PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 baru sahaja berlalu. Ia meninggalkan kenangan manis. Para pembaca dapat melepaskan kemaruk ke pesta meriah, besar dan menyeronokkan.
Dalam tempoh seminggu itu, ramai staf penerbit sibuk memunggah kotak-kotak buku dari lori dan van sekembalinya dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Stok buku dikira dan untung rugi dicongak. Staf yang jatuh demam akibat keletihan akan berehat. Namun, sebahagian besar petugas syarikat-syarikat penerbitan kini mengukir senyuman puas.
Bukan sedikit berita dan cerita yang kita baca mengenai buku-buku yang laris, malah rak di beberapa reruai didapati kosong kerana buku-buku habis ‘disapu’ peminat. Barisan untuk membayar jadi berjela hingga melimpah ke ruang laluan.
Kebanyakan penerbit sudah membina jenama dan barisan penulis sendiri. Oleh sebab acara di pentas utama telah penuh, mereka buat sahaja temu bual dengan penulis di reruai mereka.
Cucuk wayar pembesar suara di speaker mudah alih dan bergemalah sebentar suara penggiat buku di sebuah reruai sebelum ditenggelamkan oleh suara daripada speaker di reruai sebelah.
Barangkali ada penerbit sedang melakukan post mortem. Walau apa pun, di sebalik aura positif yang menyelimuti seluruh tapak PBAKL 2022 itu, apakah ia menjamin potensi cemerlang industri apabila ditelah berdasarkan sambutan orang ramai?
Seperti mana-mana industri lain, industri buku tidak terkecuali mengalami fragmented market atau pasaran yang terserpih dan berkecai.
Medium pemasaran sudah pelbagai. Media arus perdana seperti radio, televisyen, akhbar dan majalah sudah hilang arusnya kerana salurannya sudah kering.
Maknanya, pengiklanan buku di media perdana bukan menjadi pilihan penerbit lagi kerana ia bukan media kegemaran peminat-peminat buku.
Pemasaran langsung seperti pengagihan risalah atau hebahan melalui siaraya di tapak pesta buku sudah tidak lagi memberi impak. Sebaliknya, pemasaran melalui media sosial yang muncul di telefon bimbit individu menjadi medan perang pemasaran mutakhir dalam industri buku.
Jenama media sosial pun sudah ada banyak. Katanya, TikTok kini menjadi pilihan membina kabilah (tribe). Begitu juga Twitter yang kekal popular kerana retweetnya membina gelombang pengikut.
PERUBAHAN
Meskipun Facebook kekal paling popular di Malaysia tahun ini dengan 21.7 juta pelanggan, ia tidak semestinya menjadi pilihan utama peminat buku.
Orang kata, yang tidak berubah itu adalah perubahan itu sendiri. Ertinya, perubahan tidak akan berhenti. Maka perubahan itulah yang wajib menjadi bacaan pemain industri buku.
Pada hari-hari akhir PBAKL, ada penerbit mengumumkan bahawa buku-buku tidak dapat dicetak sepenuhnya berikutan kekurangan kertas di pihak pencetak.
Khabarnya, perang Ukraine-Rusia telah memberi kesan kepada jadual pelayaran kertas. Jadi, kertas tak sampai dan tidak mencukupi.
Perang itu belum tamat lagi dan persoalan yang bakal timbul kelak adalah kenaikan harga kertas dan tentunya harga buku. Ia akan mengehadkan pembelian buku bagi setiap individu.
Apakah e-buku menjadi pilihan? Membaca buku fizikal itu, maaf cakap umpama makan menggunakan pinggan kaca sedangkan membaca e-buku seperti makan menggunakan pinggan kertas. Rasa tetap sedap tetapi seronoknya kurang.
Menurut sumber daripada sebuah syarikat e-buku terkenal, jumlah pembaca e-bukunya meningkat dari 200,000 menjadi 700,000 sejak pandemik.
Jika penerbit boleh beralih taktik pemasaran terkini melalui media sosial, mereka harus bersedia untuk menggiatkan jualan e-buku.
Meskipun banyak penerbit telah berbuat demikian, namun banyak juga penerbit yang masih menjual e-buku dengan harga agak tinggi iaitu tidak kurang daripada 30 peratus daripada harga buku fizikal.
Pihak penerbit boleh melihat jualan e-buku sebagai bonus pendapatan. Yang penting, peminat buku terus membeli buku dan industri buku daripada keseluruhannya tetap mempunyai masa depan yang bersinar dan bukannya menjadi sirna akibat pemain industri tidak mahu akur dengan tuntutan pasaran.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca