SHAH ALAM - Pengarah filem, U-Wei Saari mengakui tergores selepas filem Hanyut yang ditayangkan pada 2016 gagal menambat hati penonton walaupun dilabel antara karya termahal dalam sejarah filem negara. Bagaimanapun, beliau pasrah dengan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengarah filem, U-Wei Saari mengakui tergores selepas filem Hanyut yang ditayangkan pada 2016 gagal menambat hati penonton walaupun dilabel antara karya termahal dalam sejarah filem negara.

Bagaimanapun, beliau pasrah dengan situasi tersebut sedangkan filem itu mempunyai kualiti pengisian yang tersendiri.

"Saya tergores namun pasrah dengan apa yang berlaku. Saya melihatnya daripada sudut positif dan saya menghiburkan hati mengatakan bahawa karya filem ini mempunyai jadualnya yang tersendiri," katanya dalam Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Filem Hanyut yang memulakan penggambaran pada 2010 dan siap pada 2012 diadaptasi daripada novel Almayer's Folly tulisan Joseph Conrad dilaporkan menelan belanja sehingga RM18 juta.

Jatuh dalam kategori antara filem termahal di Malaysia, namun karya tersebut tidak dapat menarik perhatian rakyat di negara ini dan hanya dapat ditayangkan pada 2016 akibat beberapa masalah.

Hanyut telah menjelajah ke festival-festival filem antarabangsa antaranya Festival Filem Asia Tenggara di Singapura, Festival Filem Asia di Canberra, dan Festival Filem Asia Jogja-Netpac kelapan.

Selain itu, ia turut ditayangkan sebagai filem penutup di Five Flavours Festival ketujuh di Warsaw Poland dan turut menerima pencalonan Lakon Layar Terbaik di Anugerah Skrin Asia Pasifik di Brisbane, Australia.

Hanyut juga terlebih dahulu ditayangkan di Indonesia pada 2014 dengan tajuk 'Gunung Emas Almayer' dan telah mendapat respon yang amat memberangsangkan daripada penonton di negara itu.

Beliau menjelaskan memilih untuk mengadaptasi filem itu kerana tertarik dengan tema keterasingan selain sudut pandang penulis buku tersebut tentang Malaya.

"Conrad agak adil dalam menilai Malaya atau Gugusan Melayu berbanding penulis-penulis barat lain yang bermentaliti Kolonialisme," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca