SHAH ALAM - Kerajaan digesa menjelaskan lebih lanjut mengenai peraturan yang perlu dipatuhi apabila pegawai kerajaan dilantik sebagai ahli lembaga penasihat syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, ia kerana dasar dan sistem kawal selia sedia ada semuanya masih tidak jelas.
Menurutnya, jawatan itu adalah tugasan berat yang memerlukan masa dan perhatian serta seharusnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab rasmi mereka.
"Adalah mendukacitakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) sendiri terlibat dalam konteks ini dengan menjadi Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada masa lalu.
"Adakah sepatutnya mereka menerima ganjaran selain daripada gaji mereka untuk menjalankan tugas rasmi? KSN dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sekarang perlu mengeluarkan kenyataan dan dasar yang jelas mengenai perkara ini untuk menjaga integriti serta keyakinan umum terhadap penjawat awam keseluruhannya.
"Tidak boleh berdiam diri dan tidak berkata apa-apa. Hal penglibatan penjawat awam dalam syarikat milik kerajaan perlulah ditangani segera dengan cara menyeluruh dan terbuka,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau mengulas pendedahan bekas KSN, Tan Sri Mohd Sidek Hassan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau menerima elaun sebanyak RM30,000 sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1MDB bermula 1 Julai 2010 hingga 23 Jun 2012 semasa memegang jawatan sebagai KSN.
Mengulas lanjut, Nungsari berkata, banyak institusi awam dan syarikat milik kerajaan berdepan masalah kerana lembaga yang sepatutnya menjadi wakil kerajaan bagi menjaga kepentingan awam tidak mempunyai pengetahuan serta kredibiliti untuk menjalankan tanggungjawab itu.
Jelasnya, pelantikan sedemikian sekadar menjadi kaedah menguruskan politik dan bukannya kepentingan awam.
"Antara institusi yang terpalit skandal besar adalah seperti 1MDB, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Felcra Berhad (Felcra), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan anak-anak syarikat masing-masing,” ujarnya.
Justeru, katanya, reformasi Parlimen perlu dilakukan bagi meneliti prestasi mereka kerana kesemuanya menggunakan dana awam.
"Dah tubuhkan Jawatankuasa Pilihan tetapi tak pinda Aturan Mesyuarat Dewan yang menjadikan semua jawatankuasa ini bertanggungjawab meneliti prestasi bukan saja kerajaan dan perundangan yang dicadangkan tetapi juga prestasi badan awam.
"Parlimen sendiri tidak punya banyak kuasa meneliti prestasi mereka walaupun kesemuanya menggunakan dana awam. Ini harus berubah.
Klik di sini untuk terus membaca