SHAH ALAM - Pakar automotif menyatakan bahawa kira-kira 50 peratus rakyat negara ini memiliki lebih daripada dua kereta.
Editor Pengurusan portal automotif tempatan DSF.my, Daniel Fernandez berkata, ia berikutan masyarakat cenderung untuk memiliki sekurang-kurangnya satu kereta baharu untuk kegunaan urusan keluarga mereka dan satu lagi kereta lama.
Mengulas lanjut, Daniel berkata, ramai yang melihat kereta itu sebagai satu keperluan terutamanya bagi tujuan perjalanan jarak jauh seperti balik kampung atau pergi ke kolej.
"Kalau kita tengok keadaan sekarang ini, kebanyakan golongan ibu bapa belikan kereta baharu bila anak-anak mereka berumur 17 dan 18 tahun.
"Bapa dan ibu pakai kereta lama, tetapi anak pakai kereta baharu. Alasan ibu bapa beli adalah sebab faktor keselamatan.
"Ramai yang beli sebab anak mereka nak guna untuk pergi kolej atau universiti,” jelasnya.
Dalam pada itu, penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri berkata, kerajaan perlu memperincikan jumlah data kenderaan berdaftar yang masih aktif di negara ini.
Ujarnya, data tersebut penting bagi membantu penganalisis dan pihak berkaitan untuk membuat pengunjuran atau pelan tindakan berhubung jumlah kenderaan di jalan raya.
"Sukar nak agak keadaan (jumlah kenderaan) jalan raya. Sebab kalau kata (jalan raya) sibuk, itu semua tanggapan yang dibuat dari segi visual dan dari apa yang kita tengok di jalan raya itu.
"Tetapi semua analisis kena ada angka, data dan nombor. (Masalahnya) Nombor itu kita tidak ada.
"Jadi jika lihat negara-negara lain, mereka tahu berapa jumlah kenderaan yang sedang digunakan yang mana ia telah didaftarkan dan masih lagi diguna di jalan raya,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca