SHAH ALAM - Seorang pendakwah, Wan Akashah Wan Abdul Hamid menzahirkan kebimbangan terhadap trend pengamal perubatan menggunakan nama Islam mempertontonkan proses rawatan secara langsung atau menerusi rakaman video di media sosial yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pendakwah, Wan Akashah Wan Abdul Hamid menzahirkan kebimbangan terhadap trend pengamal perubatan menggunakan nama Islam mempertontonkan proses rawatan secara langsung atau menerusi rakaman video di media sosial yang semakin berleluasa termasuk yang memaparkan adegan memanggil jin.

Beliau berkata, sekiranya trend baharu itu tidak dikawal ia dikhuatiri mencemarkan agama apabila kaedah rawatan itu disalah tafsir oleh masyarakat umum.

Malah, tegasnya, trend baharu itu juga melanggar etika dan adab perubatan Islam kerana mendedahkan aib pesakit.

"Proses rawatan secara ‘live’ atau rakaman videonya dimuat naik di media sosial ini boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Ini kerana tak semua masyarakat terutama generasi muda memahami perkara yang ‘tidak nampak di mata’ dan akan mendorong mereka membuat pelbagai andaian terhadap perubatan Islam itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Wan Akashah menegaskan, ilmu tentang perubatan Islam hanya diketahui oleh mereka yang mengamalkannya, mempelajari dan membaca tentangnya serta tidak wajar proses rawatan dipertontonkan kepada umum.

"Apabila rawatan ini diperlihatkan di media sosial, akan timbul banyak perkara negatif kerana kadangkala netizen mengulas perkara itu bukan berdasarkan ilmu dan fakta jadi akhirnya nama agama tercemar.

"Selain itu, trend sebegini juga boleh mengaibkan pesakit kerana ada pesakit yang tidak suka atau reda dengan apa yang didedahkan serta kalau boleh mereka nak rahsiakan sakit mereka daripada pengetahuan umum,” jelasnya.

Justeru itu, beliau menasihatkan pengamal perubatan agar tidak mempertontonkan kandungan sensitif sebegitu di media sosial bagi mengelakkan timbul fitnah terhadap agama dan kekeliruan dalam masyarakat kerana perkara itu seharusnya dirahsiakan.

Menurutnya, pengamal perubatan perlu menetapkan niat melakukan rawatan semata-mata kerana ALLAH SWT kerana niat yang baik dapat mengelakkan berlaku perkara buruk yang menjejaskan Islam.

"Kalau mahu mempromosikan rawatan mereka di media sosial sebab mengikut trend semasa, janganlah mendedahkan rawatan secara terbuka,” ujarnya.

Bagi mengelakkan trend itu terus berleluasa, Wan Akashah turut menggesa pihak berkuasa agama terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri memantau trend itu dan mengambil tindakan bagi mengelakkan perkara berkenaan terus berleluasa.

RAWATAN JARAK JAUH ADA RIBUAN PENGIKUT

Dalam pada itu, perkhidmatan perubatan yang menggunakan media sosial bagi melakukan kaedah rawatan imbas pesakit dari jarak jauh semakin mendapat permintaan daripada orang ramai.

Tinjauan Sinar Harian melalui platform media sosial seperti Facebook dan TikTok mendapati bahawa kebanyakan perkongsian mengenai langkah perubatan itu meliputi ilmu perlindungan serta kaedah rawatan daripada sihir, saka, santau dan gangguan jin.

Ada di antara pengamal perubatan itu yang turut memaparkan proses rawatan tersebut secara 'live' termasuk adegan memanggil jin ketika merawat atau memulihkan pesakit daripada gangguan makhluk ghaib.

Kebanyakan halaman mereka telah aktif sejak 2019 lagi dan memiliki antara 200 hingga lebih 600,000 pengikut di media sosial.

Pihak yang menawarkan khidmat perubatan seperti itu kebiasaannya akan melakukan secara langsung dalam media sosial bagi membolehkan mereka berinteraksi dengan orang ramai serta mangsa yang terkena gangguan.

Ia secara langsung membolehkan orang ramai melihat kaedah rawatan yang dijalankan serta dapat meminta nasihat daripada pihak tersebut.

Proses rawatan itu boleh dijalankan sama ada secara video atau panggilan suara menggunakan aplikasi dalam talian seperti Zoom dan Whatsapp.

Ada pengamal yang menyiarkan adegan ritual memanggil makhluk halus atau jin menerusi siaran di media sosial.

Ritual itu menyebut nama ALLAH SWT bagi menyeru jin masuk dalam badan.

Dalam pada itu terdapat juga pengamal yang berkongsikan lukisan rupa bentuk jin dalam media sosial yang mana dia mendakwa bahawa jin berkenaan mengganggu sesetengah orang sehingga menyebabkan mereka menghadapi penyakit.

Para pengikut di Facebook pula percaya dengan apa dipertontonkan antaranya Has Sha berkata, hubungan dia dengan seseorang semakin renggang dengan tiba-tiba tanpa sebab dan ada ‘gangguan’.

Seorang lagi pengikut, Mohamed bertanya mengenai cara untuk memeriksa gangguan jin dalam rumah tangga.

Klik di sini untuk terus membaca