SHAH ALAM - Anak kepada Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, usahawan kosmetik terkemuka yang mati dibunuh kejam, merasakan keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah adalah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Anak kepada Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, usahawan kosmetik terkemuka yang mati dibunuh kejam, merasakan keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah adalah tidak wajar bagi keluarga mangsa.

Datin Rita Sosilawati berpendapat kekejaman yang dilakukan penjenayah mesti dihukum dengan seberat-beratnya supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat.

"Sebagai keluarga mangsa pembunuhan kejam dan telah diputuskan oleh mahkamah, saya tidak bersetuju dengan pemansuhan hukuman mati mandatori. Saya percaya mana-mana keluarga mangsa yang pernah mengalami situasi yang sama juga tidak akan bersetuju dengan cadangan ini,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, jenayah yang melibatkan nyawa harus diganti dengan nyawa apatah lagi jika ia melibatkan jenayah pembunuhan kejam secara terancang.

"Saya melihat pemansuhan hukuman ini lebih kepada kes-kes tertentu, tetapi harapnya tidak bagi kes jenayah pembunuhan kejam.

"Hanya kami sebagai keluarga mangsa yang telah kehilangan orang tersayang akibat jenayah sekejam ini tahu akan kesengsaraan dari segi emosi,” tegasnya.

Rita berkata, tidak mustahil kes jenayah boleh meningkat sekiranya hukuman mati mandatori dimansuhkan.

Datin Rita Sosilawati

Allahyarham Sosilawati dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya sejak 30 Ogos 2010 maut selepas dipukul, dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke laut di Pantai Morib, Selangor.

Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas empat lelaki selepas tertuduh didapati bersalah membunuh Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin (pemandu peribadinya), Ahmad Kamil Abdul Karim (peguam peribadi) dan juga Noorhisham Mohammad (pegawai bank CIMB).

Walaupun 12 tahun telah berlalu, Rita dan keluarga masih trauma.

"Kesedihan dan kepiluan masih berbekas sehingga kini tatkala teringatkan nasib yang menimpa arwah ibu,” cerita Rita.

Klik di sini untuk terus membaca