SHAH ALAM - Tiga kali ditolak oleh keluarga teman lelaki yang tidak menerima status dirinya sebagai anak tidak sah taraf menjadi antara ujian hidup seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nora.
Menurut Nora, 25, tidak mudah baginya berdepan dengan stigma masyarakat memandang hina status diri.
"Masyarakat kita ini seperti talam dua muka. Bila keluar artikel kes buang bayi, ramai yang akan kata budak itu tak bersalah dan sebagainya. Tapi bila budak tersebut dah dewasa, nak berkahwin, mulalah keluar ayat ‘tak sekufu’...anak tak tahu hujung pangkal la, anak tak ada nasab la.
"Saya sendiri, tiga kali kena reject dengan keluarga pihak lelaki sebab status saya. Hina sangat ke saya? Bukan saya yang minta lahir begini. Sampai saya rasa, lebih baik membujang sampai ke tua,” katanya kepada Sinar Harian.
Bercerita lanjut, Nora berkata, dia juga terpaksa berdepan hinaan daripada keluarga angkat yang membesarkannya sejak kecil dan sering dipukul meskipun atas kesalahan kecil ketika remaja.
"Ibu kandung tinggalkan saya kepada ibu angkat A, kemudian saya diserahkan kepada ibu angkat B setelah keluarga angkat asal hadapi masalah kewangan.
"Alhamdulillah, saya dijaga dengan cukup baik, cukup pendidikan dunia dan akhirat. Tapi bila saya meningkat remaja, ibu angkat B dikesan ada penyakit narcissist dan susah untuk mengawal emosinya.
"Saya kerap dipukul dan dihina disebabkan kesalahan kesalahan yang kecil. Bila marah, dia akan sebut ‘dasar anak haram’, ‘perangai macam mak kau’...membuatkan saya rasa sangat sedih,” katanya.
Kata Nora, dia juga menghadapi tekanan ketika zaman persekolahan apabila status dirinya kecoh gara-gara mulut guru sendiri.
"Setiap tahun apabila tengok sijil lahir, (cikgu) mesti tanya kenapa sijil lahir saya tidak ada nama bapa. Bila dah terangkan dan minta untuk cikgu rahsiakan hal ini, esok lusa ramai cikgu tahu status saya.
"Masa zaman dulu, status anak tidak sah taraf bilangannya tidak ramai. Macam rare case. Memang saya malu sangat. Bahkan ada kawan-kawan yang tahu kerana mulut cikgu, saya kerap diejek tidak berbapa, ‘bustar’ dan ‘anak haram’.
"Memang banyak kecaman saya terima termasuk daripada jiran. Zaman remaja saya sangat memenatkan.
"Alhamdulillah, ALLAH SWT kurniakan saya kecerdikan. Apabila menjadi pelajar yang cemerlang, mulut masing-masing terus tidak berbunyi,” katanya.
KES 2
DIBENCI IBU SENDIRI
"Saya bukannya dilahirkan hasil perbuatan zina ibu bapa, tapi kerana emak saya mangsa jenayah rogol. Itu sudah cukup membuatkan saya hidup dalam tekanan kerana dibenci ibu kandung sendiri.”
Itu luahan seorang lelaki berstatus anak tidak sah taraf yang hanya mahu dikenali sebagai Hakim, apabila menceritakan kisah hidupnya ‘dihukum’ masyarakat sekeliling.
Hakim, 29, berkata, walaupun ada yang fikir kehidupan anak tidak sah taraf bagi lelaki tidak sesukar yang dihadapi perempuan, namun dia tetap merasai tempiasnya kerana tiada kasih sayang sebenar daripada ibu sendiri.
"Saya diberitahu ayah meninggal (dunia) sewaktu saya masih bayi.
"Apabila memasuki alam persekolahan, saya lihat orang lain ada ayah. Saya mula rasa terpinggir kerana jiwa kanak-kanak akan rasa sedih bila tengok orang lain ada, tapi kita tak ada."Sebenarnya, sejak kecil saya lebih rapat dengan nenek walaupun tinggal sekali dengan emak,” katanya.
Hakim yang bekerja sebagai pemandu berkata, kehidupannya seperti biasa sehingga dia meningkat remaja dan menjadi pelajar bermasalah ketika di sekolah menengah.
"Saya mula terikut-ikut kawan ponteng sekolah, merokok dan melanggar disiplin sekolah.
"Disebabkan itu, saya sering dimarahi emak dengan kata-kata kesat. Sehinggalah satu hari, emak maki saya dengan perkataan ‘anak haram’ dan ketika itu terbongkar cerita sebenar.
"Barulah saya tahu kenapa sejak kecil emak seperti tidak sayang saya. Emak akhirnya berkahwin tapi tinggalkan saya dengan nenek,” katanya.
Hakim memberitahu, dia kini hidup sendiri setelah neneknya meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Klik di sini untuk terus membaca