NEW YORK - Tuah sememangnya berpihak kepada aktor Amerika, Johnny Depp setelah beliau menang dalam kes fitnah terhadap bekas isterinya, Amber Heard selepas tuduhan dilemparkan wanita itu yang mendakwanya melakukan keganasan dalam rumah... Klik di sini untuk terus membaca

NEW YORK - Tuah sememangnya berpihak kepada aktor Amerika, Johnny Depp setelah beliau menang dalam kes fitnah terhadap bekas isterinya, Amber Heard selepas tuduhan dilemparkan wanita itu yang mendakwanya melakukan keganasan dalam rumah tangga telah menjejaskan kariernya dan terpaksa menanggung derita selama enam tahun.

Juri akhirnya mendapati Heard memfitnah Depp, 58, menerusi ruangan pandangan editorial (op-ed) The Washington Post pada 2018 dan turut mengarahkan aktres itu membayar pampasan berjumlah AS$10 juta (RM44 juta) dan AS$5 juta (RM22 juta) untuk ganti rugi punitif.

Wajah Depp menunjukkan riak gembira sejurus keputusan itu diumumkan malah aktor yang terkenal dengan sifat merendah diri itu turut berterima kasih kepada tujuh juri berkenaan kerana ‘mengembalikan semula’ kehidupannya.

Walaupun berdepan skandal keganasan domestik, pelakon watak Jack Sparrow dalam filem francais Pirates of the Caribbean itu tetap popular dengan kira-kira sembilan juta pengikut di Instagram selain perbicaraan kes beliau mendapat perhatian pengguna media sosial dengan hashtag #JusticeforJohnnyDepp dan menerima kira-kira 33 juta tontonan di TikTok.

Kebanyakan pengguna TikTok memuji penampilan bersahaja Depp dan ada yang bersimpati dengannya kerana menjadi mangsa tohmahan.

Sebagai menghargai sokongan yang tidak berbelah bahagi di TikTok, aktor tersebut turut membuka akaun di platform itu dan sudah mempunyai lebih 13.7 juta pengikut walaupun baru berkongsi sebuah video sebagai tanda penghargaan buat peminatnya.

Depp pernah menghadapi waktu yang sukar dan memalukan apabila kehilangan watak Grindelwald untuk siri filem adaptasi novel yang ditulis J K Rowling, Fantastic Beast selepas beliau kalah dalam kes fitnah terhadap tabloid The Sun pada November lalu.

Tetapi, bintang Hollywood itu masih mendapat kepercayaan jenama terkenal, Christion Dior untuk menjadi duta produk wangian lelaki, Sauvage menerusi perjanjian berjumlah AS$5 juta (RM22 juta).

Menerusi artikel yang diterbitkan pada 2018, The Sun telah melabel Depp sebagai ‘pemukul isteri’ menerusi artikel yang memperincikan perkahwinan yang dibina selama 15 bulan bersama Heard yang dikahwininya pada 2015.

Pendedahan tentang ‘kisah keganasan rumah tangga’ yang diceritakan bekas isterinya kepada umum bagaimanapun tidak menjejaskan jualan Sauvage.

The Guardian menerusi laporan mereka menyatakan sebahagian besar peminat Depp membeli produk tersebut sebagai tanda sokongan kepadanya.

Ketika ini, Depp dikatakan mula mengatur langkah untuk kembali semula ke dunia Hollywood yang pernah ‘ditaklukinya’ walaupun ada segelintir pihak yang masih skeptikal kerana berpendapat kedudukannya dalam industri hiburan sebenarnya telah merudum sejak sebelum perbicaraan kontroversi itu bermula.

Depp turut mengikuti siri jelajah konsert ke seluruh Britain bersama pemuzik, Jeff Beck untuk meraikan kemenangannya.

Sebelum ini, beliau mencipta nama menerusi watak eksentrik dalam filem seperti Sleepy Hollow dan Charlie and the Chocolate Factory.

Antara watak eksentrik yang menaikkan nama Depp.

BERBAKAT

John Christopher Depp II dilahirkan pada 9 Jun 1963 di Owensboro, Kentucky dan merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik serta dibesarkan di Florida.

Ibu bapanya bercerai ketika Depp berusia 15 tahun dan setahun selepas itu beliau berhenti sekolah tinggi dan menyertai ‘garage band’ yang menggelarkan diri mereka sebagai The Kids.

Pada 1984, beliau bertemu dengan aktor Nicolas Cage yang kemudiannya mengaturkan uji bakat untuk cerita klasik seram, A Nigthmare on Elm Street.

Selepas beberapa kali menjadi ‘extra’, beliau akhirnya diberi kepercayaan untuk memegang watak utama dalam filem pertama, Nightmare on Elm Street (1984).

Pada 1990, Depp semakin dikenali selepas tampil menerusi filem Edward Scissorhands hasil garapan Tim Burton dan disusuli beberapa filem lain bersama pengarah berkenaan termasuk Ed Wood (1994), Sweeney Todd: The Demon Barber of Fleet Street (2007) dan menyumbang suara dalam kisah animasi seram, Corpse Bride (2005).

Bakatnya terus mendapat perhatian pengarah Hollywood apabila beliau memegang watak ‘gila-gila’ Jack Sparrow menerusi Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl (2003).

Selain watak aneh dan pelik, Depp juga berlakon dalam filem thriller berjudul The Tourist bersama aktres Angelina Jolie selain beraksi dengan cemerlang dalam pelbagai genre lain hingga pernah dicalonkan dalam Anugerah Akademi dan pernah disenaraikan sebagai salah seorang daripada 100 Bintang Paling Seksi dalam Sejarah Filem oleh majalah Empire pada 1995.

Mengintai sisi kehidupan peribadinya, Depp pernah menjalinkan hubungan cinta dengan beberapa selebriti dan mengikat tali pertunangan dengan Jennifer Grey, Winona Ryder dan Kate Moss.

Beliau juga pernah berkahwin dengan juru mekap artis, Anne Allison pada 1983, namun berpisah kira-kira dua tahun kemudian.

Hubungan Depp dengan aktres Perancis, Vanessa Paradis turut dikurniakan dua cahaya mata, Lily-Rose Melody dan Jack. - Agensi -SH: 10 Trivia - Mempunyai dua batang gigi perak.

Klik di sini untuk terus membaca