SHAH ALAM - Bekas Exco Kelantan, Datuk Husam Musa, kini masih 'berteka teki' sama ada mahu bertanding atau tidak dalam, Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.Ia kerana Husam yang juga Ketua Amanah Kota Bharu dikatakan 'tidak sebulu' dan mempunyai... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Bekas Exco Kelantan, Datuk Husam Musa, kini masih 'berteka teki' sama ada mahu bertanding atau tidak dalam, Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Ia kerana Husam yang juga Ketua Amanah Kota Bharu dikatakan 'tidak sebulu' dan mempunyai hubungan dingin dengan Pengerusi Amanah Kelantan, Muhammad Husain, sejak kebelakangan ini.

Malah, mereka dikatakan berbeza pandangan dalam pelbagai isu termasuk soal perbincangan ke arah pembentukan kerjasama dan jajaran politik baharu bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, seperti tular di media sosial baru-baru ini.

Difahamkan, hubungan mereka semakin renggang selepas Husam yang juga bekas Naib Presiden Amanah bertindak menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merentasi parti politik dikenali sebagai Sekretariat Save Kelantan (Save Kelantan) yang berperanan selaku menjadi badan bertindak yang akan membuat semakan dan menegur dasar kerajaan negeri.

Berikutan itu, tidak hairanlah jika Pengerusi Save Kelantan itu sendiri memberi bayangan kepada wartawan Sinar Premium bahawa beliau mungkin tidak dicalonkan oleh kepimpinan Amanah negeri untuk bertanding dalam PRU15 nanti.

"Malah, ada sesetengah orang memberitahu saya supaya bersara daripada arena politik dan tidak bertanding dalam PRU15 akan datang.

HUSAM


"Bagaimanapun, saya akan ikut apa kehendak pengundi di kawasan saya (Kota Bharu). Kalau mereka masih mahu saya bertanding saya akan berbuat demikian selepas mendapat restu pucuk pimpinan tertinggi parti," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Dalam pada itu, Husam menegaskan semua Pakatan Harapan (PH) Kelantan perlu menjadi 'juara' dalam menyuarakan masalah rakyat jika mereka berhasrat memberikan saingan sengit kepada Pas dan UMNO, dalam PRU15 nanti.

"Saya berpandangan PH perlu diperkukuhkan di Kelantan kerana rakyat tidak dapat melihat apa diperjuangkan oleh kita di negeri ini.

"Semua pemimpin PH mahu bertanding PRU15 juga perlu mengetahui dan bersuara mengenai pelbagai masalah dialami rakyat Kelantan sekarang," katanya.

Dalam pada itu, sumber mendedahkan Husam bermungkinan besar akan bertanding atas tiket Bebas atau Save Kelantan jika nama beliau 'tidak naik' dan menjadi sebahagian calon Amanah di Kelantan pada PRU15 nanti.

Difahamkan, Husam akan sekali lagi mencuba nasib untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Kota Bharu yang kini disandang oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada PRU15 ini.

Untuk rekod pada PRU14 lalu, Husam memperoleh 22,422 undi tewas kepada Takiyuddin di Parlimen Kota Bharu, dalam pertembungan tiga penjuru dengan majoriti 5,869 undi, manakala seorang lagi calon BN, Fikhram Hamshi Mohd Fatmi, meraih 16,256 undi. Klik di sini untuk terus membaca