WANITA ditipu Love Scam kerugian hampir RM500,000 (30 Mei 2022) Warga emas rugi RM3.9 juta ditipu sindiket Love Scam ( 21 Mac 2022) Ibu tunggal rugi RM225,900 terpedaya dengan Love Scam (18 Mac 2022) Di atas adalah tajuk-tajuk berita... Klik di sini untuk terus membaca

WANITA ditipu Love Scam kerugian hampir RM500,000 (30 Mei 2022)

Warga emas rugi RM3.9 juta ditipu sindiket Love Scam ( 21 Mac 2022)

Ibu tunggal rugi RM225,900 terpedaya dengan Love Scam (18 Mac 2022)

Di atas adalah tajuk-tajuk berita berserta tarikh siarannya mengenai mangsa-mangsa ‘perniagaan kasih sayang’ yang nampaknya telah menjadi sumber ekonomi kepada sebahagian orang dalam dunia baharu ini.

Sebenarnya yang disenaraikan itu hanya tungau di hujung kuku. Menurut kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada 4 Mei tahun lalu, sebanyak 1,535 kes penipuan Love Scam dilaporkan pada 2019 melibatkan kerugian RM79.11 juta.

Jumlah itu meningkat kepada 1,582 kes pada 2020 dengan jumlah kerugian RM58.33 juta. Itu yang dilapor, yang tidak dilaporkan pun mungkin ada.

Dan kes-kes itu tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi di merata pelosok dunia dengan melibatkan kerugian berbilion ringgit setahun.

Kalau di’rupiah’kan mungkin kena guna kalkulator yang berskrin sejengkal untuk mengiranya.

Umum mengetahui yang dikaitkan dengan naluri cinta tak mengenal usia selalunya golongan lelaki. Biar umur sama tua dengan Stadium Merdeka, benih cinta mereka tidak pernah mati. Terjumpa orangnya, kena caranya ia akan segera mekar kembali.

Tidak begitu dengan golongan wanita. Apabila memasuki usia tua, keutamaan mereka lebih kepada anak cucu. Tidak ada lagi keinginan hendak merindu-rinduan dan berkepit-kepitan. Itu yang kita tahu dan diberitahu.

Tetapi dunia baharu dengan segala teknologinya menelanjangkan kebenaran. Ketika anak cucu berbangga emak atau opah mereka pandai menggunakan gajet dan memanfaatkan teknologi, rupa-rupanya amboi, amboi, amboi...

PERNIAGAAN CINTA

Bukan setakat berkasih sayang dengan cinta hatinya di ruang siber, malah siap ‘hantar’ duit lagi. Tak kisah, yang penting disayangi.

Itulah realitinya. Statistik menunjukkan majoriti menjadi mangsa perniagaan cinta ini ialah golongan wanita yang telah berusia. Mereka kebanyakannya ibu tunggal atau balu tetapi ada juga kes-kes terpencil melibatkan nenek-nenek berstatus isteri orang.

Tidak menghairankan kenapa mereka dijadikan sasaran. Peniaga-peniaga cinta di ruang siber itu tahu wanita berusia selalunya mempunyai kehidupan lebih stabil sebab sifat wanita itu sendiri sentiasa beringat untuk hari tua. Jadi, kalau tak makan pencen pun, mereka sekurang-kurangnya mempunyai simpanan.

Yang peliknya, kenapa mereka mudah terjebak? Adakah kesibukan anak cucu mengejar kehidupan menyebabkan mereka terasa terabai dan kesepian? Atau mungkinkah sifat wanita memang selamanya begitu, mahu dibelai dan dipujuk rayu tetapi disebabkan sifat malunya, perasaan itu kekal terpendam.

Apabila muncul teknologi yang membolehkan orang saling berhubung dengan mudah, maka ruang untuk melampiaskan perasaan itu terbuka, lalu mereka menggunakannya.

Lebih membingungkan lagi, tidakkah mereka belajar daripada kes-kes sebelumnya yang sentiasa mendapat liputan meluas setiap kali ia berlaku? Kebanyakan mereka bukannya calang-calang. Pesara kerajaan, peguam, akauntan, semuanya ada. Tapi yelah, bukankah cinta itu buta...

Jadi sebelum mereka menjadi ‘buta’, kita yang berstatus anak cucu ini mungkin perlu berbuat sesuatu. Kalau boleh jangan biarkan mereka kesepian. Rajin-rajinlah melayan.

Pada masa sama, rajin-rajin periksa gajet yang sering mereka guna. Usahakan juga untuk memeriksa akaun bank mereka dari masa ke masa. Pendek kata, jaga mereka sama macam mereka menjaga kita dahulu.

Itu pun kalau tahan kena bebel lah...#dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 akan menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca