SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah pada Jumaat telah menimbulkan rasa kekecewaan terhadap keluarga mangsa yang dibunuh dengan kejam.
Adik mendiang Datuk Anthony Kevin Morais yang juga merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Richard Morais, 56, berkata, pemansuhan hukuman tersebut bersifat tidak adil dan tidak wajar bagi keluarga mangsa pembunuhan.
"Saya berasa sangat kecewa dengan keputusan kerajaan. Sebagai adik bongsu, saya yang menguruskan jenazah semasa dia meninggal dan melihat keadaan mangsa jadi saya rasa keputusan ini tidak adil bagi keluarga-keluarga mangsa yang mempunyai nasib yang serupa.
"Oleh itu, kerajaan harus lihat dan siasat dahulu satu per satu kes. Jika pembunuhan kejam seperti ini tiada hukuman gantung mandatori, di mana pembelaan keluarga si mati di situ?” katanya kepada Sinar Premium.
Pada pendapat Richard, nyawa sepatutnya digantikan dengan nyawa apabila seseorang itu melakukan pembunuhan terutamanya jika ia melakukannya dengan kejam.
"Bayangkan abang saya dijumpai di dalam tong dram berisi konkrit di Subang Jaya. Tentu sahaja apabila hukuman itu dimansuhkan, saya berasa marah.
"Apa akan terjadi selepas pembunuh itu keluar 20 tahun kemudian jika dia tidak digantung mati? Hidup kami sebagai keluarga mangsa akan selamanya tidak tenteram dan gelisah,” katanya.
Sebelum ini, kes pembunuhan berprofil tinggi itu menggegarkan negara apabila Kevin Morais dilaporkan hilang kerana diculik ketika dalam perjalanan menuju ke pejabatnya di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya pada September 2015.
Mayat Morais dipercayai dimasukkan ke dalam guni dan diikat sebelum dimasukkan ke dalam tong drum lalu disemen sebelum dibuang ke dalam paya di Jalan Subang, Taman Subang Mewah Jaya dan dijumpai 13 hari kemudian.
Pada 10 Julai 2020, keputusan pembelaan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan enam lelaki dengan niat bersama didapati bersalah membunuh Morais dan dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dihukum gantung sampai mati.
Richard yang juga merupakan seorang penjual alat muzik itu berkata, walaupun sudah enam tahun berlalu, peristiwa hitam itu masih menghantui dirinya serta memberi kesan yang mendalam kepada keluarga mendiang.
"Saya masih ingat mayat dijumpai pada tarikh 16 September 2015 yang juga merupakan hari Malaysia. Jadi setiap hari Malaysia merupakan hari yang menyedihkan bagi keluarga kami apabila mayat abang saya dijumpai di Subang.
"Tentunya ia memberi kesan kepada keluarga saya kerana ini merupakan kali pertama ada ahli keluarga yang mati akibat dibunuh dengan kejam. Saya masih trauma sehingga sekarang dan tidur saya terganggu,” katanya.
Selain itu, Richard juga berpendapat tidak mustahil kes jenayah mungkin meningkat apabila hukuman mati mandatori ini dimansuhkan.
"Bayangkan seorang timbalan pendakwa raya juga boleh dibunuh dan disemen begitu sahaja semasa sedang menyiasat kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Apa nasib mereka selepas ini?
"Oleh itu, saya rasa tidak mustahil kes jenayah akan meningkat kerana mereka tidak lagi berasa takut akan digantung. Ia juga akan memberi risiko bahaya kepada masyarakat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca