SHAH ALAM - Industri perfileman negara perlu mendapat pertolongan daripada kerajaan bagi membolehkan ia berjaya seperti Korea Selatan. Pengarah filem, U-Wei Saari bagaimanapun berkata, kerajaan harus mengetahui siapakah pemain industri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Industri perfileman negara perlu mendapat pertolongan daripada kerajaan bagi membolehkan ia berjaya seperti Korea Selatan.

Pengarah filem, U-Wei Saari bagaimanapun berkata, kerajaan harus mengetahui siapakah pemain industri perfileman yang sebenar.

"Kerajaan harus ada 'antena' bagi mengetahui siapa dia pemain (industri perfileman) yang sebenar.

"Sebab dalam bidang (perfileman) ini banyak 'nabi palsu'. Dia (kerajaan) kena tahu siapa pembikin filem yang benar-benar pembikin filem," katanya dalam Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

U-Wei bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai siapa 'nabi palsu' yang dimaksudkan olehnya semasa wawancara berkenaan.

Johan terdahulu bertanyakan kepada U-Wei mengenai mengapa negara ini tidak berjaya seperti Korea Selatan dalam industri kandungan kreatif.

Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dengan Pengarah Filem dan Artis, U-Wei Saari yang diadakan di Kumpulan Karangkraf. FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB.

U-Wei atau nama sebenarnya Zuhir turut menyifatkan sokongan yang diberikan oleh kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan institusi perbankan terhadap pembuatan filem masih lagi belum memadai.

Beliau yang popular menerusi pengarahan filem seperti Jogho dan Hanyut menegaskan, sokongan yang diberikan oleh kerajaan seharusnya adalah secara total.

"Kita mesti percaya kepada pembikin filem filem. Pembikin filem yang benar dia akan membuat filem, akan menyudahkannya, komited dan berdisiplin," ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai aktiviti yang kini sedang dilakukannya, U-Wei berkata, beliau kini menumpukan kepada penulisan esei, pementasan dan filem.

U-Wei turut menyatakan bahawa beliau mahu 'membuat semula' filem Dendam Dari Pusara arahan Datuk Ahmad Mahmood yang ditayangkan pada tahun 1983.

"Salah satu idaman (dan) impian saya untuk membuat semula filem. Sebelum ini, saya belum pernah membuat semula filem," jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca