SHAH ALAM - Anak tidak sah taraf (ATST) di negara ini mula berdepan dengan cabaran krisis identiti seawal usia remaja.
Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, golongan itu akan mula mempersoalkan status dirinya dalam keluarga hingga timbul konflik dari segi psikologi.
"Apabila memasuki alam remaja, mereka mula mempersoalkan status diri. Betulkah ini emak dan ayah aku?
"Jadi, dari situ akan timbul konflik psikologi hingga berlaku krisis identiti yang memberi kesan dari segi sikap. Misalnya, jika sebelum ini dia seorang anak yang ceria, dia akan jadi introvert, banyak memendam dan menyimpan rasa, kemudian jadi murung.
"Di usia ini, mereka mula memberontak dan akan banyak bertanya kepada ibunya mengenai status diri,” katanya kepada Sinar Harian.
Hushim berkata, lebih parah, pada usia sebegitu anak-anak tersebut akan mula berfikir secara pemikiran kritikal hingga membawa kepada overthinking (terlalu berfikir), seterusnya mengganggu emosi dan mental.
Ujarnya, akibat terlalu berfikir itu akan menimbulkan pelbagai persoalan di mindanya sehingga terjadinya konflik identiti.
"Mereka akan mengalami situasi sukar untuk fokus terhadap sesuatu perkara, tidak gembira, ingin lari rumah dan ada yang sampai ke tahap nak bunuh diri,” jelas beliau.
Justeru, beliau berkata, ibu bapa wajib membawa anak berkenaan berjumpa dengan kaunselor untuk mengharmonikan situasi.
"Kebanyakan ibu bapa rasa malu, aib dan tidak mahu anak mereka tahu akan kebenaran. Ada sesetengah ibu bapa yang tunggu anak nak berumah tangga, baru diberitahu. Sepatutnya dimaklumkan dari awal lagi.
"Mereka perlu diberikan kaunseling untuk memulihkan semula emosi agar ia tidak menjejaskan masa depan,” ujarnya.
IKTIRAF KEWARGANEGARAAN
Kerajaan diharap dapat mengiktiraf kewarganegaraan anak tidak sah taraf (ATST) yang berada di negara ini.
Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jerald Joseph berkata, langkah itu agar dapat memudahkan urusan anak-anak tersebut ketika dewasa kelak apabila mempunyai kerakyatan.
"Sekarang, kalau anak luar nikah, ayah orang Malaysia dan ibu bukan orang Malaysia, anak tidak boleh dapat kewarganegaraan. Itu amat menjadi masalah. Namun kalau sebaliknya, anak dapat kewarganegaraan.
"Dari segi pemahaman hak asasi manusia, apa-apa keputusan demi kebaikan yang paling baik untuk anak itu sepatutnya diambil maklum,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada tahun 2021, media melaporkan terdapat anak luar nikah gagal untuk mendapat kerakyatan Malaysia walaupun bapa kandungnya merupakan rakyat tempatan.
Perkara itu dimuktamadkan oleh panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang mencapai keputusan majoriti tipis 4-3 ketika menolak rayuan akhir kanak-kanak tersebut dan bapanya.
Mengulas lanjut, Jerald berkata, perkara berkenaan perlu disegerakan agar anak tidak sah taraf itu mempunyai dokumen rasmi seperti kad pengenalan dan sijil lahir demi masa hadapan mereka.
"Kalau mereka tiada dokumen seperti sijil lahir dan kad pengenalan, ia akan menyusahkan anak-anak tersebut untuk masuk ke sekolah dan sebagainya. Jadi, bagaimana mereka ingin menuntut ilmu,” ujarnya.
Jelas Jerald, kerajaan seharusnya memudahkan urusan dalam mendapatkan taraf kewarganegaraan seseorang anak tidak sah taraf tersebut.
"Sepatutnya, kita harus mencari cara yang lebih baik. Jangan sekat. Cari cara untuk memberi mereka peluang. Kalau terpaksa kahwinkan mereka pun, tidak mengapa.
"Kalau ada kesangsian, itu boleh dicabar. Tapi kalau memang betul antara ibu dan bapa adalah warganegara, apa salahnya untuk kita iktiraf anak ini.
"Ini semua adalah bagi memastikan kehidupan anak ini terbela,” katanya.
KOS PENJAGAAN ATST TINGGI
Dalam pada itu, rumah kebajikan terpaksa menanggung kos penjagaan yang tinggi buat anak tidak sah taraf (ATST) kerana mereka bukan dikategorikan sebagai warga Malaysia.
Presiden Pusat Perlindungan Pertubuhan Kebajikan Nur Hati, Mohamad Zaid Mohamad Shah berkata, golongan itu berdepan kesukaran untuk memperoleh dokumen pengenalan diri yang sah.
"ATST yang lahir di Malaysia tidak mendapat dokumen warganegara dan disebabkan itu kos hospital dan persekolahan mereka lebih tinggi.
"Ada juga yang diserahkan kepada kami oleh pihak berwajib, namun dokumen tidak selesai atau tidak ada dokumen langsung. Jadi, kos penjagaan mereka akan meningkat kerana mereka bukan dikategorikan sebagai warganegara Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, mengulas mengenai seramai 25 ATST yang dijaga di rumah kebajikan tersebut pada masa ini, Mohamad Zaid berkata, sebahagian kanak-kanak yang diserahkan di situ adalah kerana ibu bapa sendiri mengaku tidak mampu untuk menjaganya.
Selain itu, katanya, kebanyakan kanak-kanak berkenaan dihantar oleh ibu muda atau golongan remaja yang belum bernikah serta tidak mempunyai hala tuju.
"Ada yang ditinggalkan kekasih, dibuang keluarga kerana malu dan tidak mahu jiran atau keluarga tahu. Malah, ada yang tidak mempunyai keluarga dan tidak bekerja.
"Jadi, kami bantu dari segi memberi penempatan, perlindungan dan menjaga kebajikan kanak-kanak ini dari usia bayi sehingga 18 tahun,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca