ISU pencerobohan kapal asing, sama ada kapal ketenteraan mahupun nelayan telah sekian lama menjadi seakan duri dalam daging kepada negara. Ia memberi impak dalam dua perkara iaitu perihal kedaulatan negara dan sumber ekonomi daripada hasil... Klik di sini untuk terus membaca

ISU pencerobohan kapal asing, sama ada kapal ketenteraan mahupun nelayan telah sekian lama menjadi seakan duri dalam daging kepada negara. Ia memberi impak dalam dua perkara iaitu perihal kedaulatan negara dan sumber ekonomi daripada hasil laut.

Awal bulan ini, pihak media telah mengetengahkan perkara itu dengan lantang. Media memetik kenyataan beberapa ahli politik mempersoalkan kenapa agensi berkaitan keselamatan di lautan khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) seakan-akan tidak ambil peduli mengenai perkara tersebut.

"Di mana APMM dan TLDM, mengapa biarkan sempadan negara dicerobohi. Ini bukan kapal biasa tapi kapal perang tentera asing?” Itu antara kenyataan yang agak keras diluahkan.

Amat mudah mencanang pendapat yang bersifat populis kepada media. Ahli politik sepatutnya mengetahui atau setidak-tidaknya cuba memahami bagaimana atau apakah konsep pertahanan negara yang sekian lama diguna pakai bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman kuasa luar.

Pada 2001, Menteri Pertahanan ketika itu pernah menyatakan bahawa diplomasi adalah baris pertahanan pertama negara, manakala angkatan tentera adalah baris yang terakhir.

Strategi itu telah sekian lama dilaksanakan oleh kepimpinan negara. Penyelesaian konflik dengan Indonesia ketika konfrontasi pada awal tahun 1960-an, hubungan dengan China ketika Parti Komunis Malaya masih belum meletakkan senjata, hubungan baik antara negara blok Barat dan Timur sepanjang tempoh Perang Dingin adalah contoh bagaimana diplomasi telah berjaya memberi pulangan besar kepada negara.

Pada Julai 2020, Menteri Luar ketika itu telah menyatakan dalam tempoh 100 hari selepas menerajui Wisma Putra, tiada sebuah pun kapal tentera China didapati menceroboh masuk. Kejayaan itu menurutnya lagi adalah hasil usaha keras beliau mengadakan rundingan secara bilateral dengan China berkaitan isu tersebut.

ZON EKONOMI EKSKLUSIF

Isu pencerobohan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) bukanlah isu yang hanya melibatkan Malaysia dan China sahaja. Malah, isu had dan hak laluan bebas di zon ZEE sesebuah negara kerap menjadi perdebatan peringkat antarabangsa.

India umpamanya, yang mempunyai hubungan ketenteraan semakin akrab dengan pihak Amerika Syarikat (AS) turut terkena tempias pencerobohan, namun bukan daripada kapal China tetapi kapal sekutunya sendiri iaitu AS.

Pada April 2021, sebuah kapal perang AS telah memasuki 130 batu nautika di dalam kawasan ZEE India berhampiran taburan 36 pulau dan terumbu dikenali sebagai Lakshadweep.

Kerajaan India telah membuat bantahan diplomatik. Ia susulan interpretasi India berkaitan kawasan ZEE ialah tidak ada negara asing dibenarkan melakukan manuver atau latihan ketenteraan terutama melibatkan bahan letupan dalam kawasan tersebut tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran negara pesisir.

Pihak AS bagaimanapun menekankan bahawa interpretasi India adalah tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa dan berpendapat kapal USS John Paul tidak perlu meminta izin dari India untuk merentasi kawasan berkenaan.

Pada tahun sama, sebuah kapal tentera laut China telah memasuki kawasan ZEE Australia dan bergerak selari rapat dengan pesisir pantai negara tersebut. Malah, Australia mengakui kapal berkenaan yang dikenali sebagai kapal Yuhengxing turut cuba melakukan pengintipan elektronik terhadap beberapa kawasan latihan ketenteraan dari utara hingga ke Sydney di selatan.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Perdana Menteri Australia menyatakan bahawa sememangnya perkara itu diketahui dan negara itu tidak mempunyai halangan kerana ia adalah hak navigasi bebas kapal berkenaan.

Walaupun demikian, pihak negaranya telah mengawasi setiap langkah kapal menggunakan pelbagai kaedah, termasuk pemantauan elektronik.

Pintasan fizikal menggunakan kapal perang tidak dilakukan kerana ia hanya akan menimbulkan konflik politik yang akan menjadi bertambah buruk, malah mungkin bertukar menjadi konflik bersenjata.

Menuding jari terhadap TLDM dan APMM serta seakan-akan mempersoalkan mengapa kedua-dua agensi tersebut membiarkan sempadan negara dicerobohi adalah sesuatu yang menjengkelkan.

Ia samalah seperti menyalahkan Parlimen kerana tidak mahu meluluskan bajet perolehan lebih banyak kapal dan pesawat agar dapat melaksanakan rondaan serta pengawasan kawasan maritim dengan lebih efektif.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca