SHAH ALAM - Rata-rata orang ramai bersetuju dengan cadangan untuk menghapuskan kereta lama sebagai antara langkah berkesan untuk mengurangkan lambakan kenderaan di Malaysia. Bagaimana pun kata mereka, kerajaan perlu melaksanakan beberapa... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rata-rata orang ramai bersetuju dengan cadangan untuk menghapuskan kereta lama sebagai antara langkah berkesan untuk mengurangkan lambakan kenderaan di Malaysia.

Bagaimana pun kata mereka, kerajaan perlu melaksanakan beberapa inisiatif agar pemilik kenderaan yang terlibat tidak terbeban dengan langkah itu.

Seorang pekerja sendiri dari Gombak, Herizal Amriz Hismat Alang, 28, berkata, pelaksanaan itu perlu dilakukan secara berperingkat untuk mewujudkan situasi menang-menang kepada pengguna.

"Contohnya, kerajaan perlu terlebih dahulu menyelesaikan beberapa isu antaranya penetapan harga kereta baharu berpatutan dan menyediakan pengangkutan alternatif bagi rakyat sebelum melaksanakan dasar had tempoh penggunaan kereta itu,” ujarnya.

Pada masa sama, Herizal turut mengemukakan cadangan bagi menangani isu tersebut dengan cara mengetatkan syarat pemilikan kenderaan.

"Syarat boleh ditetapkan antaranya menapis pemandu yang ada rekod kesalahan besar. Selain itu, boleh juga ambil langkah hadkan tempoh tertentu sebelum seseorang boleh miliki kenderaan selepas mereka dapat lesen,” ujarnya.

Sementara itu,seorang pegawai bank dari Cheras, Nik Nufakhira Mohamad Anuar, 29, berkata, pelaksanaan langkah itu perlu dilakukan kerana ia secara langsung meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, dia berkata, bagi memastikan langkah tersebut tidak membebankan rakyat, kerajaan perlu menyediakan subsidi pemilikan kereta kepada golongan tertentu terutama kepada golongan berpendapatan rendah.

TAHAP KEWANGAN RAKYAT

Dalam pada itu, seorang penjawat awam dari Kuala Langat, Wan Nurhalimah Wan Abdullah, 30, berkata, keperluan pelaksanaan langkah tersebut perlu mengambil kira tahap kewangan sebahagian besar rakyat Malaysia.

"Saya memang bersetuju dengan cadangan ini sebagai cara mengurangkan jumlah kenderaan di Malaysia. Tapi kena lihat balik keadaan ekonomi mereka.

"Kalau banyak yang masih B40 dan belum keluar daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meninggi sekarang ini, saya rasa ia belum sesuai untuk dilaksanakan,” katanya.

Seorang guru dari Bangi, Muhamad Azim Azlan, 25, pula berpandangan langkah menghapuskan kenderaan lama dilihat kurang berkesan dalam mengawal pemilikan kereta di dalam negara berbanding mengehadkan pembelian kenderaan.

"Perlu diingatkan, sekiranya menghapuskan kenderaan lama digunakan sebagai jalan penyelesaian, pemilik tetap akan membeli kereta baharu dan tidak akan ubah apa-apa.

"Jadi alternatif lebih baik saya rasa adalah mengehadkan pemilikan kenderaan sebagai contoh memperkenalkan dasar satu keluarga satu kereta,” ujarnya.

Bagaimanapun, Muhamad Azim berkata, kerajaan perlu terlebih dahulu menyediakan sistem pengangkutan awam lebih baik dalam jika mahu dasar itu dilaksanakan.

Dalam pada itu, jurulatih hoki dari Kuala Lumpur, Muhammad Qhairil Azril, 31, berkata, sebagai negara pengeluar kereta, agak sukar untuk kerajaan melaksanakan dasar hadkan pemilikan kereta kerana ia bakal memberikan impak kepada industri itu.

Sehubungan itu, dia berpandangan langkah mengehadkan kereta untuk memasuki bandar besar untuk waktu tertentu dilihat lebih berkesan dalam usaha mengurangkan kesesakan akibat pertambahan kenderaan di dalam negara.

Klik di sini untuk terus membaca