TIDAK ada berita paling mendukacitakan pada minggu lalu selain laporan media mengenai bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes 1MDB. Beliau menerima elaun sebanyak RM30,000 sebulan sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1MDB walaupun tidak pernah diundang ke mesyuarat lembaga tersebut selama lima tahun.
Banyak ulasan di media sosial mengapa sampai ke tahap itu seorang yang berpengalaman luas sebagai ketua tertinggi penjawat awam. Jika benar syarikat milik Kementerian Kewangan itu tidak pernah memanggil mesyuarat, bagaimana pula sikap proaktif seorang profesional untuk bertindak dan membuat yang terbaik atas kepentingan negara.
Mufti Pulau Pinang menyatakan hukum menerima habuan dalam keadaan seperti itu adalah haram dan wang tersebut mesti dipulangkan kepada kerajaan.
Tidak ada jawatan yang paling tinggi dalam perkhidmatan awam melainkan jawatan KSN, yang juga merupakan setiausaha kepada Jemaah Menteri. Personaliti yang berada pada tahap ini tentunya amat terpilih, berwibawa tinggi, kompeten dan disaring daripada ratusan ketua-ketua kanan dalam sektor awam.
Ketua-ketua penjawat awam mempunyai banyak tanggungjawab dan kuasa, sekali gus peluang memberi dan mengambil rasuah adalah besar. Sebab itulah penjawat awam biasanya melalui banyak program pembangunan diri untuk membina kompetensi dan integriti supaya dapat melaksanakan tugas serta tanggungjawab terbaik demi negara.
PENJAWAT AWAM
Hakikatnya, hampir separuh kes-kes rasuah di negara ini melibatkan penjawat awam. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan, sepanjang enam tahun dari 2015 hingga 2020, sejumlah 5,652 tangkapan dibuat. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,683 atau 47.5 peratus adalah penjawat awam. (Sinar Harian, 31 Januari 2021)
Dalam keadaan kritikal ini, peranan ketua-ketua tertinggi perkhidmatan awam walaupun selepas bersara amatlah besar untuk digembleng dalam agenda membanteras rasuah.
Sebab itu, saranan Mufti Pulau Pinang untuk mengembalikan wang negara yang diambil daripada bukan haknya amat tepat atas tiga sebab. Pertama, apa yang kita lakukan di dunia akan dihisab di akhirat. Melunaskan hak-hak orang lain ketika di dunia akan meringankan tanggungan kita pada Hari Pengadilan.
Kedua, mengembalikan bayaran atas khidmat yang tidak dapat kita lunaskan adalah kemuliaan dan teladan terbaik. Setiap kali kita sedar daripada kesilapan, langkah terbaik ialah kembali ke pangkal jalan. Berani mengakui kesilapan dan memperbetulkan segera adalah kekuatan sebenar seseorang pemimpin, malah sesiapa sahaja yang ingin berjaya.
Ketiga, ini adalah peluang terbaik untuk bekas KSN dan bekas ketua-ketua penjawat awam untuk bangkit dan bersama-sama rakyat membanteras amalan rasuah, sebelum tonggak-tonggak kekuatan negara ini semakin hari semakin lemah dan runtuh. Sejarah telah membuktikan negara yang memimpin tamadun pun hancur dek rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pemerintah dan pentadbir.
Gerakan membanteras rasuah ini jika digerakkan oleh bekas-bekas pemimpin tertinggi penjawat awam, pasti akan disambut masyarakat sivil dan rakyat marhaen kerana merekalah golongan paling terkesan akibat ketirisan dalam penggunaan dana negara, penyalahgunaan kuasa atau ketidakcekapan sektor awam.
Langkah bekas KSN, Tan Sri Mohd Sidek Hassan memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-19 dalam perbicaraan kes rasuah 1 MDB menunjukkan kesediaan beliau memberi kerjasama menegakkan kebenaran dan keadilan dalam kes 1MDB.
Teruskan Tan Sri dengan azam yang lebih padu, menjadi saksi kepada kebenaran dan semoga ia menjadi pencetus inspirasi dan bukan sebaliknya, kepada generasi baru Malaysia terutama yang sedang berkhidmat dalam sektor awam.
* Mohamad Saidy Ismail ialah Profesor Madya di Universiti Cyberjaya
Klik di sini untuk terus membaca