lebih berkembang di negara ini dan menyumbang kepada pembangunan negara. Selepas itu, ia akan mewujudkan satu ekosistem di mana akan mewujudkan kesan-kesan limpahan kepada ekosistem.

Contohnya Dr Helmy Haja Mydin yang bekerja di Hospital Pantai, Kuala Lumpur dan sekarang dia membantu Kementerian Kesihatan serta mempengerusikan jawatankuasa teknikal untuk kawalan tembakau sebab dia adalah pakar respiratori. Ada yang balik dengan memegang jawatan di peringkat rantau atau global, yang mana mereka di tempat boleh membuat keputusan. Contohnya, Amy Chua adalah Presiden Schlumberger Asia. Apa antara tindakan utama yang dia buat? Dia memindahkan hab digital Schlumberger Asia ke Malaysia. Itu keputusan-keputusan strategik yang kita tidak nampak tetapi kita dapat melalui program REP ini.

Nazrul Aziz

- Berapa ramai golongan profesional yang sudah dibawa pulang melalui REP dan bidang kepakaran mereka?

Sejak 2011 sehingga kini, kita terima keseluruhan 10,432 permohonan. Daripada jumlah itu, kita telah luluskan 6,226 dan 4,122 sudah pulang. Apabila telah diluluskan oleh REP, mereka akan diberi masa dua tahun untuk betul-betul balik sebab mereka perlu membuat adjustment. Ada yang mohon dan bila lulus, terus balik. Ada yang mengambil masa setahun untuk selesaikan urusan keluarga dan dapatkan peluang pekerjaan. Jadi, dalam tempoh dua tahun mereka akan pulang. Semasa itu, kita akan keluarkan surat akuan tarikh kembali dan mereka akan dapat semua kelebihan ditawarkan.

Lima bidang utama golongan ini adalah melibatkan golongan profesional dalam bidang kejuruteraan, kewangan dan perbankan, pengurusan tertinggi, teknologi maklumat dan digital serta perubatan. Bagi sektor pula yang utama adalah melibatkan sektor minyak dan gas (22 peratus), disusuli perkhidmatan kewangan (14 peratus), perkhidmatan profesional seperti konsultan (12 peratus), CCI (communication, content and infrustructure) (lapan peratus) serta elektrik dan elektronik (tujuh peratus). Paling ramai golongan ini adalah profesional yang berkhidmat di Singapura (16 peratus), China (14 peratus), United Kingdom (13 peratus) , Australia (lapan peratus) dan Amerika Syarikat (enam peratus).

- Adakah situasi di mana golongan profesional ini ingin menyumbang kepada negara tanpa memerlukan mereka kembali ke tanah air?

Kita ada banyak bakat tetapi biasanya hanya lihat dalam bidang kejuruteraan dan perubatan. Contohnya, kita ada bakat Malaysia yang terkenal di peringkat global dalam nyanyian opera. Saya difahamkan beliau akan pulang ke Malaysia bulan Jun atau Ogos ini dan kita nak lihat potensi kolaboratif yang membolehkan beliau memberikan inspirasi kepada golongan seni khususnya penyanyi. Bidang ini mungkin kita lihat tidak kritikal tetapi kita juga perlu lihat dari sudut pengembangan seni yang patut kita hargai.

Sebab itu, sekarang ini kita melihat kluster-kluster yang boleh diperhalusi dan dikumpulkan serta menyumbangkan sesuatu kepada negara. Begitu juga kluster sukan, kerajaan juga sedang kenal pasti pakar-pakar dalam bidang sukan yang boleh dibawa balik. Sekarang ini, kita nak pastikan kluster itu wujud dan ada kluster untuk setiap bidang bagi memudahkan lagi kolaboratif itu. Sekarang ini, bila ada diaspora yang nak berkongsi, kita akan aturkan.

- Difahamkan, TalentCorp telah menghubungi Majlis Profesor Negara (MPN) bagi berkongsi pandangan bagi mengubah senario brain drain kepada brain cycle atau brain circulation?

Kita gembira apabila ada individu seperti Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal yang mempunyai pandangan yang sejajar dengan kita. Jadi, apabila MPN bangkitkan, maknanya di peringkat akademik pun, kita sejajar. Apa yang kita buat adalah dalam bergerak ke hadapan, perancangan ini kita akan libatkan semua. Cuma semasa kita bangunkan kerangka ini, kita bersama pemegang taruh dahulu yang telah kita bekerjasama erat dengan REP dan pihak industri. Seterusnya, sudah tentu dengan MPN.

TalentCorp sendiri ada sasaran jumlah profesional yang ingin dibawa balik?Secara jujurnya, kita tak target angka sebab macam yang saya katakan, ia adalah keputusan peribadi tetapi peranan TalentCorp adalah untuk memastikan kita membawa balik pakar yang betul di bawah REP. Kita nak pastikan mereka dimudah cara sebaiknya, pastikan mereka mendapat pekerjaan baik yang setara dengan kepakaran mereka dan pastikan transisi apabila mereka balik.

Secara purata, setiap tahun 400 ke 500 pakar akan diluluskan di bawah REP. Cuma kita tak nak main angka, selepas itu kita korbankan kualiti. Selain itu, kita bekerjasama dengan LinkedIn untuk kenal pasti rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara. Itu antara strategi kita untuk tingkatkan libat urus dan membangunkan pangkalan data yang lebih menyeluruh.

- Apakah harapan besar TalentCorp untuk memanfaatkan pakar-pakar yang kembali ke Malaysia?

Untuk melaksanakan program ini, TalentCorp sebagai satu agensi tidak mampu untuk melaksanakan dengan jayanya tanpa menggunakan pendekatan ekosistem. Faktor rakyat Malaysia meninggalkan negara dan untuk pulang kembali ke negara adalah satu dinamik yang sangat luas. Ia menjadi pilihan peribadi dan memerlukan satu ekosistem yang kondusif dalam negara.

Hasrat saya adalah kita memerlukan kerjasama semua pihak. Kalau dari segi agensi kerajaan, kita bekerjasama supaya dapat menguar-uarkan kepada semua rakyat Malaysia. Sebab kita bangunkan platform MyHeart dan nak tambah baik proses itu. Dalam konteks industri, kita harap ekonomi akan lebih dirancakkan dan akan mewujudkan lebih banyak peluang sekali gus menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan di dalam negara.

Selain itu, bakat kita itu sendiri. Kalau kita ada semangat kekitaan, sense of belonging kepada negara, harapannya adalah apabila bangunkan platform MyHeart ini, kita akan dapat sambutan hangat sebab harap ia sejajar dengan kajian yang dibuat.

Saya juga harapkan orang kita jangan menganggap orang Malaysia yang meninggalkan negara ini sebagai ‘pengkhianat’. Mereka ada alasan tersendiri kenapa mereka pergi. Kalau dia meninggalkan negara untuk pembangunan diri dan memang berhajat akan menyumbang kembali kepada negara, tidakkah ia akan menjadi faktor penolakan jika dianggap pengkhianat?

Anggapnya sebagai brain circulation yang mana mereka meninggalkan negara untuk mendapatkan pengalaman di luar negara dan kembali menyumbang balik kepada negara.

Klik di sini untuk terus membaca