SHAH ALAM - Sejumlah 4,122 golongan profesional Malaysia yang berkhidmat di luar negara telah pulang ke Malaysia melalui Program Kepulangan Pakar (REP) yang diusahakan oleh TalentCorp sejak tahun 2011. Naib Presiden (Siswazah, Diaspora dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sejumlah 4,122 golongan profesional Malaysia yang berkhidmat di luar negara telah pulang ke Malaysia melalui Program Kepulangan Pakar (REP) yang diusahakan oleh TalentCorp sejak tahun 2011.

Naib Presiden (Siswazah, Diaspora dan Perkongsian Industri) Talent Corp, Nazrul Aziz berkata, dalam tempoh itu pihaknya menerima 10,432 permohonan dengan 6,226 daripadanya telah diluluskan.Menurutnya, setelah REP diluluskan, golongan ini diberi masa dua tahun untuk kembali ke Malaysia dan menikmati insentif yang ditawarkan.

"Lima bidang utama kumpulan profesional yang kembali adalah kejuruteraan, kewangan dan perbankan, pengurusan tertinggi, teknologi maklumat dan digital serta perubatan.

"Kebanyakan mereka berkhidmat di Singapura (16 peratus), China (14 peratus), United Kingdom (13 peratus), Australia (8 peratus) dan Amerika Syarikat (6 peratus),” katanya.

Sinar Harian baru-baru ini melaporkan Malaysia kehilangan kira-kira 500,000 pakar dalam pelbagai bidang apabila mereka memilih bekerja di negara asing, menyebabkan negara kerugian dari segi kepakaran dan peluang ekonomi.

Norlida

AMRAN BALIK SELEPAS 12 TAHUN

Dalam pada itu, peribahasa ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri barangkali sesuai untuk menggambarkan keputusan yang diambil Ketua Juruaudit Dalaman Kumpulan CIMB, Amran Mohamad untuk kembali ke tanah air selepas 12 tahun ‘berhijrah’ ke London, United Kingdom (UK).

Memetik laporan portal Talent Matters pada tahun 2020 lalu, Amran yang sebelum itu melanjutkan pengajian di London sebelum memutuskan untuk membina kerjaya di negara tempatnya menuntut ilmu berkata, meskipun selesa menikmati kejayaan di luar negara, namun keinginannya tetap kuat untuk kembali ke Malaysia.

Ini kerana katanya, beliau sangat merindui keseronokan untuk dekat bersama keluarga, selain mahu menyumbang kemahiran dan pengetahuannya kepada masa depan negara.

"Saya berasal daripada keluarga kelas pekerja biasa dan berada di tempat saya sekarang (ketika itu) kerana biasiswa yang saya terima daripada kerajaan.

"Atas sebab itu, saya sedar bahawa saya perlu memberikan sesuatu kembali. Tetapi saya masih perlu memastikan bahawa saya mempunyai platform yang betul untuk menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat,” katanya.

Justeru ujarnya, sebagai permulaan ke arah itu, beliau mengambil bahagian secara aktif dalam rangkaian diaspora profesional Malaysia dengan terlibat dalam sesi rangkaian dianjurkan oleh TalentCorp.

Melalui penyertaan tersebut, secara tidak langsung turut membolehkan dirinya berhubung dengan profesional Malaysia yang melawat UK dan ‘mengintai’ peluang kerjaya di tanah air.

"Apabila saya mendengar tentang TalentCorp, saya tahu bahawa ia akan menjadi platform yang hebat untuk bertemu orang yang tepat daripada industri Malaysia, jadi saya mula menghadiri acara TalentCorp di UK sejak 2012.”

"Seperti yang saya tahu ketika itu matlamat akhir saya adalah untuk kembali ke Malaysia, saya perlu mula mencari peluang rangkaian. Daripada membina hubungan, anda membina kredibiliti,” jelas beliau.

Bercakap mengenai bidang kerjaya yang diceburinya, Amran berkata, masa depan industri pengauditan Malaysia mempunyai potensi tersendiri.

Beliau dalam masa sama bersedia berkongsi pandangan dan nasihat dengan golongan profesional Malaysia di luar negara yang sedang mempertimbangkan untuk kembali ke Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca