SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk memperkenalkan harga siling bergerak yang bergantung kepada harga input bagi barangan makanan akan mewujudkan situasi menang-menang antara pengguna dan peniaga.
Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, menerusi langkah tersebut, pengguna akan dapat manfaat kerana peniaga tidak boleh mengambil untung berlebihan ataupun mengeksploitasi pengguna.
Menurutnya, peniaga pula mendapat manfaat dari segi penetapan harga siling yang mengambil kira kos input bagi pengeluaran bahan makanan berkenaan.
"Sebelum ini kerajaan mengenakan harga siling tanpa mengambil kira kos input. Jadi walaupun harga input naik, harga siling yang ditetapkan tidak selari dengan kos input dan adakalanya lebih rendah daripada kos input itu sendiri.
"Misalnya harga siling ayam adalah RM8.90 sekilogram tetapi kalau kos inputnya hampir RM10 sekilogram, itu yang menyebabkan peruncit kata mustahil untuk mereka menjual ayam pada harga siling tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin bahawa harga siling bergerak berubah kepada faktor harga input akan diperkenalkan kerajaan.
Menurutnya, langkah itu seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan yang memerlukan seperti yang diumumkan sebelum ini.
Mengulas lanjut, Barjoyai menegaskan, menerusi pengenalan harga siling bergerak itu kerajaan mahu berlaku adil kepada semua peniaga dengan mengambil kira kos input.
Katanya, dalam konteks itu turun naik harga siling akan bergantung kepada kos input.
"Dari kos input itu akan ditentukan margin yang sesuai untuk penternak, pemborong dan peruncit seterusnya ditetapkan harga siling.
"Langkah ini akan menjamin penternak, pemborong dan peruncit tidak mengambil untung berlebihan tetapi ia tidak menjamin bahawa harga ayam atau barang lain akan turun kerana akhirnya ia akan bergantung kepada kos input,” jelas beliau.
Justeru itu, Barjoyai berkata, penyaluran subsidi secara terus kepada pengguna dapat membantu sekiranya kos input bahan makanan meningkat.
Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu memikirkan cara untuk mengurangkan kos input pengeluaran makanan terutamanya memikirkan pengganti kepada bahan asas makanan ternakan.
"Contohnya untuk menurunkan kos input menternak ayam, jagung dan kacang soya yang diimport boleh digantikan dengan input dalam negeri seperti gunakan pelepah dan hampas kelapa sawit dan hampas kelapa.
"Ia boleh menggantikan sebahagian besar daripada input dan kosnya akan jadi jauh lebih rendah,” ujarnya.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan dapat menurunkan kos barang makanan, ia boleh mengurangkan kos sara hidup rakyat kerana ketika ini lebih 40 peratus perbelanjaan isi rumah adalah kos barang makanan.
Klik di sini untuk terus membaca