SHAH ALAM - Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang terpalit isu elaun RM30,000 sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diminta melepaskan jawatan sedia ada pada masa ini. Bekas Hakim... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang terpalit isu elaun RM30,000 sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diminta melepaskan jawatan sedia ada pada masa ini.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, ekoran pendedahan melalui keterangan mahkamah dalam perbicaraan kes 1MDB, Mohd Sidek seharusnya secara sukarela melepaskan jawatan yang disandang ketika ini.

Beliau yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat berkata, Mohd Sidek yang kini selaku Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sewajarnya berundur daripada jawatan tersebut serta-merta.

Beliau berkata, keputusan segera itu perlu dibuat bagi melindungi kewibawaan institusi yang dinaunginya pada masa ini daripada terkena tempias ekoran pembabitan beliau di dalam 1MDB.

"Cara yang terhormat ialah untuk Mohd Sidek meletakkan jawatannya sekarang sebagai Pengerusi EAIC dengan serta-merta untuk melindungi kewibawaan institusi tersebut.

"Ini adalah langkah terbaik yang boleh dilakukan oleh beliau supaya nama EAIC juga tidak tercalar daripada pembabitan beliau dalam kes 1MDB,” katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Sementara itu ditanya mengenai cadangan supaya Mohd Sidek memulangkan semula elaun diterimanya sepanjang menjadi Ahli Lembaga Penasihat 1MDB, Mohamad Ariff menegaskan bahawa perkara tersebut bukanlah tindakan utama yang harus dilaksanakan.

Sebaliknya beliau berkata, perkara paling penting yang harus diambil langkah segera oleh Mohd Sidek adalah mengakui ketelanjurannya disabitkan dalam skandal 1MDB.

Jelas beliau, tindakan seumpama itu akan menunjukkan beliau bertanggungjawab di atas semua tindakan yang dilakukannya semasa menyandang jawatan KSN.

Tambahnya, perkara tersebut bakal menjelaskan kepada umum bahawa dia bertanggungjawab sepenuhnya terutama melibatkan isu integriti.

"Saya tidak fikir memulangkan jumlah (elaun) yang diterima daripada 1MDB memadai.

"Perkara utama adalah melibatkan isu integriti yang dilihat sangat penting dan budaya politik sebegini mesti dibanteras,” katanya.

Selain elaun RM30,000 sebulan untuk tempoh dua tahun, Mohd Sidek dilaporkan kekal sebagai Ahli Lembaga Pengarah 1MDB selepas bersara dengan elaun sebanyak RM10,000 sebulan sehingga Jun 2015.

Klik di sini untuk terus membaca