LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebagai sebuah badan berkanun memiliki aset yang sangat besar di seluruh negara.
Aset yang dimaksudkan ini ialah pemilikan tanah luas yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat dan negara.
Sebab itulah apabila negara berhadapan dengan krisis sekuriti makanan dan kenaikan harga makanan, agensi seperti Felda yang sepatutnya menjadi agensi paling ke hadapan dalam membantu menyelesaikan isu ini.
Syukur Alhamdulillah, dalam menangani kenaikan mendadak harga bekalan makanan untuk ternakan, Felda kini dalam perancangan untuk melaksanakan projek tanaman jagung bijian di tanah seluas 3,700 hektar dengan kerjasama FGV Holdings Berhad.
Projek ini dijangka dapat menyumbang sebanyak lima peratus daripada sasaran kerajaan untuk mengurangkan import jagung bijian negara.
Langkah ini juga diharap dapat menstabilkan harga makanan untuk ternakan. Felda juga akan merancakkan industri ternakan ayam melalui kerjasama ladang kontrak dengan Ayamas Food Corporation Sdn Bhd.
Projek dengan pelaburan berjumlah RM23 juta ini mensasarkan penghasilan 640,000 ekor ayam setiap pusingan di lapan unit reban dua tingkat.
Projek yang dilaksanakan melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan dijalankan di kawasan seluas 20 ekar di Felda Tun Ghaffar Bukit Senggeh, Melaka.
Cuma kita tertanya-tanya kenapa baru sekarang? Kenapa inisiatif ini tidak diambil jauh sebelum negara dilanda isu kenaikan harga ayam akibat permainan mereka di sebalik kartel ayam ini.
Jika langkah untuk menstabilkan harga makanan termasuk bekalan ayam ini dibuat lebih awal melalui perancangan yang jitu, kita semua tidak akan hadapi situasi sepertimana sekarang.
Apa pun kita ucapkan syabas kepada Felda. Adalah lebih baik lambat daripada tidak ada inisiatif langsung.
Seperkara lagi yang menarik tentang inisiatif diperkenalkan oleh Felda ialah Program Pembangunan Peneroka (PPP).
PPP dilaksanakan sebagai satu instrumen bagi mempelbagaikan serta meningkatkan pendapatan peneroka melalui aktiviti bukan berteraskan komoditi sawit dan getah.
Menurut Felda, inisiatif ini bertindak sebagai serampang dua mata bagi membantu menyokong Dasar Sekuriti Makanan Negara dengan meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import makanan negara.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Felda, sehingga kini, sebanyak 8,543 projek PPP telah diluluskan untuk dijalankan secara individu dan juga melalui penglibatan koperasi serta badan peneroka.
Projek-projek ini telah memberi manfaat kepada 56,959 orang peneroka dan generasi baharu Felda.
Dalam pada itu, 57 peratus daripada projek PPP ini adalah melibatkan aktiviti penternakan ayam dan ruminan manakala 41 peratus melibatkan aktiviti pertanian seperti tanaman cili dan timun secara fertigasi serta cendawan.
Sekali lagi, ini semua dapat dilakukan kerana Felda dengan kelebihan tanah luas mempunyai potensi yang baik untuk menjadi hab lembu pedaging seperti dilaksanakan di Felda Sahabat, Sabah.
Sebagai pengguna, kita berdoa dan berharap langkah-langkah yang diambil ini bukan sahaja akan menstabilkan bekalan makanan negara tetapi jauh lebih penting ialah mengembalikan harga bekalan makanan seperti ayam dan daging ke tahap mampu dibeli semua masyarakat.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca