JEPUN merupakan negara di Asia dengan makanan rujinya ialah nasi manakala pertanian padi basah telah diperkenalkan dari China dan Korea kira-kira 2,500 hingga 3,000 tahun dahulu. Beras juga pernah dijadikan sebagai mata wang di negara berkenaan.
Kanak-kanak secara tradisinya diberitahu bahawa beras yang mereka makan ditanam oleh para petani yang bekerja keras dan tidak ada satu biji pun yang harus dibazirkan.
Namun disebabkan oleh Perang Ukraine, pengeluaran padi di negara itu kemungkinan menurun berbanding pada tahun-tahun lalu.
Penggunaan beras di Jepun juga menurun sejak tahun 1962 dengan kawasan dituai untuk penanaman beras bagi tahun 2022 hingga 2023 semakin merosot berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Trend itu berlaku disebabkan oleh perubahan dalam tabiat pemakanan dan populasi yang semakin berkurangan.
Pada tahun fizikal 2020, jumlah penggunaan beras sebagai makanan ruji di negara berkenaan kurang daripada 50 kilogram setiap orang yang dianggap rendah.
Walaupun beras adalah salah satu bijirin paling penting digunakan di Jepun, penggunaannya semakin menurun kerana masakan asing berasaskan tepung gandum semakin popular dalam kalangan pengguna.
Bagaimanapun, para petani di Jepun bertindak menurunkan pengeluaran beras dan melabur dalam gandum serta kacang soya sebagai tindak balas kepada harga tinggi di peringkat global yang disebabkan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan perubahan trend pemakanan yang berterusan, menurut tinjauan Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan negara itu.
Permintaan untuk gandum dan soya kekal kukuh, namun Jepun mengimport sebanyak 80 peratus daripada gandum dan 90 peratus daripada kacang soya yang digunakannya dan harga komoditi tersebut secara global telah meningkat dengan mendadak sejak permulaan krisis di Ukraine.
Setakat April lalu, sebanyak 37 daripada 47 wilayah di Jepun akan mengurangkan keluasan kawasan penanaman padi yang digunakan untuk memasak daripada tahun sebelumnya, menurut pendedahan itu selepas ia didedahkan baru-baru ini dengan memberitahu sebanyak 27 buah wilayah merancang untuk mengembangkan pengeluaran gandum manakala 30 lagi akan meningkatkan tanaman kacang soya.
Kementerian itu menganggarkan jumlah kawasan yang dikhaskan untuk menanam padi yang digunakan untuk memasak di negara berkenaan akan berkurangan sebanyak 35,000 hektar.
Menurut Perkhidmatan Pertanian Asing (FAS) Tokyo pula meramalkan bagi tahun pemasaran 2022/2023, kawasan yang dituai untuk beras akan menjadi 1.51 juta hektar iaitu menurun 10,000 hektar dari tahun 2021/2022 manakala pengeluaran menjadi 7.55 juta tan dengan penurunan sebanyak 90,000 tan.
Pengeluaran gandum pula diunjurkan oleh FAS Tokyo akan mencecah 1.15 juta tan pada tahun pemasaran 2022/2023 manakala pengeluaran kacang soya dijangka sebanyak 232,000 tan.
IMPAK ANIME JEPUN
Isu penurunan pengguna beras tersebut turut dibangkitkan oleh kerajaan wilayah Niigata dengan menyalahkan satu watak dalam anime Jepun iaitu komik khas Jepun selepas ia mengkaji sama ada terdapat dalam budaya negara berkenaan yang menjelaskan punca kepada masalah penurunan penggunaan beras.
Kerajaan negeri itu mengaitkan watak gadis yang berlari dengan roti bakar di mulutnya dalam komik khas Jepun itu telah menyebabkan golongan muda mengaitkan sarapan pada waktu pagi dengan sarapan roti yang diperbuat daripada gandum sebagai penurunan penggunaan beras.
Sehubungan itu, kerajaan wilayah Niigata yang merupakan kawasan pengeluar padi terbesar di Jepun melancarkan kempen bagi mempromosikan penggunaan beras dan salah satu video yang disiarkan pada 24 Januari lalu menunjukkan seorang aktres, Manami Igashira sebagai pelajar berlari ke sekolah dengan mulutnya menggenggam bebola beras.
Iklan itu telah menjadi tular dan ia digunakan untuk menyaingi komik yang menunjukkan watak gadis tersebut berlari dengan roti bakar terdapat dalam mulutnya.
Selain kerajaan wilayah Jepun yang mempertahankan penggunaan beras, terdapat juga pembela tanaman beras di negara itu seperti bekas Perdana Menteri, Taro Aso.
Beliau percaya bahawa pemanasan global telah meningkatkan kualiti beras di Jepun ketika berucap pada Oktober tahun lalu di bandar raya Otaru, di Hokkaido untuk calon Parti Demokratik Liberal, Aso dengan menyatakan bahawa nasi di pulau Hokkaido menjadi lebih enak kerana pemanasan global.
Justeru, adakah Perang Ukraine yang meletus pada 24 Februari lalu akan memberikan kesan kepada penurunan lebih teruk penggunaan beras di negara tersebut? - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca