SHAH ALAM - Usaha untuk memansuhkan sepenuhnya hukuman mati di Malaysia masih belum selesai meskipun kerajaan sudah mengumumkan pemansuhan hukuman mati mandatori, kata aktivis Suzana Norlihan Ujen. Beliau yang juga peguam jenayah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Usaha untuk memansuhkan sepenuhnya hukuman mati di Malaysia masih belum selesai meskipun kerajaan sudah mengumumkan pemansuhan hukuman mati mandatori, kata aktivis Suzana Norlihan Ujen.

Beliau yang juga peguam jenayah menyifatkan usaha tersebut masih panjang dan memerlukan keberanian kerajaan untuk merealisasikannya.

"Bagi saya apa yang kerajaan buat sekarang ialah mansuhkan mandatori. Maksudnya hukuman gantung masih ada sebab ia masih memberi pilihan kepada hakim sama ada mahu jatuhi hukuman gantung atau tidak.

"Jadi sebenarnya kerja kami masih tidak berhenti sebab hukuman gantung itu masih wujud di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.

Kerajaan Jumaat lalu bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Mengulas langkah seterusnya dalam usaha memansuhkan hukuman mati, Suzana berkata, terdapat tiga perkara perlu dilaksanakan antaranya mewujudkan statistik berkaitan keputusan hakim membabitkan kes hukuman mati.

"Apabila ada statistik seperti itu, baru mahkamah akan tengok apa perbezaan antara dulu semasa ada mandatori dan sekarang selepas mandatori dihapuskan,” ujarnya yang telah menjadi peguam bagi pesalah hukuman mati selama hampir 20 tahun.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga wajar mendapatkan pandangan daripada aktivis dan peguam yang secara langsung terbabit dan terdedah kepada ketidakadilan yang berlaku dalam sistem perundangan jenayah negara ketika mengendalikan kes hukuman mati.

Tambah Suzana, kerajaan juga harus mendapat pandangan daripada negara lain yang telah memansuhkan hukuman mati berhubung pelaksanaan yang perlu dilakukan khususnya dalam mewujudkan hukuman gantian yang terbaik.

Klik di sini untuk terus membaca