PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memantau kegiatan perbomohan secara dalam talian yang bertentangan dengan hukum syarak. Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Jakim melalui Bahagian Penyelidikan... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memantau kegiatan perbomohan secara dalam talian yang bertentangan dengan hukum syarak.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, Jakim melalui Bahagian Penyelidikan bekerjasama erat dengan pihak berkuasa seperti jabatan agama Islam negeri-negeri dalam menangani isu seumpama itu.

"Kami juga mempunyai kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memantau aktiviti perbomohan online,” katanya.

Menurutnya, perkembangan pesat dunia teknologi pada hari ini memudahkan masyarakat untuk menawar atau menerima perkhidmatan secara dalam talian termasuklah perkhidmatan kesihatan sama ada melalui rawatan moden, perubatan tradisional atau komplementari.

"Jakim meneliti isu ini melalui maklumat yang diterima daripada aduan awam bahawa terdapat individu atau pusat yang mendakwa sebagai bomoh atau pengamal pengubatan Islam menggunakan kaedah rawatan tertentu yang menimbulkan keraguan dalam masyarakat awam,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihati supaya sentiasa merujuk kepada pihak berautoriti atau pejabat Mufti serta alim ulamak sebelum mendapatkan rawatan daripada mana-mana pengamal perubatan tradisional dan rawatan Islam.

"Perkhidmatan bomoh sama ada secara bersemuka mahupun secara dalam talian boleh mendedahkan kepada risiko penipuan yang menyebabkan kerugian sehingga ribuan ringgit sedangkan penyakit dihidapi tidak sembuh.

"Lebih malang lagi mereka juga dibimbangi boleh terjerumus dalam kesalahan syirik sekiranya rawatan yang dibuat oleh bomoh tersebut bercampur dengan amalan-amalan bertentangan dengan akidah dan syariat Islam,” katanya.

KELUARKAN FATWA SEGERA

Dalam pada itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan negeri digesa supaya segera mengeluarkan fatwa berhubung trend pengamal perubatan Islam mempertontonkan proses rawatan secara langsung atau menerusi video kandungan di laman sosial.

Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, ia kerana trend terbaharu itu dikhuatiri boleh memesongkan akidah umat Islam.

"Trend ini tidak termasuk dalam kesalahan jenayah syariah di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.

Jawatankuasa fatwa perlu buat satu rumusan tentang amalan ini kerana ia perkara serius. Orang boleh salah gunakannya untuk buat duit demi kepentingan sendiri.

"Justeru, mereka perlu buat resolusi untuk atasi isu ini dan buat satu keputusan mengatakan perkara ini tidak dibolehkan kerana ia berlawanan dengan syarak,” katanya.

Mengulas lanjut, Akberdin berkata, perlu ada garis panduan yang jelas kerana dalam jenayah syariah tidak ada undang-undang khusus yang boleh disabitkan untuk kesalahan tersebut, sebaliknya ia lebih kepada jenis penyalahgunaan.

"Ia panduan yang perlu dikeluarkan untuk kita kenal pasti siapa dan apa latar belakang mereka, adakah mereka yang ingin merawat ini perlu berdaftar, sebab kalau tidak ada, semua orang pun boleh mengaku yang mereka pandai mengubat guna cara Islam,” ujarnya.

Jelas beliau, tidak dinafikan perubatan Islam itu wujud dan merupakan alternatif merawat yang baik, tetapi individu yang mengubati itu mestilah mereka yang arif dalam bidang rawatan Islam dengan latar belakang yang boleh dipercayai seperti Pusat Rawatan Darussyifa’.

"Namun cara perubatan tersebut perlulah mengikut amalan yang diterima, bukan semudah itu. Siapa yang memberi mereka autoriti untuk berbuat demikian? Pelaku menggunakan jalan mudah supaya orang lain tidak tahu di mana tempat tinggal dan latar belakang mereka,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca