PERLUKAH Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal tanpa menunggu pembubaran automatik Parlimen pada 16 Julai 2023? Ini sudah menjadi polemik tuduh-menuduh antara parti-parti politik pasal siapa takut kalah. Tetapi apakah pertimbangan berprinsipnya?
PRU awal (sebelum pembubaran automatik) telah menjadi konvensi di Malaysia sejak 1959 sehingga mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjawatan pertamanya (1981-2003) mengambil sikap bergurau terhadap isu ini ‘saya menunggu inspirasi’, seolah-olah jadual kerja rakyat lebih 20 juta bergantung kepada gerak hati seorang insan.
PRU awal mempunyai dua kemudaratan.
Pertama, ia menambahkan kekerapan PRU dan memendekkan tempoh kerajaan. Ini pengiraan mudah: kita cuma akan ada empat PRU dalam masa 20 tahun kalau kerajaan bertahan lima tahun, tetapi lima PRU jika kerajaan bertahan empat tahun. Sudah tentu lebih banyak wang, tenaga dan masa – bukan saja orang politik, tetapi juga kakitangan kerajaan dan rakyat jelata – diambil.
Kedua, kalau PRU awal ini berlaku secara ‘menyerbu’, ala ‘inspirasi’ Tun M, maka seluruh rakyat – daripada polis dan guru yang ingin bercuti sampai pelabur yang mahu membuka kilang – tidak dapat buat mengaturcarakan jadual mereka secara bebas kerana faktor ketidaktentuan.
Maka, mengapa demokrasi berparlimen perlu membenarkan PRU awal? Jawapannya, PRU awal itu satu ‘kemudaratan perlu’ (necessary evil) dalam demokrasi berparlimen. Ini kerana Parlimen mungkin kehilangan kepercayaan kepada Perdana Menteri (PM), dan PRU adalah cara penyelesaian kalau Parlimen tidak dapat mencapai sepakat untuk melantik PM baru yang dapat kepercayaan majoriti.
PRU awal tanpa PM kehilangan kepercayaan sebenarnya ialah satu bentuk penyalahgunaan kuasa penyandang asal.
Apabila kerajaan sedia ada boleh memendekkan tempohnya untuk mendapatkan mandat baru, ini ibarat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang dilantik atas kontrak berpenggal meletak jawatan pada saat syarikat paling bergantung kepadanya untuk mendapatkan kontrak baru yang lebih lumayan.
PRU TERPERANJAT
Demi kestabilan dan ketentuan politik, PRU awal harus dibenarkan hanya sebagai kekecualian, bukan kuasa budi bicara PM. Tarikh PRU tidak harus ditentukan atas peluang kemenangan parti pemerintah atau pembangkang, apatah lagi secara ‘menyerbu’.
Ini sebab PRU awal atau terperanjat tidak lagi berlaku di sesetengah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Parlimen Jerman berlangsung antara 36-48 bulan dan PRU berlaku pada penghujung September setiap empat tahun sejak 1998.
Parlimen New Zealand berlangsung setiap tiga tahun dan PRU berlaku pada September-November setiap tiga tahun sejak 2005.
Untuk mengelakkan PRU ‘menyerbu’, Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda dengan membenarkan permohonan pembubaran awal hanya dalam dua keadaan: PM kehilangan kepercayaan [sudah termaktub dalam Perkara 43(4)] atau atas usul disokong dengan majoriti dua pertiga, yakni apabila terdapat muafakat rentas parti untuk PRU baru.
Ini langsung tidak menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk tidak beri perkenan di bawah Perkara 40(2). Ia cuma menyekat kuasa PM untuk mengadakan PRU mengikut ‘inspirasi’.
Daripada membela kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sampai hujung penggal dan kelihatan oportunis, beranikah menteri-menteri, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) utarakan ‘Parlimen Penggal Tetap’ secara berprinsip.
*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Klik di sini untuk terus membaca