SHAH ALAM - Sejak akhir-akhir ini masalah kesesakan trafik terutama di ibu negara, Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama Malaysia menjadi semakin teruk. Jika sebelum ini, kesesakan lalu lintas itu lazimnya hanya terjadi di waktu puncak,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sejak akhir-akhir ini masalah kesesakan trafik terutama di ibu negara, Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama Malaysia menjadi semakin teruk.

Jika sebelum ini, kesesakan lalu lintas itu lazimnya hanya terjadi di waktu puncak, tetapi ketika ini ia berlaku tanpa mengira waktu.

Jumlah kenderaan di negara ini yang semakin bertambah kerana tiada keseimbangan antara kenderaan baru dan lama dilihat menjadi salah satu faktor masalah kesesakan melampau itu terjadi.

Setiap tahun, jumlah kenderaan baharu yang dijual meningkat tetapi kenderaan lama misalnya yang berusia lebih 20 tahun tidak dihapuskan.

Lambakan kenderaan itu menjadikan jalan raya di negara ini sentiasa sibuk dan sesak lebih-lebih lagi ketika musim cuti perayaan, cuti sekolah dan cuti umum lain.

Media pada 5 Jun lalu melaporkan sebanyak 5.6 juta kenderaan membanjiri lebuh raya seluruh negara sempena cuti sekolah menyebabkan aliran trafik sesak di beberapa laluan utama.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, sejak fasa peralihan endemik, jumlah trafik harian di lebuh raya utama adalah sebanyak 4.52 juta kenderaan menyamai jumlah dicatatkan semasa pra pandemik pada Mac 2020.

Sebagai mekanisme mengatasi masalah itu, Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Rozmi Ismail berkata, kerajaan telah meluluskan pelaksanaan kajian implementasi polisi usia lupus kenderaan atau ‘end of live vehicle’ (ELV) yang dijangka siap tahun depan.

Kajian itu dijalankan pasukan Dr Rozmi membabitkan tiga fakulti UKM iaitu sains psikologi, undang-undang dan kejuruteraan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Beliau menjelaskan, menerusi polisi itu had usia kenderaan yang boleh diguna pakai akan ditetapkan dan sekiranya mengambil kira faktor ekonomi, sesebuah kenderaan sepatutnya digunakan tidak lebih 10 tahun.

"Ini kerana selepas 10 tahun penggunaan, walaupun bagaimana hebatpun sesebuah kenderaan atau kereta itu, ia akan alami ‘kekurangan’ dan perlu habiskan duit untuk dibaiki jadi sudah tidak ekonomik.

"Sebab itu di negara-negara maju seperti Jepun, Singapura dan Eropah ada polisi ELV iaitu selepas satu tempoh yang ditetapkan, kenderaan itu perlu dilupuskan,” katanya.

Justeru itu, Dr Rozmi menegaskan, polisi baharu itu akan memastikan kenderaan lama dapat dilupuskan sebaik sahaja ia telah digunakan dalam tempoh tertentu bagi memastikan wujud keseimbangan antara kereta lama dan baru di jalan raya.

"Salah satu caranya mungkin apabila pengguna membeli kereta baharu, mereka perlu tandatangan perjanjian untuk melupuskan kenderaan itu misalnya selepas 10 tahun di mana kenderaan itu akan dijual kepada kerajaan dan ia boleh dibaraikan serta komponennya dikitar semula.

"Jadi pada masa sama sekarang kita juga perlu perhebatkan kempen agar wujud kerelaan dalam kalangan pemilik sendiri untuk menyokong polisi ini,” tegasnya.

Ujarnya, kajian itu telah dilakukan sejak 2020 dan apabila ia siap pada tahun depan ia akan segera dibentangkan kepada kerajaan untuk diimplementasikan.

Klik di sini untuk terus membaca