SAYA harus memulakan kolum ini dengan mengucapkan syabas dan tahniah kepada rakan lama, Mohd Khir Ngadiron, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan pasukan beliau atas penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun ini yang sangat meriah dan hebat.
Sudah agak lama saya tidak merasai suasana seperti mana yang saya alami ketika melawat PBAKL baru-baru ini. Kali terakhir mungkin lebih 25 tahun lalu ketika saya hadir di Pesta Buku Frankfurt yang memang terkenal sebagai pesta buku terbesar di dunia.
Kalau suasana meriah di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada minggu lalu boleh dijadikan ukuran, kita masih mempunyai harapan sebagai sebuah negara yang membangun. Harapan untuk melihat generasi muda hari ini yang akan terus memupuk minat tinggi untuk membaca.
Harapan untuk melihat ibu bapa hari ini akan terus sanggup mengorbankan duit demi ilmu untuk anak-anak mereka dan harapan melihat industri penerbitan kita kembali gemilang, kedai-kedai buku kembali terang bercahaya dan perpustakaan kita dipenuhi dengan pengunjung.
Saya harap harapan ni tidak tinggal harapan. Usaha Majlis Buku Kebangsaan Malaysia ini harus disambut oleh semua pihak. Kita perlu adakan pesta buku kecil-kecilan di setiap pekan dalam negara kita.
Setiap perpustakaan awam negeri perlu gerakkan setiap perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak untuk dimobilisasikan sepenuhnya agar semangat membaca ini tidak hanya timbul setahun sekali di PBAKL tetapi terus hidup mekar sebagai satu budaya dan resam rakyat negara ini.
Bagi rakyat di kampung yang tidak mampu datang ke PBAKL, apatah lagi untuk berbelanja membeli buku, di sinilah peranan perpustakaan awam negeri untuk mengagihkan buku-buku baharu yang dibeli untuk bacaan rakyat di seluruh negara.
Kalau perpustakaan desa kurang dana untuk membeli buku, mungkin masanya untuk pusat-pusat pungutan zakat boleh menggunakan hasil kutipan zakat untuk membeli buku buat bacaan asnaf.
Saya tidak pasti dari sudut hukumnya menggunakan wang zakat untuk membeli buku bagi kegunaan dan bacaan golongan asnaf yang disimpan di perpustakaan. Tetapi saya pasti ini akan menjadi asnaf Fisabilillah yang manfaatnya bukan sekadar asnaf fakir miskin sahaja.
Kita sedar bahawa membaca itu satu amalan yang mulia dan dituntut di dalam agama. Melalui amalan membaca kita akan memperoleh ilmu. Menuntut ilmu itu adalah satu kefarduan bagi setiap Muslim.
KEMPEN BERMUSIM
Masa seperti ini kita perlu fikir semula konsep kebajikan dalam Islam melalui zakat, wakaf, infak dan sedekah. Inilah masanya untuk kita galakkan mereka yang mempunyai banyak buku untuk diwakafkan kepada perpustakaan buat bacaan orang awam.
Orang yang ada duit pula digalakkan untuk menginfak dan memberi sedekah dalam bentuk buku kepada yang memerlukan. Yang penting semua pihak memainkan peranan agar budaya membaca dalam kalangan rakyat terus berkembang.
Kempen membaca, tidak kira sama ada membaca buku atau al-Quran jangan hanya dibuat secara bermusim sahaja. Ia harus dilaksanakan secara berterusan.
Minat membaca dalam kalangan rakyat akan membantu menghidupkan industri penerbitan negara. Secara tidak langsung ia juga akan menggalakkan penulis untuk berkarya tidak kira apa genrenya. Yang penting kita dapat melihat rakyat negara ini mempunyai minat untuk membaca.
Kalau dulu kita merasa sedih apabila dilaporkan bahawa rakyat Malaysia hanya membaca separuh muka surat setahun. Hari ini kita boleh berbangga kerana kita dapat melihat peningkatan daripada kajian Perpustakaan Negara Malaysia tahun 2005 yang mendapati rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun kepada 15 naskhah setahun dalam kajian 2014.
Saya pasti kalau ada kajian terkini jumlahnya akan lebih daripada 15 naskhah namun kita masih jauh untuk sebaris dengan negara maju di mana purata rakyat mereka membaca 40 naskhah setahun.
Apapun, ini adalah permulaan yang baik. Momentum yang dimulakan di PBAKL 2022 ini harus diteruskan. Aktiviti seperti diskusi buku, bincang buku atau kupasan buku yang diadakan di pelbagai sudut dan reruai PBAKL boleh diteruskan di perpustakaan-perpustakaan negeri.
Saya berharap sahabat-sahabat saya Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Negeri akan mendapat sokongan daripada Majlis Buku Kebangsaan Negara dan juga Perpustakaan Negara Malaysia untuk mereka merealisasikan Dasar Galakan Membaca Negara di peringkat negeri.
Mungkin juga semua pihak ini dan pihak berkepentingan lain dapat duduk bersama membincangkan keperluan mengemaskini dasar galakan membaca kebangsaan yang diperuntukkan dalam Akta Perpustakaan Negara (Pindaan) 1987 supaya ia lebih terkini dengan teknologi dan perkembangan semasa.
Semoga Malaysia satu hari nanti akan menjadi sebuah negara dengan rakyatnya yang mempunyai minat membaca yang tinggi setanding dengan negara-negara maju.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca