HUTAN paya bakau adalah salah satu daripada tiga hutan utama yang terdapat di Malaysia, selain hutan darat dan hutan paya gambut. Ia merujuk kepada sekumpulan tumbuhan yang hidup di kawasan berpaya di muara sungai, antara pertembungan air... Klik di sini untuk terus membaca

HUTAN paya bakau adalah salah satu daripada tiga hutan utama yang terdapat di Malaysia, selain hutan darat dan hutan paya gambut.

Ia merujuk kepada sekumpulan tumbuhan yang hidup di kawasan berpaya di muara sungai, antara pertembungan air tawar dan air laut seperti di kawasan lagun, delta serta teluk.

Dirian hutan bakau merupakan lapisan perlindungan semula jadi yang stabil, mencegah kemusnahan disebabkan hakisan tanah, pukulan ombak dan tiupan angin kencang, pemuliharaan habitat dan kepelbagaian biologi serta kawasan zon penampan yang kukuh dan stabil.

Hutan bakau juga berperanan mengekalkan kitaran biodiversiti hidupan dan berfungsi sebagai tempat penetasan pelbagai jenis hidupan laut seperti ikan, udang, kerang serta siput dan bagi kemandirian spesies burung tempatan serta burung hijrah.

Malah, ekosistem itu turut menjana ekonomi setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan melalui ekopelancongan serta perikanan.

Isu perubahan iklim mendapat perhatian utama di peringkat global dan berada pada tahap membimbangkan.

Jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, dunia dijangka berdepan dengan bencana alam yang dahsyat seperti hujan lebat, banjir dan kemarau yang lebih kerap dan pada skala besar.

Menurut pakar klimatologi, Profesor Fredolin Tangang, di Malaysia sahaja, jumlah kejadian banjir meningkat sejak 20 tahun lalu dengan kerugian dianggarkan melebihi RM8 bilion.

SERAP KARBON DIOKSIDA

Hutan paya bakau dapat membantu mengurangkan fenomena pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida dan dianggap antara ekosistem paling padat karbon di dunia dengan kebanyakan karbon tersimpan di dalam tanah.

Sepanjang dua dekad lalu, kapasiti utama bakau untuk menangkap dan menyimpan karbon telah semakin diakui kerana dirian pokok di hutan bakau mampu menyimpan karbon dalam sedimen atau tanah berlumpur melalui daun, ranting dan propagul (buah).

Penyerapan dan penyimpanan karbon di hutan bakau terjadi secara alami dan dikenali sebagai karbon biru (blue carbon) iaitu karbon yang diserap oleh ekosistem pantai dan laut. Umumnya, lebih 75 peratus daripada stok karbon bakau disimpan dalam tanah berlumpur yang menjadi habitat mereka.

Jangka hayat pokok bakau adalah sekitar 25 tahun. Satu hektar hutan bakau yang matang mampu menyerap 840 metrik ton karbon dioksida, bermaksud sebatang pohon bakau mampu menyerap 308 kilogram (0.3 ton) karbon dioksida daripada atmosfera selama masa pertumbuhannya iaitu 12.3 kilogram per tahun.

Kajian di Madagascar dan merentasi kawasan tropika menunjukkan hutan paya bakau boleh menyerap serta menyimpan sehingga lima kali lebih banyak karbon seunit kawasan daripada hutan darat.

Kadar tahunan kehilangan karbon daripada tanah yang pokok bakaunya ditebang adalah 4.5 kali lebih cepat daripada kadar penyerapan karbon dalam tanah bakau yang sihat. Ia bermakna untuk mengimbangi kehilangan karbon dalam tempoh 10 tahun, sejumlah 4.5 hektar pokok bakau perlu ditanam semula bagi setiap hektar yang ditebang.

Dan usaha penanaman semula itu perlu dijalankan sepantas mungkin kerana kadar tumbesaran dan serapan pokok bakau sebagai ejen penyerap karbon yang tinggi mengambil masa beberapa dekad.

Dengan adanya hutan paya bakau, lebih banyak karbon dioksida yang diserap sehingga mampu mencegah perubahan iklim. Semua itu membuktikan hutan bakau adalah salah satu penyelesaian mitigasi perubahan iklim berasaskan alam semula jadi tersedia yang paling berkesan.

Namun, kurang pemahaman adalah penghalang utama kepada pihak berkepentingan merealisasikan potensi mengekalkan hutan paya bakau sebagai penebat alami kenaikan suhu global.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca