THAILAND telah lama terkenal dengan undang-undang dadahnya yang keras tetapi kerajaan telah meliberalisasikannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pada Khamis lalu, tanaman pokok ganja terkeluar daripada senarai narkotik yang... Klik di sini untuk terus membaca

THAILAND telah lama terkenal dengan undang-undang dadahnya yang keras tetapi kerajaan telah meliberalisasikannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pada Khamis lalu, tanaman pokok ganja terkeluar daripada senarai narkotik yang diharamkan sekali gus menyahkriminalisasikan penanaman dan pemilikan.

Walaupun perubahan itu berlaku selepas keputusan Kanada dan Uruguay untuk menghalalkan penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi sepenuhnya, Thailand berharap dapat memanfaatkan pasaran global yang semakin meningkat yang kini bernilai berbilion dolar untuk produk ganja yang sah terutamanya dalam makanan dan perubatan.

Akhirnya, Thailand melihat ganja berpontensi besar dalam dunia perubatan selepas selepas ditipu oleh dunia Barat selama lebih 80 tahun untuk mempercayai bahawa ganja adalah dadah, kata bekas editor Bangkok Post, Veera Prateepchaikul dalam akhbar tersebut baru-baru ini.

Menurutnya, tumbuhan itu digunakan sebagai herba ubat untuk menyembuhkan penyakit sejak zaman Raja Narai dari kerajaan Ayutthaya pada tahun 1632 manakala pada tahun 1934, undang-undang telah digubal yang melarang pemilikan, penanaman dan perdagangan ganja.

Pada tahun 2018, Thailand menghalalkan ganja perubatan iaitu satu langkah penting oleh sebuah negara di Asia Tenggara yang mana undang-undang antidadah keras dilaksanakan di negara berkenaan manakala kerajaan telah melabur dalam pengekstrakan, penyulingan dan pemasaran minyak daripada tanaman itu.

Laporan penganalisis mencadangkan bahawa dalam dekad yang akan datang, pasaran ganja yang sah boleh bernilai dari AS$50 bilion (RM220.92 bilion) hingga AS$200 bilion (RM883.70 bilion) apabila negara tersebut melonggarkan undang-undang penggunaannya.

BURGER DENGAN KEJU GANJA

Syarikat-syarikat perniagaan Thailand mula bergerak untuk mendapatkan keuntungan dalam dunia liberalisasi melalui penggunaan ganja yang dibenarkan oleh kerajaan terutamanya Charoen Pokphand Foods yang merupakan anak syarikat makanan dan pertanian konglomerat gergasi, CP Group.

Pada bulan lalu syarikat itu mengumumkan rancangan untuk membangunkan produk makanan dan minuman yang diselitkan dengan kanabidiol atau CBD yang bahan diperoleh dari pokok ganja dengan menekankan iklim Thailand yang menggalakkan untuk mengembangkan tumbuhan dan reputasi untuk menghasilkan pertanian berkualiti tinggi.

Bagaimanapun, peraturan baharu kerajaan itu mengenakan larangan terhadap sesiapa sahaja yang menghisap ganja di luar rumah akan menyebabkan si pelakunya ditangkap menerusi undang-undang gangguan awam dan bukannya undang-undang dadah di negara berkenaan.

Pesalah yang berpotensi akan berdepan denda sebanyak 25,000 baht (RM3,173) serta penjara sehingga tiga bulan.

Sehubungan itu, produk ganja dengan lebih daripada 0.2 peratus kepekatan tetrahydrocannabinol (THC) iaitu sebatian psikoaktif yang menghasilkan dadah yang tinggi adalah kekal menyalahi undang-undang.

Ganja mempunyai pasaran yang meluas dan memberikan pulangan yang menguntungkan. - Foto AFP

Sebuah kedai makanan di Nonthaburi, pinggir Bangkok kini menawarkan hamburger dengan keju ganja dan ayam goreng di atasnya dengan daun ganja yang dicincang goreng dengan pemiliknya berkata, daun pokok tersebut juga digunakan dalam perapan ayam sebagai perasa.

Seorang suri rumah di wilayah timur laut Buri Ram memberitahu portal berita Thai PBS bahawa beliau sebelum ini secara rahsia menanam pokok ganja di taman belakangnya dan menggunakan daunnya dalam makanan atau direbus sebagai minuman untuk membantunya tidur lena.

Bagaimanapun, suri rumah tersebut kini meminta anaknya memindahkan pasu yang mengandungi pokok ganja dibawa ke hadapan rumahnya kerana beliau tidak perlu menyembunyikan tanaman pokok itu lagi.

100,000 ORANG DAFTAR TANAM GANJA

Stok ganja untuk sebuah kedai di kawasan Lat Phrao, Bangkok yang mula menjual ganja rekreasi dan aksesori merokok kehabisan hanya dalam temph beberapa jam pada 9 Jun lalu dengan beberapa pelanggan beratur di hadapan kedai sejak awal pagi.

Kedainya itu pernah menjual makanan dan minuman yang mengandungi ganja tetapi mula menjual ganja kering dengan harga 450 baht (RM57.12) hingga 700 baht (RM88.85) bagi setiap gram.

Syarikat-syarikat besar dalam bidang minuman, hiburan dan produk pengguna menggunakan kelonggaran undang-undang kerajaan Thailand itu untuk memanfaatkan penggunaan ganja bagi tujuan untuk mendapatkan keuntungan.

Pongpasu Unaphom iaitu Pengarah Pemasaran kanan di Giffarine Skyline Unity Co yang merupakan sebuah syarikat jualan langsung Thailand, berkata seperti dilaporkan akhbar Bangkok Post bahawa pasukan pembangunan dan penyelidikannya sedang mempercepatkan pembangunan produk makanan serta minuman sedia untuk dimakan dengan ganja sebagai bahan utamanya.

Kelonggaran itu jua menyebabkan negara itu kini sedang mencari untuk membangunkan industri ganja domestik, kata Menteri Kesihatan Thailabd, Anutin Charnvirakul pada Khamis lalu.

Thailand menjangkakan nilai industri ganja dengan mudah melebihi AS$2 bilion (RM8.84 bilion), katanya, dengan menekankan iklim ideal Thailand untuk menanam tumbuhan itu dan insentif yang telah disediakan kepada para petani yang merancang untuk membangunkan industri eksport pada skala lebih besar.

Pada hari Khamis lalu, lebih daripada 100,000 orang mendaftar untuk menanam pokok ganja di rumah mereka selepas kerajaan tidak lagi mengharamkannya, menurut laman web Pentadbiran Makanan dan Dadah Thailand.

Industri itu diramalkan akan bernilai hampir AS$1.8 trilion (RM7.95 trilion) menjelang tahun 2030. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca