SHAH ALAM - Anak tidak sah taraf (ATST) berdepan pelbagai kekangan dalam hidup antaranya perkara berkaitan pernikahan, perwalian, nafkah serta pewarisan harta pusaka. Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Anak tidak sah taraf (ATST) berdepan pelbagai kekangan dalam hidup antaranya perkara berkaitan pernikahan, perwalian, nafkah serta pewarisan harta pusaka.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, perkara itu berlaku kerana kedudukan ATST tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya mengikut hukum syarak, walaupun lelaki itu mahu bertanggungjawab terhadap anak tersebut.

"ATST perempuan perlu memohon kebenaran daripada Mahkamah Syariah untuk bernikah secara wali hakim. Setelah dibenarkan, barulah anak tersebut boleh bernikah menggunakan wali hakim.

"Jika bapa biologi mewalikan pernikahan sedangkan wanita itu adalah ATST, pernikahan itu boleh jadi tidak sah (fasid) dan boleh difaraqkan.

"Dari segi nafkah pula, bapa biologi tidak bertanggungan untuk membayar nafkah kerana anak itu dinasabkan kepada ibunya mengikut Seksyen 80 Akta 303,” katanya kepada Sinar Harian.

Musa

Musa berkata, ATST juga perlu memahami batasan aurat antara bapa biologi dengan bapa nasab.

Dari segi perwarisan harta pula, Musa menjelaskan, ATST dan bapa biologi tidak boleh mewarisi antara satu sama lain.

"Jika bapa meninggal dunia, ATST tidak tersenarai dalam waris-waris kepada bapa. Begitu juga jika anak itu yang meninggal dunia, bapa biologi bukan waris ATST kerana kedudukannya sebagai seorang yang tidak mempunyai wali nasab lelaki.

"Dari segi dokumentasi pernikahan, ATST lelaki tidak mempunyai kesukaran berbanding wanita. Begitu juga dari aspek pekerjaan, dokumentasi untuk pinjaman bank atau memiliki aset, tidak menjadi masalah kepada golongan ini,” ujarnya.

Musa mengingatkan masyarakat supaya mempunyai pengetahuan luas mengenai kedudukan ATST kerana kebanyakannya bermula daripada isu pernikahan pasangan.

"Ada yang memilih atau terpedaya dengan pihak tertentu dengan mengambil jalan singkat bernikah secara sindiket, di tempat yang tidak diiktiraf termasuk luar negara yang akhirnya membawa kepada pernikahan tidak berdaftar atau tidak sah.

"Jadi elakkan mengambil jalan singkat yang boleh menyusahkan di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang berhadapan dengan isu tersebut, boleh mendapatkan nasihat daripada Jabatan Agama Islam di tempat masing-masing.

Mereka yang mahu mendapatkan konsultasi berhubung isu ATST, boleh menghubungi PGSM melalui WhatsApp 011-3701-9155 atau laman web pgsm.org.my.3

ATST perempuan perlu memohon kebenaran daripada Mahkamah Syariah untuk bernikah secara wali hakim. Setelah dibenarkan, barulah anak tersebut boleh bernikah menggunakan wali hakim. (Gambar hiasan) - Foto 123RF

BENARKAN NAMA BAPA KANDUNG

Sementara itu, Sisters In Islam (SIS) meminta kerajaan supaya membenarkan anak tidak sah taraf (ATST) dibinkan dengan nama bapa kandung.

Pegawai komunikasinya, Aleza Othman bagaimanapun berkata, ia perlu dengan persetujuan bapa kandung berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan harus lebih peka terhadap masalah dihadapi kumpulan itu dan mengkaji semula fatwa berkaitan isu tersebut berdasarkan kepada undang-undang di Malaysia.

Menurutnya, selain berhadapan dengan perspektif negatif masyarakat, golongan ATST turut berhadapan pelbagai isu, antaranya ketika proses memulakan persekolahan, pendaftaran kad pengenalan dan pernikahan.

"Di Malaysia, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 telah mengatakan bahawa seorang bapa boleh meletakkan namanya terhadap sijil lahir anaknya melalui permintaan bersama kedua ibu bapanya.

"Oleh itu, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seharusnya mengikut undang-undang yang telah termaktub dalam akta tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Klik di sini untuk terus membaca